Friday 21 January 2011

SELUAS 6,111 TANAH DIBUBAR JABATAN HUTAN



DIALOG….Kurup bersama dengan kakitangan jabatan berkaitan semasa sesi dialog dengan penduduk Kg.Masusun.

By: WENDY ROZIE

PENDUDUK di Sook diberitahu bahawa seluas 6,111 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Sook Plain telah dibubarkan dan kini diwartakan sebagai tanah kerajaan. Sebelum ini tanah tersebut berstatuskan hutan simpan kelas ke empat melibatkan beberapa perkampungan yang antaranya didiami sejak tahun 1970-an.

Jabatan Hutan Sook yang diwakili oleh pegawainya Johnny Raymond berkata, dengan pembubaran hutan simpan itu di Dewan Undangan Negeri Sabah, jabatan itu kini hanya mempunyai dua ribu lebih hektar tanah di kawasan tersebut iaitu bagi tujuan Pusat Penyelidikan Hutan dan KM Hibrid Plantation. Tanah itu berkeluasan 9 ribu hektar sebelum dibubar kepada tanah kerajaan.

Johnny berkata demikian di majlis sesi dialog sempena majlis pemimpin bersama rakyat di Kg Masusun bertempat di rumah Paulus Anip, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Turut hadir ADUN Sook, Datuk Ellron Angin serta jabatan-jabatan berkaitan dari pejabat daerah kecil Sook yang terlibat dalam sesi dialog sempena majlis tersebut.

Kurup dalam ucapannya berkata, perkampungan yang telah lama ‘terperangkap‘ di dalam tanah hutan simpan yang kini telah diwartakan itu harus diberi keutamaan begitu juga dengan permohonan-permohonan tanah yang sudah bertahun-tahun lamanya tidak mendapat kelepasan kerana status tanah itu sebelum ini.

“Keutamaan Jabatan Tanah dan Ukur haruslah diberikan kepada tanah-tanah yang telah diteroka dan telah didiami,” ujar Kurup.

Kg Masusun ialah nama baru bagi Kampung Sunsuron Baru yang dikatakan kebanyakan penduduknya berasal dari Tambunan meneroka tanah di kawasan itu.

Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga meminta penduduk di kawasan itu agar menukar status undi mereka ke kawasan Sook, yang memberi banyak kebaikan dan kemudahan kepada mereka sebagai penduduk di kawasan itu.

Di majlis itu juga seramai 113 borang keahlian PBRS diserahkan kepada Presiden.

No comments:

Post a Comment