Saturday 22 January 2011

SISIHKAN 30% UNTUK TENAGA HIJAU



Oleh: MUTALIB M.D

KERAJAAN negeri Sabah disarankan agar menyisihkan 30 peratus daripada belanjawan pembangunannya untuk pembangunan ‘Tenaga Hijau’ bagi meningkatkan taraf hidup di luar bandar yang serba daif.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu menyarankan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman yang memaklumkan bahawa bagi tempoh pelaksanaan RMKe-10 dari tahun ini hingga tahun depan, kerajaan negeri Sabah mendapat peruntukan RM10.723 bilion untuk melaksanakan 424 projek baru dan 761 projek sambungan.

Patrick turut memuji kecekapan Kerajaan Negeri Sabah yang sudah membelanjakan 81.3 peratus daripada keseluruhan peruntukannya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 sehingga disember tahun lalu, berbanding pencapaian 84.48 peratus di peringkat nasional.

Dengan jumlah peruntukan yang kedua terbesar selepas Wilayah Persekutuan, kata Patrick, beliau menggesa Kerajaan negeri Sabah agar mengkaji semula pelaksanaan semua projek agar tidak membazir dan menjadi projek Gajah Putih terutama projek bekalan air luar bandar dan makmal komputer.

“Isu utama di luar bandar ialah bekalan elektrik. Jika tidak ada bekalan elektrik, bagaimana loji jabatan air dan makmal komputer mahu beroperasi? Jangan hanya kerana mahu projek dilaksanakan, asal ada projek, tetapi semuanya sia-sia,” kata Patrick yang mahu Kerajaan Negeri Sabah belajar daripada banyak kesilapan masa lalu untuk melaksanakan projek pembangunan di masa hadapan.

Bagaimanapun, Patrick menggesa agar Jabatan Pembangunan Negeri Sabah diberi kuasa eksekutif untuk membelanjakan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kerana selama ini dikawal ketat oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sehingga berlaku percanggahan kepentingan dan memaksa kerajaan negeri bertindak tegas mengembalikan lebih RM 60 juta peruntukan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah tahun lalu.

“Kerajaan Persekutuan seharusnya jujur dan belajar memahami aspirasi rakyat dan kerajaan negeri Sabah kerana kita lebih tahu apa yang diperlukan rakyat berbanding mereka yang hanya datang sekali-sekala dan memaksa kita menerima projek yang tidak berfaedah untuk rakyat kita,” ujar Patrick yang yakin Sabah dapat keluar daripada kemelut kemiskinan jika masalah bekalan elektrik di atasi segera.

Kata Patrick, keberanian Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimie Unggi yang telah menempah nama sebagai pelopor ‘Kampung Pertama Di Dunia yang menggunakan Teknologi Hijau 100 peratus’ sewajarnya dijadikan idola wakil rakyat BN yang lain, apatah lagi beliau telah menggunakan 50 peratus peruntukan parlimen beliau untuk membangunkan tenaga hijau di kampung Katubu dan Sumambu.

“Teknologi hijau amat murah dan menjimatkan di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai bekalan elektrik serta mesra alam. Kerajaan Negeri wajib memberi pengiktirafan terhadap teknologi ini jika tidak mahu ketinggalan dan ingin membasmi kemiskinan di luar bandar. Untuk apa kita merdeka sejak 47 tahun lalu jika penduduk 80 peratus penduduk luar bandar masih bergelap?,” tegas Patrick.

Beliau turut menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah membuat keputusan muktamad untuk melaksanakan Teknologi Hijau bagi menjimatkan subsidi dan sekaligus mengurangkan kerugian SESB akibat kenaikan harga minyak di peringkat global.

No comments:

Post a Comment