Wednesday 5 January 2011

BUMBURING RAYU KEMBALIKAN ‘AUTONOMI’ PELAJARAN



Oleh: MUTALIB M.D

AHLI Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing merayu agar Kerajaan Persekutuan (Kementerian Pelajaran) mengembalikan ‘Kuasa Autonomi’ berhubung Pelajaran kepada Sabah sejajar dengan Perkara 15 (Pelajaran) daripada 20 Perkara yang menjadi asas Pembentukan Malaysia yang menjelaskan bahawa, "Sistem pendidikan yang ada di Borneo Utara sekarang hendaklah dikekalkan dan diletakkan di bawah bidang kuasa KERAJAAN NEGERI."

Bumburing ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan wajib mematuhi apa yang terkandung dalam 20 Perkara bagi menyelesaikan ‘Janji-Janji’ Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum akan datang.

Memandangkan 20 Perkara adalah intipati kepada pembentukan dan persetujuan rakyat Sabah menyertai Malaysia, maka ia adalah formula terbaik untuk menyelesaikan masalah Sabah secara ‘Glokal’ melalui modus operandi pemberian kuasa autonomi dalam bidang pelajaran kerana Sabah yang terketinggalan jauh di belakang Perlis dan Kelantan.

“Saban hari kita mendengar keluhan rakyat bahawa Prasarana pendidikan di Sabah begitu mundur, malah setiap kali sidang parlimen, kita kemukakan isu ini secara berterusan, namun Kerajaan Persekutuan masih gagal menyelesaikan masalah prasarana pendidikan. Sabah terus dijadikan makmal ujikaji Jabatan Pelajaran dengan menghantar guru baru dan mengambil kembali guru berpengalaman daripada Sabah,” ujar Bumburing yang kesal dengan rentetan senario yang merantai rakyat Sabah selama ini.

Memandangkan Kerajaan Negeri telah dipinggirkan sama sekali dalam urusan merancang dan melaksanakan program pelajaran di Sabah, kata Bumburing, maka kebanyakan projek prasarana gagal mencapai matlamat, terutama prasarana pendidikan yang begitu mundur dan memalukan bagi sebuah ‘negara’ yang merdeka 47 tahun lalu.

“Oleh itu tidak hairanlah jika kita mendengar ada sekolah tidak ada bangku atau meja, malah masih menumpang di sekolah lain. Kementerian Pelajaran hanya membina sekolah dan sedikit baik pulih, tetapi tidak pernah membekalkan bangku atau meja selepas sekolah diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Sabah,” ujar Bumburing yang berpendapat kontrak membekal bangku meja sewajarnya dibuat setiap dua atau tiga tahun sekali berdasarkan keperluan atau membekalkannya kepada Stor Pusat Jabatan Pelajaran Sabah untuk kegunaan semasa.

Kata Bumburing lagi, yang menjadi mangsa birokrasi ialah Wakil Rakyat yang terpaksa menggunakan peruntukan pembangunan kecil ‘yang hanya cukup-cukup’ untuk membekalkan bangku plastik yang hanya sesuai untuk warung kopi, sehingga Kementerian Pelajaran lepas tangan.

“Bangku plastik tidak sesuai kerana mudah patah dan mencederakan pelajar. Ia tidak tahan lama. Tapi apa boleh buat, itulah yang termampu kami berikan untuk kegunaan pelajar buat sementara waktu,” kata Bumburing yang agak kesal kerana tidak mampu untuk membekalkan meja dan alat bantuan mengajar yang lain kerana peruntukannya agak terhad.

Sehubungan itu tegas Bumburing, bagi menjayakan ‘Teras Ketiga’ Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu ‘Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan’, maka tibalah masanya Kerajaan Persekutuan mengembalikan ‘Kuasa Autonomi’ pelajaran kepada Sabah yang masih mundur kerana Kementerian Pelajaran Malaysia tidak peka dengan persekitaran, budaya, masalah perhubungan dan topografi di Sabah.

“Mungkin agak ganjil jika kita melihat masih ada sekolah ‘kandang kambing’ di Sabah walaupun sudah berbilion ringgit dibelanjakan untuk membina prasarana pendidikan. Tapi kebanyakannya ditakrifkan sebagai Projek Gajah Putih. Bangunan sekolah besar (mega) tetapi tidak ada bangku dan tidak cukup bilik darjah kerana retak sana sini,” ujar Bumburing yang mendesak Jabatan Pelajaran Sabah dan Kementerian Pelajaran Malaysia menubuhkan Task Force bagi menyelesaikan kemelut pelajaran di Sabah.

Sejajar dengan Perkara 11: Tarif Dan Kewangan (20 Perkara) yang jelas menyatakan bahawa, "Borneo Utara hendaklah berhak mengawal Kewangan Tabung Pembangunan dan tarifnya sendiri," maka kata Bumburing, wang pembangunan sewajarnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah agar semua projek yang dilaksanakan mencapai sasaran kerana pemimpin Sabah lebih tahu apa yang diperlukan di negeri ini.

“Jadi tidaklah kami (Ahli Parlimen) kebingungan seperti sekarang kerana kami tidak tahu menahu ada sekolah baru dibina di kawasan yang kami wakili kerana kami minta sekolah lain, mereka bagi sekolah lain,” tegas Bumburing yang tidak hairan kenapa masih ada murid yang terpaksa berjalan kaki seawal jam empat pagi ke sekolah kerana jauh daripada tempat tinggal mereka dan tidak ada kenderaan yang boleh melalui jalan kampung mereka yang begitu daif.

Berhubung Sekolah Menengah Pekan Nabalu yang menjadi kontroversi sebelum ini, Bumburing berkata ianya sudah di peringkat akhir untuk pelaksanaan setelah masalah teknikal berhubung rekabentuk dan kos siling telah berjaya diselesaikan baru-baru ini.

“Kita tidak boleh janji akan dilaksanakan esok, tetapi kita telah membuat yang terbaik untuk memastikan janji Kerajaan Barisan Nasional Sabah bukan janji kosong pembangkang,” ujar Bumburing yang meminta rakyat bersabar setelah menunggu terlalu lama untuk mendapat sebuah sekolah menengah.

No comments:

Post a Comment