Saturday 6 August 2011

SASARAN PENEMBUSAN INTERNET TERCAPAI



Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SIDEK KOLO

PARA pelajar yang terpilih menerima komputer netbook 1 Malaysia dapat menguasai ilmu dan teknologi ICT secepat mungkin lebih-lebih lagi apabila ICT tersebut dapat digunakan dalam menjana ekonomi kita.

“Saya menyeru agar para pelajar semua mematuhi etika-etika ketika melayari internet dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan siber seperti menghantar SMS atau E-mail lucah, menulis komen-komen yang dianggap menjelikkan, menyakitkan hati, memfitnah mahupun mengaibkan.”

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Hj Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata demikian ketika beliau berucap di Majlis Penyerahan Komputer Netbook 1 Malaysia bagi tiga buah sekolah menengah di DUN Kawasan Kawang yang dilangsungkan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Papar, kelmarin yang membabitkan 900 pelajar.

Dalam hubungan itu, Ghulam mengesyorkan agar ibubapa turut memainkan peranan ke arah memantau penggunaan internet, mahupun peranti komunikasi seperti telefon bimbit di kalangan kanak-kanak bagi mengelakkan perkara-perkara negatif yang tidak diingini terjadi.

“Peralatan sebegini merupakan peranti yang penting untuk kita semua menjelajah ke dunia tanpa sempadan atau lebih dikenali dengan alam siber bagi mencari maklumat pendidikan, hiburan, perniagaan malah transaksi perbankan dapat di capai,” jelasnya.

Selaras dengan aspirasi 1 Malaysia, rakyat didahulukan, kata Ghulam, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan rakyat agar kita menjadi satu masyarakat yang kaya dengan maklumat yang berguna untuk membolehkan kita bersaing di arena global.

Ghulam menambah lagi, sasaran Pelan Jalur Lebar Negara adalah untuk meningkatkan keupayaan prasarana jalur yang membawa kemudahan pencapaian internet keseluruhannya.

Sasaran kita adalah untuk mencapai 50 peratus penembusan internet daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia pada penghujung tahun 2010 kerana pencapaian pada masa kini telah melebihi 58 peratus.

Pada masa yang sama, jelas Ghulam lagi, kadar penembusan internet Jalur Lebar isi rumah Sabah kini telah mencecah melebihi 30.3 peratus melebihi sasaran pada 2010 yang lalu hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui SKMM.

No comments:

Post a Comment