Wednesday 10 August 2011

WAJIB PERTAHANKAN KESUCIAN ISLAM



MESRA…Lajim bersalaman dengan anak-anak yatim dari rumah anak Yatim Al Aman yang diraikan dalam majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

UMAT Islam di Beaufort perlu bersatu mempertahankan akidah Islam daripada diganggu gugat oleh musuh agama, sekalipun terpaksa menghadapi apa sahaja rintangan.

Pengerusi Perhubungan Sukarelawan PERKIM Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun.

Katanya, ledakan kemajuan teknologi maklumat banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam hari ini. Mereka yang tipis iman akan mudah terpesong aqidahnya menyebabkan pelbagai gejala negatif semakin melanda umat Islam hari ini seperti isu buang bayi, anak derhaka kepada ibu, isteri derhaka kepada suami dan sumbang mahram.

“Sebagai Umat Islam kita bertangungjawab dan berperanan untuk membantu mereka ini kembali ke ajaran Islam dan bertubat, kita tidak seharusnya berdiam diri melihat gejala ini semakin berleluasa hingga menjejaskan kesucian agama kita,” katanya ketika berucap di majlis Ziarah Rahmadan dan Program Berbuka Puasa di Masjid Kampung Limbawang, kelmarin.

Menurut Lajim, Umat Islam yang goyah imannya hari ini amat mudah dipengaruhi dengan pelbagai eleman antara kemewahan, harta benda walaupun mengetahui salah dari segi hukum syarak; namun demi memenuhi tuntutan hawa nafsu, mereka sanggup mengadaikan maruah dan akidah mereka.

Tambah Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, akidah adalah salah satu daripada maqasid syariah yang wajib dipertahankan oleh setiap yang bergelar Islam dan ianya bukanlah semata-mata menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya jabatan Agama Islam sahaja.

“Jika ada musuh yang menyerang, kita wajib mempertahankan diri. Begitu juga dalam soal akidah, jika ada musuh agama yang cuba memurtadkan orang Islam, kita wajib bangkit menentang,” tegas Lajim.

Sambil mengajak Umat Islam meneliti sejarah bagaimana para sahabat sanggup mati syahid, sanggup diseksa dan sanggup dibunuh demi akidah, tetapi untuk menjual agama Allah, mereka tidak sesekali berbuat demikian seharusnya menjadi ikutan Umat Islam hari ini demi mempertahankan kesucian Islam dari terus dicemari.

Hadir sama di majlis tersebut Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih; Penolong Pegawai Daerah Beaufort Jupry Etok dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Sabah Abd.Sanon Haji Sapri.

No comments:

Post a Comment