Sunday 7 August 2011

ZIARAH RAMADHAN ERAT UKHUWAH



ZAKAT…Lajim ketika menyerahkan sumbangan peribadi beliau untuk masjid Kampung Pintas semasa majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SERAMAI 37 orang penduduk kampong Pintas, Beaufort dan sekitarnya yang terdiri dari warga emas, orang kelainan upaya dan anak yatim menerima sumbangan wang Zakat daripada Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin bagi meringankan beban mereka menyambut hari raya aidil fitri tahun ini.

Mereka juga turut menerima sumbangan dari Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang disampaikan oleh isteri Lajim yang juga anggota jawatankuasa (Bakti) Datin Seri Panglima Hajah Normilah Siong.

Majlis disempurnakan semasa Lajim bersama rombongan ahli jawatankuasa Umno bahagian Beaufort yang terdiri dari Timbalannya Isnin Haji Aliasnih; Setiausaha Bahagian Haji Jusih Haji Sarin; Ketua Pergerakan Pemuda Mohd.Ishak Haji Ibrahim dan Pengerusi Penyelaras (MAYANG) Parlimen Beaufort Haji Johiar Matlani menghadiri majlis berbuka puasa di masjid kampung Pintas, dekat sini malam kelmarin.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Lajim yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort) berkata, program Ziarah Ramadhan setiap tahun yang sudah menjadi tradisi Umno bahagian Beaufort berjaya merapatkan hubungan silatulrahim antara kepimpinan Umno bahagian bersama ahli dan rakyat di peringkat akar umbi.

CERIA… Datin Seri Normila (isteri Lajim) turut menyampaikan sumbangan pakaian serta keperluan lain dari (BAKTI) kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.

Sehubungan dengan itu, Lajim selaku Ketua Umno Bahagian Beaufort ini berharap agar umat Islam setempat dapat memanfaatkan program berbuka puasa sebagai jalinan untuk memperkukuhkan ukhwah umat Islam bersama masyarakat lain selaras dengan Gagasan 1 Malaysia.

Katanya, perpaduan merupakan eleman penting bagi meletakkan Umat Islam dapat bergerak bersama maju ke hadapan terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa.

“Umat Islam perlu menolak tanggapan yang seringkali dikaitkan dengan kemunduran, miskin, lemah, kurang berdaya saing dan lain-lain dengan membulatkan tekad bersatu padu, di samping membudayakan keperluan ilmu pengetuhan sebagai satu keutamaan dalam kehidupan mereka seharian” katanya.

Lajim seterusnya menyeru agar umat Islam agar mengunakan peluang Madrasah Ramadhan ini bagi menyuburkan sifat-sifat rohani yang kental dan mempunyai daya ketahanan diri agar umat Islam memiliki jiwa yang merdeka dan tidak mudah dijajah sewenang-wenangnya.

No comments:

Post a Comment