“PENINGKATAN mendadak dan tidak munasabah bilangan pengundi baru di Selangor menimbulkan kebimbangan bahawa negeri itu bakal menjadi 'Satu Lagi Sabah',” kata senator DAP, P Ramakrishnan.
Dakwanya, pendatang tanpa izin di Sabah telah diberikan kad pengenalan biru dan menjadi pengundi berdaftar di kawasan-kawasan di mana parti memerintah adalah lemah. Akibatnya, pendatang asing kini mengatasi bilangan penduduk tempatan Sabah.
"Terdapat kehadiran jutaan pendatang tanpa izin dan haram di negara ini, terutamanya di Selangor", kata Ramakrishnan sambil meluahkan kebimbangan rakyat negeri itu bahawa apa yang berlaku di Sabah boleh berlaku di Selangor juga.
"Terdapat bukti kukuh mengenai surat Umno untuk mendaftar pendatang asing sebagai pengundi di Hulu Selangor.
"Selain itu, terdapat banyak kes kewarganegaraan segera diberikan kepada rakyat Indonesia, untuk dijadikan pengundi. Jawapan berdolak dalik dari Suruhanjaya Pilihan Raya dan sikap membisu Jabatan Pendaftaran Negara, menambahkan lagi kewajaran kegusaran rakyat," kata Ramakrishnan.
Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya penyokong Umno melakukan sedaya upaya bagi merampas semula Selangor dan keyakinan yang ditunjukkan oleh parti itu Umno juga menjadikan kebimbangan mereka berasas, katanya lagi.
Menurut Ramakrishnan, Umno Selangor juga mendakwa bahawa BN akan menang di sekurang-kurangnya 38 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri berbanding hanya 20 yang mampu dimenangi mereka sehingga menyaksikan Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu.
"Semua manipulasi yang meragukan ini dilakukan tanpa menghiraukan ribuan sokongan terhadapa perhimpunan BERSIH 2.0 yang menuntut pilihan raya yang adil dan bebas di negara ini. Ramai orang bimbang bahawa pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya paling kotor dan tercemar dalam Malaysia.
"Apa yang membimbangkan ialah gabungan Umno, SPR dan JPN untuk melakukan tindakan khianat dan bertentangan keselamatan negara itu. Dalam menyokong kerajaan BN, jabatan berkenaan tergamak mengadaikan keselamatan, kedaulatan Malaysia dan hak rakyat, "katanya.
No comments:
Post a Comment