Saturday, 13 August 2011

JAPANESE AIRPORT' KEKAL DI SANDAKAN?



Oleh : BRYAN CHANG SHAK HUNG

JANJI tetap tinggal janji! Pembohongan tetap tinggal di dalam sanubari pemimpin BN dalam membantu rakyat! Itulah ungkapan yang seharusnya diberikan kepada pemimpin BN yang hanya memberikan janji kosong dan sanggup berbohong kepada rakyat terutamanya penduduk di Sandakan!

Ke mana perginya janji untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Sandakan yang dibina di zaman Jepun sehingga ke hari ini langsung tidak menampakkan apa-apa perubahan?

Janji berkenaan dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri yang mengumumkan penaiktarafan Lapangan Terbang Sandakan pada Jun 2008. Namun amat mengecewakan kerana setelah lebih tiga tahun berlalu, tidak ada sebarang perubahan.

Kerja-kerja menaiktaraf yang diumumkan ini termasuklah penambaikan sistem bangunan dari terminal pelepasan, ketibaan dan kaunter untuk pemeriksaan; apron letak untuk pesawat juga akan ditambah dengan penambahan Aerobridge bagi pesawat jenis A330, B737-800W dan ‘open bay’ untuk letak pesawat FK50 dan ke bawah; serta membina beberapa komponen struktur tambahan bangunan asal.

Abdul Rahim ketika itu menyatakan bahawa kerja-kerja menaiktaraf yang telah diumumkan itu termasuk dalam projek Pembangunan Koridor Sabah (SDC) yang menelan kos RM110 juta.

Tetapi persoalannya, adakah kos berkenaan masih relevan dengan pembesaran dan menaiktaraf lapangan terbang ini sedangkan pada 2008 Abdul Rahim memberitahu bahawa cadangan untuk menambah peruntukan pelaksanaannya akan bergantung dengan skop asal cadangan untuk membina beberapa komponen struktur tambahan bangunan asal atau sebaiknya mengekalkan projek komponen asal.

Setelah tiga tahun daripada pengumuman, kini berlaku kenaikan mendadak bahan-bahan binaan dan peralatan serta keperluan pembinaan dan bahan api dan seterusnya telah meningkatkan kos pembinaan?

Di manakah inisiatif dan komitmen kerajaan pusat dan kerajaan negeri seperti yang diberitahu oleh Abdul Rahim, ia merupakan hasil dari usaha pemimpin Sandakan yang mahukan rakyat mendapat manfaat dan ingin terus menikmati hasil pembangunan yang lebih selesa dan terbukti dengan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional?

Kenyataan tersebut telah terbukti apa yang diungkapkan beliau merupakan ungkapan yang sebaliknya dan ini telah menunjukkan pemimpin BN itu sendiri telah menipu dan hanya pandai menabur janji kosong semata-mata untuk menarik undi serta menyenangkan hati pihak penduduk Sandakan.

Penduduk Sandakan yang rata-ratanya tidak mampu berbuat apa-apa, selain terpaksa melihat bagaimana diperlakukan seperti domba yang digiring ke pusat sembelihan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk menolak BN pada pilihanraya lalu dan akan datang!

Adakah kita yang telah membayar cukai terutamanya cukai lapangan terbang (airport tax), tidak patut mendapat layanan yang sepatutnya daripada pihak kerajaan? Kita bukan meminta, tetapi apa yang telah diumumkan sepatutnya dilaksanakan dan tidak memberi alasan tidak munasabah serta langsung tidak mencerminkan slogan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai satu retorik dan jenaka kanak-kanak tadika!

No comments:

Post a Comment