Friday, 5 August 2011

SEMPORNA MUNDUR KERANA SINDROM ‘BOG BOG’?



Oleh : MUTALIB M.D

BAK kata pepatah, rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang, namun ‘Pulau’ Semporna yang terkenal dengan panggilan Tong Talun (Semenanjung Hutan) di era sebelum kemerdekaan, masih terlalu mundur; selayak nama asalnya kerana diwakili oleh ‘Wakil Rakyat’ yang mengamalkan Sindrom Bog Bog; sinonim dengan koloni ‘Monyet Bangkatan’ atau ‘Proboscis’ yang sanggup mempertaruhkan jiwa untuk melindungi dan mempertahankan ‘koloni’ mereka.

Perangai Monyet Bangkatan ini jelas diikuti oleh majoriti penduduk Semporna yang berbangga mempunyai empat isteri atau lebih daripada satu isteri dan sanggup mempertahankan ketua keluarga, sekalipun melakukan perbuatan sumbang yang mencemarkan maruah keluarga.

Amalan bernikah dengan sepupu atau keluarga terdekat menyebabkan ‘Pernikahan Bangkatan’ ini menjadi benteng paling ampuh untuk mempertahankan ‘Pulau Semporna’ daripada jatuh ke tangan orang luar atau bukan daripada ‘Koloni Bangkatan’.

Mantan TYT Sabah yang juga Mantan Ketua Menteri Sabah, Tun Sakaran Dandai bernikah dengan adik iparnya setelah kematian isteri pertamanya, demi untuk meneruskan Sindrom Bog Bog atau Sindrom Monyet Bangkatan!

Namun sebaliknya, pemimpin politik berhak memilih isteri mereka seperti Shafie Apdal dan Nasir Tun Sakaran yang bernikah dengan orang luar, tetapi masih dilindungi kerana Sindrom Bog Bog ini.

Alasan yang sering digunakan ialah untuk memastikan harta mereka tidak jatuh ke tangan orang lain, tetapi hakikatnya hanya segelintir sahaja yang berharta; manakala selebihnya hidup merempat dengan menjual ‘air liur’ dan menjadi ‘hamba’ kepada pemimpin politik Semporna demi mendapatkan sesuap nasi.

Pepatah Melayu mengatakan ‘biar mati anak, tapi jangan mati adat’, namun Koloni Bangkatan di Semporna meneruskan amalan tradisi ‘Jangan mati anak, jangan mati adat’ demi mempertahankan Sindrom Bog Bog yang selama ini menjadi amalan Monyet Bangkatan!

Adalah mustahil jika masyarakat Semporna terpedaya dengan Teori Evolusi Charles Darwin yang menyimpulkan manusia berasal daripada monyet; sedangkan mereka mengaku beragama Islam, yang menyakini bahawa asal usul kejadian manusia daripada benih Nabi Adam dan Hawa yang diciptakan Allah Subhanawataala untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Natijahnya, walaupun pekan kecil Semporna mempunyai empat orang Wakil Rakyat yang mengkendurikan peruntukan kerajaan dan memfaraidkan projek kepada kroni mereka sendiri, namun Semporna tetap mundur, 30 tahun di belakang Bandar Kembar Tawi-Tawi, iaitu Lahad Datu.

Dengan anugerah dua menteri penuh di peringkat negeri dan persekutuan, Semporna gagal membangun dan hanya menumpang tuah kepada Pulau Sipadan; kekurangan serba serbi termasuk capaian internet yang begitu rendah seolah-olah berada di zaman Pos menggunakan ‘Burung Merpati’ untuk menghantar surat.

Jika di tempat lain, Kerajaan mewar-warkan perkhidmatan Jalur Lebar, tetapi di Semporna sewajarnya dikempenkan ‘Jalur Lubang’ kerana jalan rayanya berlubang di sana sini, lebih besar daripada Lubang Kubur!

Sudah hampir 44 tahun merdeka, namun Semporna tidak terlepas daripada kekangan pengaruh Tun Sakaran dan suku sakatnya, Shafie Apdal; yang bukan sahaja memperbodohkan rakyatnya dengan Sindrom Bog Bog, malah turut memperdaya Kerajaan Malaysia mencurahkan dana pembangunan untuk memperkayakan Koloni Bangkatan.

Oleh itu tidak hairan jika projek lampu jalan hanya menjadi hiasan; dua buah masjid atau balairaya dalam satu kampung; dua Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK bagi satu kampung; jalan utama ke Semporna diturap setiap tahun; projek ‘Gajah Putih’ dan ‘Kacang Putih’ lebih banyak daripada Projek Kemasyarakatan.

Akibatnya isu penting seperti jambatan kampung, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan lubang dalam pekan Semporna terbiar begitu sahaja kerana tidak menguntungkan untuk dipohon atau dilaksanakan.

Kekuatan Sindrom Bog Bog telah melumpuhkan kehampaan masyarakat Semporna untuk berpaling tadah dan masih boleh bertolak ansur sekalipun janji untuk membina jambatan Pulau Bum Bum hanya menjadi ‘Gurindam’ ketika pilihanraya.

Masyarakat Semporna tidak berani bangkit menentang secara terbuka terhadap kepimpinan ‘YB Bangkatan’ ini kerana Sindrom Bog Bog begitu mendalam dalam jiwa mereka.

Golongan terpelajar lebih suka meminggirkan diri di luar Semporna daripada berseteru dengan ‘YB-YB Bangkatan’ di Semporna dan hanya meluahkan perasaan melalui Facebook atau Twitter kerana mereka bukan spesis ‘Beruang’ (berwang); tidak mempunyai kekuatan wang untuk menentang pemimpin politik di Semporna dalam sebarang pilihanraya.

Seorang Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, Semporna; Azizul @ Ajijul Sanarul pernah menyatakan jika pemimpin yang ada sekarang ini dilelong di zaman Hamba Abdi seperti dalam Filem P.Ramlee, ‘Tiga Abdul’; tidak ada yang laku dijual walau diletakkan harga satu dirham!

Jika ada yang berani menentang, hanya sekadar ‘Olok-Olok’ untuk memperagakan diri agar dibeli sebelum menarik diri setelah mendapat ‘Saguhati’. Namun jika ada yang berani menentang secara terbuka, seperti Abdullahsani Haji Abdul Salleh; sudah pastinya akan dipulaukan oleh Komuniti Bog Bog ini.

Kebangkitan golongan professional, terutama guru dan pensyarah hanya secara bermusim dan bukannya sepanjang masa; namun mereka tidak akan mendapat tempat di dalam UMNO kerana sudah pasti akan disisihkan demi mempertahankan pemimpin ulung mereka yang kini menjadi Naib Presiden UMNO!

(Nota: Artikel ini hanya pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya selama menjadi Pemerhati dan Penganalisa Politik; tidak ada kena mengena dengan Sabahkini.net. Segala analogi yang dibuat berdasarkan kebebasannya menterjemahkan ‘Budaya Bog Bog’ ke media baru tertakluk kepada budibicara beliau sendiri dan bukannya bertujuan untuk menghina masyarakat Semporna)

No comments:

Post a Comment