Monday, 12 September 2011

BAHANA RASUAH MENJADI BUDAYA



Oleh : DATO’ AHMAD KHUSAIRI HAJI YAHAYA

DI NEGARA ini, rata-rata masyarakat telah mengetahui bahawa rasuah merupakan suatu perbuatan jenayah dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda 5 kali nilai ganda suapan atau kedua-duanya sekali.

Di samping tindakan punitif tegas yang dikenakan kepada pesalah rasuah, pelbagai dasar, peraturan dan program-program berbentuk pencegahan serta pendidikan masyarakat dilaksanakan bagi membendung gejala ini.

Rasuah ibarat barah yang secara perlahan menyelinap ke seluruh setiap inci anggota tubuh manusia badan dan akhirnya memusnahkan keseluruhan sistem yang ada. Natijah keburukan jenayah rasuah bilamana ianya mula diserap menjadi budaya dalam sesebuah organisasi amatlah digeruni.

Jenayah rasuah sekiranya berleluasa dan menjadi budaya sesebuah organisasi akan memberi kesan serta menjejaskan keseluruhan entiti dalam sistem sosial organisasi berkenaan. Ini termasuklah kesan terhadap pekerja, pelanggan, interaksi sosial, perkhidmatan yang ditawarkan, sistem dan prosedur dan sebagainya.

Dalam konteks jenayah rasuah, golongan pekerja dalam sesebuah organisasi dapat dikategorikan kepada tiga kumpulan iaitu koruptor, oportunis dan berintegriti

Koruptor merupakan golongan yang bijak mengambil kesempatan atas kelemahan pemimpin, undang-undang dan peraturan, sistem dan prosedur bagi memenuhi kepentingan peribadi termasuk mengaut keuntungan bersifat kedudukan, kewangan dan harta benda.

Golongan ini merupakan golongan minoriti tetapi amat berpengaruh dalam sistem sosial sesebuah organisasi. Berani meminta dan memujuk rayu suapan rasuah dan menggunakan unsur-unsur ugutan serta penindasan jika terdesak.

Oportunis merupakan kumpulan pekerja yang bersifat tunggu dan lihat. Tidak berani untuk membuat keputusan dan sentiasa berhati-hati dalam tindakan. Tidak meminta atau memujuk rayu tetapi menerima jika ditawarkan Golongan oportunis merupakan kumpulan majoriti dalam organisasi dan biasanya terdiri dalam kategori pertengahan dan bawahan. Mudah terpengaruh dengan kemewahan yang ditonjolkan oleh golongan koruptor dan dalam masa yang sama takut tertangkap.

Golongan berintegriti merupakan kumpulan yang mempunyai prinsip hidup yang utuh dan sentiasa berpegang kepada undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakan. Akibatnya, golongan ini sentiasa diketepikan dan diasingkan dalam sebarang proses membuat keputusan oleh pihak atasan yang korup.

Ada juga di sesetengah organisasi, golongan ini digunakan sebagai boneka untuk menutup segala kelemahan dan keburukan yang berlaku dalam organisasi tersebut. Sebagai contoh, dilantik memegang jawatan berkaitan pelaksanaan aktiviti integriti, pencegahan rasuah dan sebagainya yang mana program-program ini hanya untuk golongan-golongan pekerja tertentu dan tidak pernah dihadiri oleh pegawai atasan.

Apakah petanda yang menunjukkan jenayah rasuah telah menjadi budaya dalam sesebuah organisasi? Rasuah Menjadi Budaya bila mana:

*Tohmahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan semakin banyak ke atas organisasi;

*Pemusatan kuasa hanya kepada seorang individu sahaja;

*Kuasa budi bicara melebihi peraturan dan prosedur;

*Semakin ramai orang tengah berurusan di kaunter;

*Broker projek, orang tengah, pembekal bebas keluar masuk pejabat;

*Keistimewaan diberikan kepada sesebuah syarikat atau individu;

*Wujud amalan cronyism dan favoritism dalam semua keputusan;

*Tiada dasar putaran kerja, pegawai berkhidmat di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama;

*Pegawai enggan bertukar walaupun dinaikkan pangkat;

*Kehidupan pegawai dan staf amat mewah;

*Produktiviti dan prestasi organisasi turun naik, ada proses kerja yang cepat tapi ada yang sengaja dilewat-lewatkan;

*Birokrasi bertambah meruncing;

*Pelanggan dikenakan bayaran tambahan yang tidak sepatutnya;

*Pegawai meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses;

*Pembekal terpaksa membayar komisen dalam setiap pembekalan kepada pegawai;

*Rasuah berleluasa di setiap peringkat kakitangan bermula dari pengawal keselamatan hinggalah ke ketua jabatan;

Bagaimana jenayah rasuah dapat memberi kesan dalam konteks pekerja? Kita biasa mendengar rungutan dan rasa tidak puas hati golongan pekerja yang ditindas termasuk dari segi tidak diberikan peluang untuk kenaikan pangkat malahan ditukarkan ke kawasan pendalaman hanya semata-mata enggan memenuhi arahan si ketua yang mahu meluluskan sesuatu permohonan kepada kroninya tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Akan tetapi bagi golongan oportunis undang-undang dan peraturan diketepikan semata-mata untuk memenuhi arahan ketua jabatan. Ada saja jalan pintas yang boleh dicipta menerusi peraturan yang lemah untuk memenuhi hajat si ketua. Undang-undang dan peraturan yang lapuk dimanipulasikan bagi mengukuhkan asas tindakan. Undang-undang dan peraturan diinterpretasikan mengikut kepentingan dan kehendak tertentu. Inilah kreativiti yang berjaya dipupuk oleh organisasi yang mengamalkan budaya rasuah.

Sebagai balasan kepada si oportunis, pelbagai bentuk keistimewaan diberikan oleh si ketua termasuk yang biasa kita dengar seperti cepat naik pangkat, bebas keluar masuk pejabat, tidak perlu buat kerja, hidup mewah, kekal selama-lamanya di tempat yang sama dan berkuasa penuh sehingga tidak boleh ditegur oleh sesiapa pun.

Kesannya perpecahan akan berlaku dalam sesebuah organisasi yang akhirnya mewujudkan perasaan berpuak-puak antara golongan pekerja, menimbulkan rasa tidak puas hati, melemahkan semangat kerja, mengabaikan peraturan serta prosedur dan yang paling membimbangkan bila mana orang luar yang tiada kena mengena dengan jabatan pun bebas keluar masuk ke pejabat ketua jabatan dan boleh pula memberikan arahan kepada pegawai dan staf untuk membuat itu dan ini.

Bagi golongan pekerja yang lemah psikologinya, akan mudah terjerumus dalam kancah jenayah rasuah. Rasa tidak puas hati dilepaskan dengan turut sama meminta wang rasuah bagi melaksanakan tugas masing-masing. “Apa yang nak dihairankan, bos pun sama, kalau kita tak ambil orang lain akan ambil juga” merupakan antara kata-kata yang sering diungkapkan bagi memujuk hati dan perasaan untuk menghalalkan perbuatan yang haram.

Bila rasuah menjadi budaya dalam organisasi, kedudukan di bahagian-bahagian strategik seperti perolehan, pelesenan, penguatkuasaan, pembangunan, teknikal dan sebagainya yang boleh dianggap sebagai lubuk emas akan diletakkan pegawai-pegawai yang sehaluan demi melicinkan ‘urusan’” peribadi.

Tidak hairanlah, kebelakangan ini muncul kes-kes di dada-dada akhbar yang berkaitan tangkapan BPR terhadap ketua jabatan hingga ke pembantu am pejabat, penguat kuasa lapor kegiatan rasuah penguat kuasa lain hanya kerana pembahagian wang rasuah dibuat secara tidak adil dan bermacam-macam kes panas yang membimbangkan.

Salah satu lagi entiti penting yang terjejas bila rasuah menjadi budaya organisasi adalah golongan pelanggan. Pelanggan terpaksa membayar lebih dari apa yang sepatutnya dibayar disebabkan ‘caj-caj’ tertentu yang dikenakan oleh pegawai mahupun orang tengah (perantara).

Pemohon yang benar-benar layak akan diketepikan disebabkan jenayah rasuah dan kronisme. Proses pembayaran bil yang sepatutnya diproses dalam tempoh 14 hari mengambil masa berbulan-bulan lamanya sehingga menjejaskan pembekal untuk membuat modal pusingan. Pelanggan terpaksa datang awal untuk merebut nombor giliran dan beratur panjang sedangkan kenalan dan kroni-kroni di biar masuk ikut pintu belakang.

Pelbagai bentuk masalah dan tekanan seperti karenah birokrasi, kelewatan proses, borang permohonan hilang, dokumen tak lengkap, pemeriksaan mengejut, saman dan kompaun atas kesalahan yang sengaja diada-adakan, operasi bagi mengganggu perniagaan dan berbagai-bagai cara dibuat bagi memaksa pelanggan membayar wang rasuah.

Yang anehnya, bila duit kopi diselitkan pada borang permohonan, pegawai dibawa berhibur di pusat-pusat karaoke, hadiah-hadiah berharga disedekahkan dan perjanjian komisen ditetapkan kesemua proses berjalan dengan lancar, cepat, cekap dan efisien.

Kesan yang paling mengaibkan bila rasuah menjadi budaya adalah terhadap golongan pelanggan yang kurang berkemampuan, masyarakat luar bandar, kurang berpendidikan yang cuba mendapatkan perkhidmatan dan pembelaan daripada organisasi terbabit.

Kes-kes yang melibatkan pegawai-pegawai yang sepatutnya mengagihkan bantuan kebajikan kepada orang kurang upaya dan warga emas telah menyelewengkan peruntukan terbabit untuk kepentingan diri masih berlaku.

Orang kurang upaya dan warga emas yang bergantung pada bantuan kewangan ini ditipu dengan cap jari dan tandatangan diambil sebagai pengesahan palsu bahawa mereka telah menerima bantuan tersebut. Walhal bantuan kewangan tersebut di seleweng untuk kemewahan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini.

Melihat kepada kesan jenayah rasuah bila ia menjadi budaya organisasi amatlah menggerunkan. Jenayah rasuah harus diperangi kerana ia mengakibatkan kerosakan yang berpanjangan khususnya terhadap imej dan kepercayaan masyarakat terhadap organisasi. Adalah mudah untuk kita mencapai kecemerlangan, tetapi sukar untuk kita mengekalkan kecemerlangan tersebut ditambah pula apabila imej organisasi tercalar disebabkan jenayah rasuah.

Bersama Kita Lakukan Perubahan Perangi Rasuah!

(NOTA : Dato’ Ahmad Khusairi merupakan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)

No comments:

Post a Comment