HORMATI…. Ahli Jawatkuasa MANDAT yang menghormati keputusan Bumburing untuk tidak mempertahankan jawatan dalam UPKO Tuaran. Gambar sisipan, Pengerusi MANDAT, Marsah Muyong (kiri) dan Bumburing.
Oleh : HAJI GHULABDIN ENJIH
KEPUTUSAN yang diumumkan oleh Timbalan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing untuk tidak mempertahankan jawatannya di bahagian Tuaran bagi memberikan laluan kepada pemimpin muda atau generasi baru sewajarnya dihormati dan diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak.
Pengerusi Majlis Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT), Marsah Muyong yang mengulas pengumuman Timbalan Presiden parti itu di Mesyuarat Tritahunan UPKO di Tamparuli baru-baru ini berkata, sebagai seorang ahli politik yang telah berkecimpung selama 30 tahun dalam perjuangan pelbagai parti di Bahagian Tamparuli menerusi PASOK, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kini UPKO; keputusan berat yang cukup berani dilakukan oleh Bumburing itu adalah tepat.
Ketika ini, kata Marsah, UPKO berada dalam situasi yang terbaik dan sudah tentu masa dan saat terbaik bagi beliau menyerahkan tanggungjawab ini kepada pemimpin muda untuk memenuhi tuntutan tranformasi politik Barisan Nasional (BN) seperti yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Marsah yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran mengakui pengumuman Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran itu sesuatu pengumuman yang tentu mengejutkan ahli-ahli UPKO khasnya dan memeranjatkan kesemua penyokong BN di mana juga di negeri ini; namun hakikat ini harus diterima dan diakui kerana ia dilakukan bukan memikirkan kepentingan peribadi Bumburing tetapi demi kebaikan BN pada keseluruhannya.
"Selaku sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Tuaran, MANDAT merasakan keputusan yang dibuat oleh Bumburing adalah satu kehilangan terhadap perjuangan untuk memantapkan BN di negeri ini; malah dalam situasi ini MANDAT yang berpaksi kepada perjuangan Suara Anak-Anak Daerah Tuaran melihat pengunduran Bumburing ini satu pengorbanan bagi memberikan laluan kepada pemimpin muda untuk menggalas tanggungjawab dalam perjuangan BN selanjutnya," kata Marsah yang pernah menjawat jawatan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di Tuaran.
Marsah yang amat teruja dengan kata-kata Bumburing; "Jawatan tidak penting bagi saya, apapun peranan yang dipegang kalau kita teruskan berkhidmat kepada masyarakat, kita masih boleh menyumbang sesuatu yang lebih baik kepada rakyat".
Terdahulu semasa ditemui pemberita selepas berucap di Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran 2011 di Dewan Tun Hamdan Tamparuli baru-baru ini, Bumburing berharap kepada semua penyokong UPKO tidak mempunyai keraguan atau pertikaian mengenai kesetiaannya terhadap Parti UPKO.
"Saya ingin menjelaskan penyertaan saya dalam satu badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) baru-baru ini bukan penyebab saya melepaskan jawatan dalam UPKO tetapi hanya penyertaan yang secara kebetulan dengan pengumuman tidak mempertahankan jawatan dalam parti," katanya yang juga Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Bumburing memberitahu penyertaannya dalam AMANAH memang sudah diketahui oleh Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan beliau tahu bahawa AMANAH bukanlah sebuah parti politik tetapi merupakan NGO di peringkat kebangsaan yang dipimpin oleh Bekas Menteri Kewangan Malaysia,Tan Seri Tengku Razalih Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Bumburing yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata pihaknya sudah mempunyai 17 bahagian di Sabah dan sedang giat mengujudkan jumlah yang lebih banyak bahagian di Sabah.
Selain dari Bumburing, beberapa pemimpin tempatan dari Tuaran menyertai AMANAH terdiri daripada Bekas Ahli Parlimen Tuaran,Datuk Monggoh Orow, Denis Gimpah, Darshan Singh, Ramli Hakim, Balanting Erom, Sylvester Saraban Daniel, Soguli Olid, Haji Awang Puasa Jambul, Haji Ghulabdin Enjih dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu Marsah yang juga Ketua Cawangan UMNO Pulau Tengah Tuaran, berharap kepada semua kepimpinan parti dalam Barisan Nasional (BN) di negeri ini mencontohi pengorbanan Bumburing, terutama kepada pemimpin yang telah lama memberikan perkhidmatan kepada parti masing-masing.
Demi merasakan telah ada suara-suara akar umbi yang meminta pemimpin seperti ini untuk menyingkatkan tempoh perkhidmatan, maka pemimpin berkenaan kata Marsah harus akur demi memberikan laluan kepada pemimpin muda untuk menyambung tanggungjawab itu demi kebaikan BN negeri pada masa hadapan terutama ketika mendepani Pilihan Raya Umum yang ke 13 tidak lama lagi.
Sementara itu kata Marsah, Ahli Jawatankauas MANDAT bercadang akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Bumburing bagi menawarkan hasrat NGO yang baharu ditubuhkan di Tuaran untuk melantik Ahli Parlimen Tuaran itu sebagai salah seorang penaung MANDAT.
No comments:
Post a Comment