Wednesday, 7 September 2011

DAP TAWAN KEMABONG, PKR SEJUK!


Oleh: DEREC PHIN

KEMUNCULAN DAP di kawasan Kemabong memeranjatkan banyak pihak bahawa parti yang berkonsepkan perjuangan masyarakat Cina itu turut mendapat tempat di hati rakyat, khususnya suku kaum Murut yang tidak tahu pun asal usul keturunan DAP, serta dasar-dasar perjuangannya.

Begitu pun hadirin tergamam seketika apabila Penasihat DAP Lim Kit Siang ketika menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu begitu fasih dan jelas yang memudahkan beliau melakukan serangan demi serangan, bagaikan patukan ular telur selar (King Cobra) dengan menzahirkan perkataan berbisa terhadap kerajaan UMNO-BN.

Kit Siang yang memakai kacamata hitam (sun glass) ala S.Jibeng (Penyanyi OKU yang terkenal era 60-an) lantas menyifatkan ‘Tsunami Politik’ tahun 2008 menyebabkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) nyaris-nyaris kehilangan kuasa dan beralih kepada pembangkang, namun talian hayat UMNO-BN untuk terus berkuasa dapat diselamatkan Sabah, yang dilabelkan Dato’Seri Najib sebagai ‘Simpanan Tetap’.

Katanya, kebangkitan sokongan rakyat terhadap pembangkang yang terus memuncak di Semenanjong pada tahun 2008 menghasilkan empat negeri beralih ke tangan Pakatan Rakyat (PR) sehingga sekarang yang tidak mungkin akan berubah lagi.

“Kalau tiga tahun dulu Sabah dan Sarawak bersama-sama bekerjasama dengan kita, sudah pasti kita sudah tukar kerajaan kepada PR,” kata beliau di hadapan kira-kira lebih 500 hadirin dalam satu ceramah politik DAP di Kg Kalibatang Lama, kira-kira 40km dari pekan Tenom baru-baru ini.

Lim percaya bahawa penyertaan beramai-ramai rakyat luar bandar untuk berjuang bersama pembangkang menunjukkan sudah ada momentum bahawa pilihanraya kali ke-13 rakyat Sabah sudah bersedia menumbangkan kerajaan UMNO-BN yang mereka anggap sebagai kerajaan ‘Kuku Besi Dan Korupsi’.

Tambah Lim lagi, kalau dahulu ketika pembentukan Malaysia sekitar tahun 1963 bersama Malaya, Sabah merupakan negeri yang terkaya di Malaysia kerana memiliki sumber khazanah alam semulajadi; namun di sebaliknya sejak akhir-akhir ini Sabah dilabelkan sebagai sebuah negeri yang termiskin di Malaysia.

“Sebab itu, kita mahu menumbangkan kerajaan yang korupsi, tidak telus dan jujur seperti UMNO dan BN, kerana selagi mereka berkuasa, kita kehilangan segala-galanya termasuklah keadilan. Kita mahu pilihanraya dijalankan secara bersih, tetapi tak bersih. Sekarang kita mahu kuasa rakyat pada PRU13 untuk bersihkan mereka,” tegas Lim.

“Kita sedih sekali kerana kadar kemiskinan di Sabah semakin menjadi-jadi. Pada mulanya hanya pada paras 12 peratus sahaja tetapi sekarang terus melonjak kepada 40 peratus. (Jadi) apakah yang dilakukan mereka selama ini bantuan sini, bantuan sana nilainya berjuta-juta ringgit, tetapi rakyat terus juga dilanda kemiskinan. Apa ini?” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat bahawa mereka terus bersatu padu untuk mengukuhkan barisan pembangkang bagi merealisasikan niat dan hasrat mereka untuk menumbangkan kerajaan UMNO-BN pada pilihanraya umum kali ke-13 kerana dengan adanya kekuatan hasil kesepakatan pembangkang, kejayaan pasti akan terbukti berlaku.

Beliau turut mengulangi kenyataannya di masa lalu bahawa sekalipun kerajaan Sabah dapat ditawan pembangkang pada PRU13; namun tidak bermakna atau berkesan dalam pentadbirannya selagi sesebuah kerajaan yang dibentuk itu tidak sehaluan atau berkerjasama di peringkat nasional.

Terdahulu, Ketua Bahagian DAP Kemabong William @ Ensor bin Datuk Tingkalor yakin kawasan DUN Kemabong akan dapat ditawan oleh DAP pada PRU13 kerana setakat ini keahlian DAP kini sudah mencecah seramai 1,488 ahli dalam jangka masa beberapa bulan sahaja bertapak di situ.

Bagaimanapun, ucapan Ensor ditamatkannya begitu cepat dengan memberi alasan bahawa beliau belum bersedia, namun hadirin terus berteka-teki di dalam hati apakah Ensor benar-benar ikhlas menyertai DAP atau beliau dan pengikutnya berada dalam keadaan ‘terpaksa’ selepas PKR Kemabong tidak memberi laluan kepada pemimpin tempatan suku Murut menjadi calon pada PRU13.

Di akhir majlis tersebut, Lim Kit Siang menyampaikan sumbangan kepada beberapa warg emas sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidil Fitri. Hadir sama di majlis itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Adun Sri Tanjung Jimmy Wong, Setiausaha DAP Sabah Dr Edwin Bosi, Pemimpin DAP Pedalaman Dr Benjamin Yap dan Donny Entong.

No comments:

Post a Comment