KERAJAAN Malaysia menghargai pendirian kerajaan Australia yang tidak menyokong penggubalan rang undang-undang pelabelan minyak sawit yang boleh menjejaskan industri minyak sawit negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata Malaysia akan melakukan pelbagai usaha, termasuk menghantar wakil ke Australia untuk perbincangan peringkat jawatankuasa yang bakal berlangsung sebelum rang undang-undang yang memerlukan pelabelan minyak sawit dibahaskan di peringkat parlimen negara itu.
"Dalam hal ini Dr Craig Emerson, Menteri Perdagangan Australia dan kerajaan Australia dengan jelas telah menyatakan pendirian mereka bahawa rang undang-undang itu bersifat antiperdagangan dan mereka akan menentangnya. Saya memanjangkan penghargaan kita kepada kerajaan Australia," katanya pada sidang media di sini Isnin.
Katanya Malaysia juga akan menghubungi Dewan Perwakilan Bebas di Australia untuk menyampaikan maklumat mengenai kemampanan pembangunan minyak sawit di negara ini, sekaligus melobi sokongan mereka agar rang undang-undang itu tidak diluluskan di Dewan Perwakilan kelak.
Selain itu katanya, Malaysia juga sedia berkerjasama dengan institusi-institusi di Australia seperti Pertubuhan Penyelidikan dan Saintifik Komanwel (CSIRIO) bagi mengiatkan penyelidikan ke atas penggunaan minyak sawit dan kesihatan.
Pada 23 Jun, Senat Australia meluluskan pindaan kepada Akta Makanan yang memerlukan produk yang mengandungi minyak sawit dilabelkan, berbanding disenaraikan sebagai ‘minyak sayur-sayuran’, yang Malaysia menganggapnya sebagai diskriminasi terhadap hasil tanaman itu.
Justeru, Dompok bertemu anggota Senat, Nick Xenophon di Parlimen baru-baru ini dan memberikan penjelasan terperinci mengenai bahawa minyak sawit selamat selain spesies unik Orang Utan di Sabah dan Sarawak dilindungi.
Dompok juga menegaskan Malaysia komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah tanah sebagai hutan bagi menyediakan perlindungan secukupnya untuk Orang Utan.
Dalam pada itu, Dompok berkata semua stesyen minyak di negara ini akan dilengkapi kemudahan biodiesel, B5 sebelum hujung tahun depan.
"Pada masa in hanya zon pertengahan di negara ini sahaja mempunyai B5. Kita harap sebelum hujung tahun depan, semua stesyen minyak di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak, mempunyai kemudahan itu. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment