Sunday, 4 September 2011

‘HERO’ MAT SABU, PERBEKK BUAT LAPORAN POLIS



LAPORAN …Kelihatan Pengerusi PERKEBB bersama AJK Mazlan Jojet dan rakan ketika membuat laporan Polis di Balai Polis Beaufort. Gambar sisipan, Jamawi Jaafar.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SATU laporan polis dilakukan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kemarin bagi membantah kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah ‘HERO’ sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Laporan polis itu dilakukan Persatuan Belia Kampung Kuridak (PERBEKK) yang diketuai oleh Pengerusinya Ustaz Md Said Awang Damit

Menurut Md Said, kenyataan Mohamad Sabu, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, itu hanya untuk kepentingan diri sendiri yang bertujuan meraih popularity.

Katanya, Mat Sabu tidak layak menjadi seorang pemimpin dan disanjung kerana cetek sejarah dan sanggup memperlekehkan anggota keselamatan.

Sementara itu di Tenom Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom juga melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kedangkalan pemikiran Mohamad Sabu yang meletakkan beliau pada kedudukan buta pada sejarah.

Ketuanya, Jamawi Jaafar ketika dihubungi berkata, kenyataan Mohamad Sabu boleh mewujudkan kemarahan, khususnya kepada pihak pasukan keselamatan kerana kenyataan yang dikeluarkan berbaur kontroversi.

Mohamad mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila menyifatkan mereka yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 sebagai hero sebenar dan bukannya anggota polis yang terkorban dalam peristiwa itu.

Menurut Jamawi yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia kenyataan tersebut dibuat bukan berlandaskan fakta sejarah, namun ianya lebih kepada keinginan untuk mencari populariti.

Jamawi turut meminta kerajaan bertindak tegas berhubung perkara itu memandangkan ia menyentuh sensitiviti perasaan sesetengah pihak khususnya anggota keluarga yang terlibat dalam peristiwa tersebut.

‘‘Kita, bimbang jika perkara ini dibiarkan sahaja, ia akan mendatangkan impak negatif ke atas negara, seolah-olah Malaysia cuba menghidupkan semula ideologi komunis,” jelas Jamawi.

No comments:

Post a Comment