KEDAI Rakyat 1Malaysia yang menawarkan harga barangan berpatutan dicadang dibuka di Labuan berikutan permintaan dan keperluan dalam usaha meringankan beban pengguna di pulau bebas cukai ini.
Penduduk Labuan yang kini mencecah lebih 100,000 orang masih bergantung kepada barangan keperluan import dari tanah besar Sabah dengan kadar harga ada yang mencecah lebih 20 peratus tinggi berbanding di Kota Kinabalu berikutan kos pengangkutan.
Pelabuhan bebas Labuan kebanyakannya mengendalikan kargo untuk sektor minyak dan gas selain bahan-bahan untuk sektor pembinaan manakala barangan pengguna diangkut ke Labuan melalui pengangkutan feri dari Pelabuhan Sepanggar, Sabah.
Penghantaran kargo terus ke Pelabuhan Sepanggar dan bukan ke Labuan disebabkan kuantiti atau Cargo Volume dari Labuan adalah kecil berbanding dari Kota Kinabalu, dan ini menjadikan kos pengangkutan penyumbang utama kepada harga barangan tinggi di Labuan berbanding bandar-bandar lain di Sabah.
Bercakap kepada Bernama pada Selasa, pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Nursafariza Ihsan berkata Kedai Rakyat 1Malaysia adalah satu konsep perniagaan yang boleh membantu meringankan beban pengguna yang menawarkan barangan dengan kadar harga yang terendah dan berpatutan.
"Pada masa ini, Kedai Rakyat 1Malaysia diurus oleh Mydin dan berkonsepkan pasar mini yang menjual barangan keperluan harian pada harga terendah dan berpatutan," katanya.
Kerajaan dijangka membuka 24 Kedai Rakyat 1Malaysia di sekitar Lembah Klang sebelum akhir tahun ini, dan 60 buah sehingga tahun depan.
"Dengan adanya kedai tersebut, ia akan mengurangkan beban rakyat dalam berbelanja sekaligus memberi manfaat besar kepada pembekal tempatan," katanya.
Sementara itu, sebuah syarikat tempatan Asian Supply Chain Sdn Bhd telah mengajukan permohonan kepada PPDNKK untuk menjadi pengusaha utama Kedai Rakyat 1Malaysia di Labuan dan bersedia menyediakan premis untuk tujuan tersebut.
Pengurus syarikat itu, Khatijah Jistoh berkata pihaknya bersedia untuk berbincang dengan pengurusan Mydin bagi penghantaran barangan terus ke Labuan melalui sistem menang-menang. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment