Thursday, 8 September 2011

LAHAD DATU PERLU 75MLD AIR SEHARI!



EHSAN......Jabatan Air Lahad Datu menyediakan paip khas berdekatan pejabat Jabatan Air di Lahad untuk pengguna yang bermasalah mendapatkan bekalan air. Gambar sisipan Shamsul Bahriy.

Oleh : MUTALIB M.D

KEPESATAN Pembangunan Lahad Datu menyebabkan Jabatan Air Sabah menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan kerana bandar ini memerlukan sekurang-kurangnya 75 juta liter air terawat sehari.

Jurutera Bahagian Jabatan Air Lahad Datu, Haji Shamsul Bahriy Marullah, ketika ditemui di pejabatnya mengesahkan bahawa Lahad Datu kini mengalami masalah bekalan air yang meruncing dan pihaknya terpaksa mengadakan catuan di beberapa kawasan yang mengalami tekanan rendah.

“Kita perlukan lebih 75MLD sehari kerana buat masa ini dua loji kita hanya boleh membekal lebih kurang 50MLD sehari. Permintaan untuk POIC sahaja lebih 30MLD,” kata Shamsul yang mengakui pihaknya telah menghantar permohonan menaiktaraf bekalan air Lahad Datu sejak tahun lalu.

Shamsul menegaskan pihaknya tidak menghadapi masalah untuk membekalkan air ke seluruh Lahad Datu yang telah mendahului Sandakan dan Tawau dalam kepesatan pembangunan bandar baru, terutama POIC; jika kapasiti menjana bekalan air bersih dapat ditingkatkan segera.

Namun buat masa ini, pihaknya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengadakan catuan bagi kawasan yang tidak mendapat bekalan air kerana pelbagai masalah seperti kebocoran, kecurian, penggunaan pam penyedut dan tekanan rendah.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita telah menghantar air dengan lori tangki bagi kawasan yang tidak memperolehi bekalan air lebih daripada sehari,” kata Shamsul yang mengakui program berkenaan hanya sementara, agak terhad dan hanya dapat dilakukan mengikut keperluan yang mendesak.

Ketika diajukan masalah bekalan air di Kampung Kenangan, Shamsul mengakui pihaknya sedang mengatasi masalah tersebut dan memerlukan masa lebih kurang enam bulan sebelum isu berkenaan dapat diatasi secara tuntas.

Tinjauan Sabahkini.net mendapati ramai pemilik rumah, terutama di Taman Warisan 1 mengadu tidak mendapat bekalan air secara percuma daripada Jabatan Air kerana hos getah lori tangki berkenaan tidak cukup panjang untuk sampai ke tangki mereka.

“Kalau mau bagi air, bagilah betul-betul. Tangki kami berada di belakang rumah, tapi hos getah lori terlalu pendek. Sama juga macam tidak ikhlas mau bagi. Apa salahnya beli hos panjang dan pastikan semua rumah dapat air,” akui Nafsiah Daniel yang terpaksa membeli air daripada lori swasta setelah paip Jabatan Air hanya mengeluarkan angin sejak empat hari lalu.

1 comment: