SUMBANGAN......Gambar kelihatan Pengerusi MANDAT Marsah Muyong (dua dari kiri) sedang menyerahkan sumbangan dari MANDAT berupa keperluan harian kepada mangsa kebakaran, Serah Derakah (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Bendahari MANDAT Haji Awang Puasa Jambul dan Ketua Kampung Lok Batik KK Keh Haji Utoh.
Oleh: KREW SABAHKINI.NET
MAJLIS Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT) sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan di daerah ini menjadi wadah untuk menyampaikan harapan rakyat setempat kepada pihak berwajib; kini turut memberikan sumbangan kepada mangsa rumah terbakar di Kampung Lok Batik, Tuaran.
Pengerusi Penaja MANDAT, Marsah Muyong yang mewakili Ahli Jawatankuasa badan sukarela itu menyatakan, dengan adanya sedikit sumbangan dari badan NGO itu, diharap akan dapat meringankan sedikit bebanan yang menimpa keluarga yang terlibat.
"Perjuangan MANDAT bukan sekadar ingin menjadikan kesaksamaan dalam politik, pendidikan, ekonomi dan budaya semata-mata; namun lebih dari itu MANDAT juga ingin terlibat secara sukarela membantu dan menyumbang dalam meringankan bebanan penduduk setempat yang mendapat musibah seperti kebakaran dan sebagainya," kata Marsah yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran.
Beliau mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Tuaran agar bantuan segera berupa kewangan diberikan kepada keluarga yang sudah tentu memerlukannya bagi membeli pakaian dan keperluan harian.
Sementara itu Ketua Kampung Lok Batik Tuaran, KK Keh Haji Utoh yang sempat ditanya mengenai tragedi kebakaran itu, menyatakan suasana ceria Aidilfitri keluarga Serah Derakah di Kampung Lok Batik bertukar muram apabila rumah separuh kayu itu ranap dalam kebakaran pada jam 9.30 malam, Jumaat lepas.
Kata KK Keh, kebakaran itu berlaku dengan begitu pantas dan memusnahkan struktur rumah yang telah didirikan sejak 20 tahun lalu oleh bekas Ketua Kampung Kampung itu, Allahyarham KK Muhammad Haji Utoh, namun keluarga Serah masih boleh bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku semasa musibbah itu.
Mangsa kebakaran yang tinggal sehelai sepinggang, Serah Derakah ketika di temui selepas penyerahan sumbangan itu, melahirkan terima kasih kepada pihak MANDAT kerana sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan keluarganya.
"Sumbangan begitu banyak dari pelbagai pihak kerana atas ehsan para pemimpin dan masyarakat keliling dapat membantu untuk meringankan bebanan yang sesungguhnya amat menyayat hati di sepanjang perjalanan hidup keluarga kami. Mudah-mudahan Allah jua akan dapat memberikan ganjaran terhadap semua sumbanagan yang kami terima, termasuklah dari MANDAT," kata Serah yang akan menjadikan Dewan Serbaguna berhampiran sebagai tempat tinggal sementara keluarganya.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha MANDAT Haji Ghulabdin Enjih; Bendahari Haji Awang Puasa Jambul; Ahli Jawatankuasa Shaihun Ibrahim dan Ketua Kampung Kampung Lok Batik Tuaran KK Keh Haji Utoh.
No comments:
Post a Comment