Monday, 19 September 2011

MISKIN BUKAN ALASAN TIDAK KE SEKOLAH



DIHARGAI…Jamawi ketika menyampaikan cendera kenangan kepada Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah selepas program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

TIADA lagi alasan bagi golongan miskin di negara ini untuk ketinggalan dalam pendidikan setelah kerajaan memberi penekanan yang serius dalam bidang ini.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata dengan pelbagai insentif termasuk menghapuskan yuran sekolah, pemansuhan yuran peperiksaan dan perluasan skim pinjaman buku teks untuk semua pelajar, golongan miskin dan berpendapatan rendah tidak lagi boleh memberi alasan untuk mengabaikan pelajaran anak-anak mereka.

Sebaliknya, Jamawi berkata penekanan ketara dalam bidang pendidikan menjadi aspirasi kepada semua rakyat mendapat ilmu pengetahuan yang mencukupi bagi menjamin pembangunan negara dan kesejahteraan hidup.

“Kita tidak mahu kemiskinan menjadi halangan dan alasan untuk ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya semasa berucap menutup program Mitovasi Perdana anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom dengan Kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di Tenom, baru-baru ini.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkata, tugas mendidik pelajar bukan lagi merupakan tugas eksklusif pihak sekolah, tetapi tanggungjawab bersama semua pihak.

Katanya, para guru ibubapa dan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan semua pihak perlu bersama menggalas tanggungjawab dalam memastikan peningkatan tahap kecermalangan pendidikan negara.

"Kita perlu memastikan pelajar kita dapat dibimbing, dididik, diberikan suntikan semangat dan mitovasi agar menjadi manusia berguna dan dapat meningkatkan pencapaian akademik dan bukan akademik,” kata Jamawi yang mengakui pelajaran dapat menyumbang pembangunan kepada negara di masa akan datang.

Menurutnya transformasi yang dilakukan oleh kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi (GTP) memerlukan sokongan semua pihak dan pendidikan merupakan antara eleman yang turut membantu menjayakan proses tranformasi tersebut.

“Pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan untuk menjana kemajuan pendidikan di Negara ini terutamanya bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau Institut Pengajian Tinggi Swasta,” kata Jamawi yang menegaskan bahawa biasiswa, pinjaman melalui pelbagai agensi kerajaan seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam, Yayasan Sabah diberikan bagi membolehkan pelajar mencapai keputusan yang cemerlang.

Sementara itu, kepetahan pakar Motivasi, Datuk Dr. Haji Mohd. Fadzilah Kamsah yang menjadi penceramah pada program tersebut turut memukau lebih dari 1,300 orang pelajar, guru-guru dan ibubapa di majlis tersebut.

Majoriti yang ditemui memuji usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda Umno Tenom kerana membawa program tersebut ke kawasan Pedalaman bagi memberikan suntikan motivasi kepada para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting hujung tahun ini dan berharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment