PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menafikan dakwaan kononnya Ketua Bahagian PBS Sook, Datuk Bernard Maraat telah mengisytiharkan akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya akan datang jika tidak dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.
"Saya berada di sana pada waktu itu (mesyuarat agung tahunan PBS Sook) tetapi saya tidak dengar pun beliau berkata begitu, saya tidak tahu dari mana mereka dapat sumber maklumat itu.
"Mungkin dorang (mereka) terdengar di mana-mana atau mereka ‘bikin-bikin’ (mengada-adakan) cerita," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Hajiji Mohd Noor di Dewan Bersatu Tuaran, di sini.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sook, Kahirin Bador agar Presiden PBS mengambil tindakan tegas terhadap Bernard yang didakwa mengeluarkan kenyataan itu pada mesyuarat agung tahunan PBS Sook yang diadakan baru-baru ini.
Bernard, bekas Setiausaha Agung PBRS pimpinan Tan Sri Joseph Kurup, meninggalkan parti itu selepas tidak dicalonkan semula pada pilihan raya umum lepas.
Pairin berkata sesiapa sahaja anggota BN yang ingin bertanding sebagai calon bebas akan berhadapan dengan tindakan disiplin termasuk pemecatan. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment