Tuesday, 6 September 2011

PEMIMPIN LDP SIBUK ATAU BIOKOT?



TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, hairan kenapa pemimpin-pemimpin kanan Parti Liberal Demokratik (LDP) tidak menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman dan Kabinet negeri di Kompleks Sukan Likas, baru-baru ini.

Katanya, lebih menghairankan apabila pemimpin kanan parti itu dapat pula menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negeri dan rumah terbuka Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang jauh di Semporna, kemudian bersama-sama ke Papar menghadiri rumah terbuka Adun Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail.

"Adakah mereka ini terlalu sibuk dengan komitmen lain atau sengaja boikot acara Ketua Menteri dan kerajaan negeri. Kalau ia disengajakan, ia sesuatu yang amat mendukacitakan kerana tidak memberi penghormatan kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negeri," katanya.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di DUN Sabah kelmarin.

Pada sambutan hari pertama Aidilfitri lepas, Presiden LDP Datuk VK Liew menghadiri rumah terbuk di Istana Negeri, tetapi keesokan harinya tidak kelihatan kelibat pemimpin kanan LDP termasuk presidennya pada rumah terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Sukan Likas.

Namun, pada hari ketiga Aidilfitri, Liew dan pemimpinnya menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Shafie di Semporna dan keesokan harinya pula bersama-sama menghadiri rumah terbuka Rahim di Papar.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata, ketidakhadiran pemimpin kanan LDP pada rumah terbuka Ketua Menteri dan Jemaah Menteri itu menjadi bualan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia seolah-olah tidak menghormati Musa dan pimpinan negeri.

"Malahan, ia disifatkan seperti tidak mempunyai semangat kekeluargaan BN sebagaimana sepatutnya dijunjung oleh setiap parti komponen," katanya.

No comments:

Post a Comment