SIMPATI…Jamawi bersama rombongan ketika menziarahi seorang ahli pemuda cawangan Umno Bukuku, Matusa Atung yang terlantar sakit buah pinggang di kediamannya di kampung Bukuku, semasa program tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
PEMIMPIN dan anggota Pergerakan Pemuda Umno perlu terus melestarikan budaya sukarelawan di kalangan ahlinya agar sikap prihatin, peka dan penyayang dapat dipupuk agar sebati dengan budaya luhur masyarakat di negara ini.
Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, semangat sukarelawan perlu diterap; khususnya di kalangan generasi muda agar ia menjadi amalan murni, di samping menghindari sikap individualistik.
Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom berkata, bagi mengharungi abad ke-21, Malaysia memerlukan generasi baru yang boleh menjana perubahan diri sendiri.
"Saya khuatir jika budaya ini (sukarelawan) tidak diterap sejak remaja lagi, tidak mustahil suatu hari nanti budaya ini akan luput ditelan zaman," katanya ketika mengetuai Rombongan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom melakukan lawatan dalam program turun padang pergerakan tersebut ke bebarapa buah kampung antaranya; Kampung Tiningkang,Sugian, Bakuku, Kemabong dan Ulu Tomani.
Jamawi berkata, jika budaya sukarelawan disemai dalam setiap program Pemuda Umno dan Barisan Nasional, ia sekaligus akan memperkasakan Gagasan 1Malaysia dan seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan prihatin.
PERLU PERHATIAN…Jamawi ketika meninjau keadaan rumah seorang penduduk Bukuku yang perlu dibantu untuk mendapatkan rumah PPRT.
Menurut beliau, program Ziarah dan Turun Padang yang telah dan akan dilaksanakan secara beterusan oleh pergerakanPemuda Umno Bahagian Tenom adalah usaha mendekatkan parti dan kerajaan dengan rakyat; selaras dengan slogan 1 Malaysia.
“Semasa program turun padang ini kita laksanakan, kita cuba memantau dan membantu apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat. Jika dapat kita selesaikan segera,” jelas Jamawi.
Tambahnya program yang dilaksanakan oleh pergerakan itu sama sekali tidak meletakkan agenda peribadi, namun sebagai asas bagi meletakkan kekuatan parti agar sentiasa berada di barisan hadapan agar bila berhadapan dengan pilihanraya, mudah bagi Barisan Nasional mencapai kejayaan.
"Saya menyeru semua ahli Pemuda supaya menghulurkan bantuan kepada orang lain, agar kita dapat memanfaatkan potensi diri untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat," katanya.
Katanya, ahli-ahli pemuda akan memainkan peranan sebagai ‘Duta Kecil’ dalam mempromosi usaha parti dan kerajaan agar tidak ada pihak terutamanya parti pembangkang yang cuba memutarbalitkan fakta semata mata untuk mempengaruhi fikiran rakyat untuk menyokong perjuangan mereka yang sia-sia.
No comments:
Post a Comment