Friday 16 September 2011

PROJEK JALANRAYA RM300 JUTA DI SOOK



TAGAL…..Kurup dan Elron masing-masing menerima ikan palian hasil dari Tuai Tagal di Sungai Lanas yang disampaikan oleh Pegawai Perikanan Sook.

Oleh : YAYASAN DALIMPOS

PENDUDUK di daerah kecil Sook bakal menikmati sebatang jalanraya yang panjang dengan beraspal apabila sebatang jalanraya menghubungkan pekan Sook ke Trusmadi di Jalan Tulid, siap kelak.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Tan Sri Joseph Kurup berkata, jalan raya berkenaan yang menelan kos kira-kira RM300 juta itu mampu memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk; khususnya di kawasan Tulid dan Trusmadi kerana kebanyakan penduduk Sook tinggal di sepanjang kampung berhampiran pinggir jalanraya tersebut.

Jalanraya tersebut yang sedang dalam pembinaan oleh sebuah syarikat mampu memberi manfaat kepada penduduk apabila mereka lebih mudah mengeluarkan hasil pertanian dan senang ke bandar Keningau kerana keadaan jalanraya yang baik.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata ketika merasmikan majlis tuai tagal dan perasmian jambatan gantung di Mukim Lanas pada Sabtu.

Kurup berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat di luar bandar, bukan sahaja dengan menyediakan jutaan peruntukan untuk melaksanakan projek-projek penting untuk meningkatkan ekonomi dan infrastruktur penduduk di semua kampung dan pekan disini.

MESIN…..Kurup menyampaikan sebuah mesin rumput kepada WKAN Mangop di Mukim Lanas.

Beliau bagaimanapun menyeru kepada rakyat agar menyampaikan segala masalah mereka kepada wakil rakyat untuk diambil tindakan munasabah khususnya yang melibatkan pembangunan dan masalah pemilikan tanah adat.

"Rakyat seharusnya menyampaikan mesej mereka kepada wakil rakyat untuk diambil tindakan munasabah agar pembangunan yang diberikan lebih jelas dinikmati rakyat,” katanya.

Rakyat Sook juga beruntung kerana kepimpinan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diwakili kedua-dua Wakil Rakyat Parlimen dan Adun telah mengubah wajah pekan Sook dan kampung-kampung di kawasan Pensiangan dengan pembangunan yang diberikan; contohnya dengan adanya Pusat Pengajian Tinggi (Universiti) UiTM.

Sementara itu, kata Kurup bagi penduduk secara keseluruhannya telah menerima pelbagai projek yang dapat membangunkan mereka; contohnya seperti projek bantuan rumah (PBR), bekalan elektrik, bekalan air dan tanaman pertanian yang boleh menjana pendapatan mereka pada masa akan datang.

Kurup juga menyarankan agar rakyat menjaga spesis sungai iaitu ikan-ikan air tawar dengan sentiasa mengamalkan sistem tagal bagi mengelak kepupusan spesis ikan berkenaan.

Mengenai pembangunan rakyat hendaknya memberi sokongan kepada kepimpinan negara yang sedia ada seperti kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memberikan banyak pembangunan untuk rakyat, umumnya di negeri ini.

"Alangkah baiknya jika rakyat memahami dasar kerajaan dalam konsep 1Malaysia yang mahukan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan merangkumi aspek pembangunan terutama rakyat di luar bandar,” katanya.

Kira-kira 400 orang menghadiri majlis itu, antaranya melibatkan enam buah kampung iaitu Kg.Alab, KG.Lanas, Kg.Kuit, Kg.Pinipi, Kg.Kilo dan Kg.Mampias dalam mukim Lanas.

Dalam pada itu Wakil Ketua Anak Negeri, Mukim Lanas, Mangop Kinandong, 51 berkata, kerajaan BN telah banyak membawa perubahan dengan memberikan pembangunan kepada mukim tersebut ini termasuklah sebelum ini di bawah kepimpinan wakil rakyat Tan Sri Joseph Kurup telah berjaya membina ratusan buah rumah bagi manfaat rakyat di setiap kampung.

Menurut Mangop, tidak ada alasan penduduk untuk tidak menyokong BN dan wakil rakyat serta komponen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kerana membawa pembangunan kepada rakyat apabila sawah-sawah padi dipasang parit konkrit; pembahagian benih getah oleh Datuk Elron Angin dan penanaman kelapa sawit; pemilikan tanah untuk pertanian; pembahagian bantuan kepada murid (KWAPM) serta bantuan kepada orang tua.

"Segala bentuk sumbangan dan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan terbukti memberi impak yang baik untuk masa depan kepada keseluruhan rakyat di mukim ini dan daerah kecil Sook,” katanya.

Rakyat di Mukim Lanas sangat berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan untuk membangunkan rakyat, ini kerana kerajaan BN telah membawa transformasi 1Malaysia sebagai dasar untuk membangunkan rakyat yang bersatu padu dan harmoni, jelas beliau.

ADUAN….Orang ramai yang hadir berkesempatan memaklumkan masalah mereka kepada Tan Sri Kurup dan Datuk Elron.

Mengenai pengaspalan jalanraya dari Pekan Sook ke Trusmadi amat disambut baik dan merupakan projek besar yang mana telah dibawa oleh kerajaan BN, langkah proaktif wakil rakyat amat disanjung tinggi dan adalah merupakan pembangunan yang diimpikan oleh rakyat khususnya, di kawasan Sook selama ini.

Sempena majlis itu, Kurup turut menyampaikan sebuah mesin rumput dan berkenaan mendengar masalah yang dihadapi rakyat secara muka ke muka dengan penuh kemesraan.

Dalam pada itu, kira-kira 99 orang ahli telah mendaftar masuk sebgai ahli Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mana penyerahan borang kepada Kurup disampaikan oleh Ketua kampung Mathius Angot.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sook, Datuk Alfred A.Angin, Pemimpin Kemajuan Rakyat Charles J Ikang, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung, Eble Duai dan pemimpin masyarakat mukim Lanas.

No comments:

Post a Comment