SIDANG.....Liew sedang ditemu bual oleh Wartawan Sabahkini.Net mengenai isu krisis dalaman BN.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
SEBAGAI rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN), kita berhak memberi pendapat dan komen yang membina demi untuk kebaikan bersama sejajar dengan konsep perjuangan parti BN yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Kalau kita menyuarakan segala kepincangan yang terdapat di dalam parti-parti komponen di bawah meja perundingan dengan para pemimpin atasan ini, tidak menjadi satu kesalahan atau disebut sebagai melanggar etika perjuangan dalam BN.”
Demikian dijelaskan sendiri oleh Presiden Parti LDP, Datuk Liew Vui Kiong ketika diajukan soalan oleh Sabahkini.Net mengenai sengketa yang berlaku antara segelintir pemimpim BN; khususnya UMNO yang kerap membidas kepimpinan LDP sejurus selepas menghadiri Majlis Kempen Hargailah Kesihatan Anda, anjuran Pejabat Ahli Parlimen Sandakan di sini, kelmarin.
“Sebagai anggota LDP parti komponen BN saya dan rakan-rakan lainnya dalam LDP masih menyokong sepenuhnya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj Aman sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sabah.
“Cuma ada segelintir ahli-ahli BN, khususnya ahli UMNO yang tidak berapa suka dengan LDP sehingga perkara kecilpun hendak dibesar-besarkan. Ini sangat jelas apabila ketidak hadiran saya ke rumah terbuka Hari Raya Ketua Menteri sudah menjadi isu besar dan digembar-gemburkan di media massa; sehingga menjadi bahan ejekan dan ketawa oleh parti-parti pembangkang,” jelasnya.
PERIKSA.....Liew menemani Heng pergi ke kaunter untuk memeriksa kesahihan maykad dengan menggunakan alat khas.
Ini bukan bermakna beliau dan pemimpin LDP lain tidak hadir ke rumah terbuka Ketua Menteri Sabah, maka LDP sudah tidak menyokong kepimpinan beliau (Musa). Anggapan sebegini rupa yang datangnya daripada pihak-pihak tertentu sengaja untuk menimbulkan ketegangan sesama sendiri, sepatutnya tidak berlaku.
“Saya membuat teguran secara tulus ikhlas akan apa yang berlaku di dalam jentera Barisan Nasional. Saya ikhlas dan tidak mempunyai motif lain; melainkan untuk memperkukuhkan jentera BN dan menguatkan lagi perjuangan parti komponen BN bagi menghadapi musuh-musuh politik BN yang sentiasa mengintai peluang,” kata V.K.Liew yang menafikan persengketaan LDP dengan pemimpin BN Sabah.
Berhubung dengan program ‘Kempen Hargailah Kesihatan Anda’ yang diadakan di Dewan Serbaguna Chi Wah Liew menjelaskan ia bertujuan untuk memberikan laluan kepada warga emas daerah ini mendapatkan rawatan seperti pemeriksaan darah tinggi, gula, kolestrol, mata dan gigi yang melibatkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kata V.K.Liew program sebegini akan diteruskan selagi mendapat kerjasama daripada penduduk setempat untuk sama-sama menjayakan program tersebut.
Beliau menambahkata, kerajaan Barisan Nasional bukan sekadar fokus kepada peningkatan pembangunan asas, ekonomi semata-mata malahan dalam aspek kesihatan penduduknya juga perlu dijaga demi menjamin kesejahteraan rakyatnya dalam menikmati kehidupan seharian yang ceria.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie telah menyempurnakan program tersebut.
No comments:
Post a Comment