Saudari
Nurul Izzah,
EMBARGO
terhadap saudari memasuki Sabah tidaklah memberi sebarang makna jika
dibandingkan dengan tempoh 23 tahun yang terpaksa saya lalui untuk berulang
alik ke Jabatan Imigresen bagi mendapatkan pas keluar setiap kali mahu berurusan
ke Semenanjung Malaysia dan kembali ke Sabah; sekalipun saya sekeluarga
mendapat Permit Masuk (PR) Sabah pada 1974, dua tahun setelah tempoh yang
dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Sabah tamat.
Walaupun
kami sekeluarga mendapat PR Sabah, namun agak malang kerana Jabatan Pendaftaran
masih cuai memasukkan huruf 'H' di kad pengenalan saya, sedangkan semua adik
beradik, ibu dan bapa saya mempunyai huruf keramat 'H' di kad pengenalan
mereka.
Akhirnya
setelah 23 tahun berjuang, barulah JPN bersetuju memasukkan huruf 'H' ke dalam
Mykad saya dan bebas keluar masuk dari Sabah ke Semenanjung dengan hanya
menunjukkan Mykad.
Kejutan
yang saudari alami pada 30 Mei 2013, adalah lonjakan paradigma yang perlu
saudari lakukan sebagai permulaan iaitu mengkaji kerangka Perlembagaan Sabah
yang telah diabaikan oleh 222 Ahli Parlimen Malaysia yang selama ini telah
'bersubahat' menurunkan taraf Sabah daripada sebuah negara yang merdeka dan
berdaulat kepada negara Jajahan Tanah Melayu.
Memang
tidak ramai rakyat Malaysia, terutama Ahli Parlimen Malaysia termasuk saudari
yang mengenali Sabah dari segi konsep dan landskap politik; apatah lagi seolah
lupa bahawa bapa saudari pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri yang menjadi
'Mahakarya Politik' di Sabah.
Saudari
mungkin lupa bahawa Perkara 7 daripada 20 Perkara Fokus/Janji Pakatan Rakyat
Dalam Buku Jingga Sabah memaktubkan bahawa;
"7.
Mengukuhkan autonomi Sabah dengan menyemak kembali perkara-perkara yang
termaktub di dalam Perkara 20 untuk memastikan sebarang tindakan yang melanggar
Perkara 20 dihentikan serta merta."
Maka,
sukalah saya menarik perhatian berhubung janji ini yang sepatutnya saudari
laksanakan kerana Autonomi ialah perkara pokok yang diabaikan sejak Sabah
merdeka pada 16 September 1963.
Mengikut
Perkara 6: Imigresen (20 Perkara)
"Kawalan
ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya
terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara
sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
"Kerajaan
Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapa pun ke
dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas
sebab-sebab keselamatan sahaja.
"Borneo
Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan
seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada
tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara."
Sehubungan
itu, walaupun dilayan sebagai 'Pendatang Asing' namun saya akur kerana dari
segi undang-undang bahawa saya adalah 'Milik Negeri Sabah' dan berhak masuk dan
tinggal tetap di Sabah, namun oleh kerana kad pengenalan saya belum mempunyai
huruf 'H' maka saya mematuhi kehendak Jabatan Imigresen agar saya mengambil pas
khas jika ingin ke Semenanjung Malaysia.
Ada
ketikanya saya tidak dapat masuk ke Sabah atau tidak dapat keluar dari Sabah
kerana ketika itu pas khas perlu dipohon lebih awal; namun saya menghormati
kuasa Autonomi yang ada pada Ketua Menteri Sabah.
Oleh
kerana hampir semua Ketua Menteri Sabah menggunakan kuasa autonomi mereka untuk
menghalang Persona Non Grata; maka tidak ada hebat atau bezanya saudari jika
dibandingkan dengan Peguam Kanan Sugumar Balakrishnan yang pernah dihalang
daripada memasuki Sabah, sedangkan beliau mempunyai PR Sabah seperti saya dan
puluhan ribu pemegang PR di Sabah yang tidak boleh membantah jika PR mereka
dibatalkan kerana kuasa mutlak Ketua Menteri.
Tidak
ada dinyatakan dalam mana-mana peraturan Ketua Menteri Sabah perlu memberi
penjelasan atau mewartakan sebab musabah menahan 'Persona Non Grata' daripada
memasuki Sabah kerana terletak di bawah bidang kuasa istimewa beliau; Pengarah
Imigresen hanya melaksanakan tugas mengikut undang-undang.
Isu
kuasa istimewa Ketua Menteri ini telah berlarutan sejak 1963 namun jarang
dipedulikan oleh Ahli Politik Pembangkang, melainkan setelah mengalami
'gangguan emosi' dan merasa malu kerana dikategorikan sebagai 'Persona Non
Grata'.
Tindakan
menyaman Ketua Menteri Sabah atau Kerajaan Negeri Sabah tidak memberikan
sebarang makna kerana hak-hak khas Perlembagaan dibenarkan di bawah
Perlembagaan Persekutuan.
Saudari
berkata disekat masuk ke Sabah di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 dan akan
mencabar keputusan menghalang itu di mahkamah; dan sepasukan peguam yang
diketuai oleh Ahli Parlimen PKR Penampang, Darell Leiking sedang meneliti
perkara itu dan kes itu akan difailkan di Kota Kinabalu, sebaik sahaja pasukan
peguam itu sudah bersedia.
Namun saudari mungkin tidak
sedar bahawa di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada Kerajaan
Negeri Sabah oleh Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut, Kerajaan Negeri Sabah tidak
perlu memberikan sebarang alasan.
Sebaliknya,
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengambil tindakan bijak kerana enggan
mengulas tindakan halangan masuk terhadap saudari ke Sabah bagi membuktikan
bahawa hak Imigresen adalah hak mutlak Sabah yang tidak perlu dipertikaikan
oleh sesiapa pun.
Walaupun
ramai pihak menyifatkan tindakan menghalang saudari memasuki Sabah sebagai “Penahanan
Anti Demokratik”, namun dalam masa yang sama sewajarnya saudari bertolak ansur
dengan 'sekatan' berkenaan dan menyokong 'Autonomi' sebagaimana yang
diperjuangkan dalam 20 perkara dan Buku Jingga yang dijadikan manifesto Pakatan
Rakyat di Sabah semasa PRU-13 lalu.
Apa
Locus Standi saudari untuk menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah,
Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh mengapa larangan yang
dikenakan terhadap saudari?; sekalipun secara fizikalnya beliau tidak mengancam
keselamatan warga Sabah.
Oleh kerana saudari bukan
individu milik negeri Sabah (bukan rakyat Sabah), maka saudari tidak diberikan
hak mencari nafkah di negeri Sabah atau masuk secara bebas 'menebeng' kepada
paksi politik; termasuk mengembangkan pengaruh politik di Sabah.
Jika Kerajaan Negeri Sabah
mahu menghalang saudari, tidak ada siapa mampu menghalang Kerajaan Sabah
memberikan status 'Persona Non Grata' kepada saudari; terutama ketika hebat
berkempen PRU-13 lalu, namun insiden berkenaan tidak berlaku.
Persoalannya,
kenapa Musa Aman mesti melayan pertanyaan politik yang dibangkitkan saudari
sedangkan kuasa Imigresen adalah kuasa mutlak Ketua Menteri Sabah yang terhad
hanya untuk orang 'Malaya' atau 'Sarawak' yang ingin masuk ke Sabah; tetapi tidak
mempunyai autonomi terhadap warga asing.
Oleh
itu, kutukan bahawa Kerajaan Negeri gagal mengekang kemasukan 'Bala Tentera
Syaitan Kiram' dan PATI tidak seharusnya dilontarkan terhadap kerajaan negeri;
melainkan jika saudari dan 221 orang Ahli Parlimen Malaysia membawa usul untuk
memberi kuasa autonomi kepada Sabah melalui Akta Imigresen berhubung warga
asing, sejajar dengan statusnya sebagai sebagai sebuah 'Negara' pada 16
September 1963.
Mungkin
agak keterlaluan jika saya katakan saudari hanya salah satu watak 'Wayang
Kulit' kerana Pakatan Rakyat tidak ikhlas menyelesaikan isu PATI di Sabah dan
saya terpaksa berjuang bersendirian membongkar segala kejalangan yang dilakukan
dan direstui kesemua Ahli Parlimen Malaysia demi kejayaan perselingkuhan
politik dan merancang 'kudita' setelah pilihanraya umum tidak menjadi medan
tempur yang bermaruah.
Sejak
1999 saya tidak pernah gentar atau undur untuk memperjuangkan kedaulatan Sabah;
termasuk bertegas untuk menghalang kemasukan 'Warga Malaya' secara tidak sah ke
Sabah dan Warga Asing secara berkomplot oleh pihak berkuasa politik di Malaysia
sehinggalah tertubuhnya RCI di Sabah.
Adalah
mustahil, sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan warganegara Malaysia, saudari
tidak menyedari wujudnya 'Kuasa Mutlak' Ketua Menteri Sabah yang WAJIB
dilaksanakan oleh Pengarah Imigresen Sabah untuk menyekat kemasukan sebarang
pergerakan rakyat Malaysia ke Sabah.
Anggapan
saudari bahawa adalah tidak rasional dan menganggap tindakan sekatan ini
merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik; hanyalah
'Gurauan Nakal' seorang Ahli Parlimen Muda yang tidak tahu menghormati 'Tuan
Rumah'.
Sebagai
'Tuan Rumah' atau Ketua Menteri, Musa Aman tidak perlu memberikan sebarang
penjelasan kerana Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 sudah cukup jelas; malah
tidak menghalang saudari menggunakan hak Perlembagaannya untuk memfailkan saman
mencabar keputusan Kerajaan Negeri Sabah.
Sewajarnya
mulai sekarang, saudari patut belajar menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan
Perlembagaan Persekutuan sebelum berbahas di dalam Dewan Parlimen kerana orang
bijaksana berbahas dengan minda dan bertingkah dengan tinta; bukannya
demonstrasi atau membuat publisiti murahan seperti sekarang.
Tindakan
spontan 'macho' Bung Moktar Radin membela saudari hanyalah untuk melahirkan
keluhan 'Desperado' yang 'menggatal' di dalam Twitter setelah gagal mendapat
kepercayaan Perdana Menteri untuk dilantik sebagai Menteri atau Timbalan
Menteri sejak sekian lama menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan.
Kata
Bung, “Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang
benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera.”
Persoalannya
siapa Bung mahu mempertikaikan keputusan Ketua Menteri menghalang saudari
memasuki Sabah? Akhirnya Bung akur juga bahawa beliau 'Bukan Ketua Menteri'
malah sempat mengesahkan bahawa akaun Twitter berkenaan adalah akaun palsu?
Malah saudari akhirnya 'terminum kencing sendiri' dengan mengatakan, "Malang,
tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di
kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad
pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan
DiRaja Sabah."
“Seharusnya
tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak
ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti
politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”
Saudari
mungkin terlupa bahawa bapa saudari salah seorang 'Jurutera' di belakang tabir dalam
'Ops Durian Buruk' terutama usaha merampas kuasa daripada Kerajaan PBS pada
1994.
Kebolosan
sempadan bukan sahaja berlaku di Sabah, malah sehingga ke Lembah Kelang (Chow
Kit dibanjiri PATI); bukan kerana Sabah gagal menjaga sempadan dan kedaulatan
negara tetapi kerana kekangan Akta Imigresen yang bolos; termasuk 'tidak ada
undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menangkap PATI ketika berada di
Perairan Negara, melainkan setelah PATI berkenaan mendarat'.
PATI
ramai di Sabah kerana terlalu dekat dengan Sempadan Indonesia dan Filipina,
serta banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di Sabah sehingga 'Orang Malaya'
juga berpusu datang ke Sabah, sekalipun dihalang melalui kuasa Imigresen.
Persoalan
yang terlupa kita fikir ialah siapa yang beri kebenaran kepada 'Orang Malaya' termasuk
saudari masuk sesuka hati ke Sabah dan seenaknya memaki Anak Negeri Sabah dan
pemimpinnya dengan pelbagai gelaran dan panggilan?
Isu
Hak Istimewa Sabah terhadap Sekatan Imigresen bukanlah alat politik untuk
menindas rakyat, sebaliknya adalah Hak Autonomi yang dimiliki Sabah sejak
merdeka dan inilah yang cuba dihakis oleh Pakatan Rakyat.
Sebagai
'Rakyat Sabah' saya juga menentang saudari masuk ke Sabah tanpa urusan 'RASMI' dan
jika tidak ingin dihalau secara 'tidak berperlembagaan' masuklah secara
bermaruah dengan membuat permohonan kerana Sabah bukan salah satu 'negeri' di
Malaysia; sebaliknya 'Negara' dalam Negara.
Bagi membincangkan isu yang
dihadapi saudari dan mungkin ramai pemimpin Pembangkang yang dikeluarkan
perintah sekatan masuk ke Sabah, ada eloknya kita rujuk keputusan kes Rayuan
Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur antara Pihak Berkuasa Negeri Sabah (Perayu)
Vs Sugumar Balakrishnan (Responden) [Civil Appeal NOS: 01-1-99(S) &
01-2-99(S) bertarikh 23 Mei 2002 sebagai panduan agar tidak digelar Ahli
Parlimen 'Pak Pandir dan Mak Andih' atau Buta Undang-Undang'.
RESPONDEN seorang rakyat
Malaysia kelahiran Negeri Sembilan pergi ke Sabah pada 1975 untuk bekerja
sebagai guru. Kemudiannya, beliau layak sebagai seorang peguam dan mengamalkan
undang-undang di sana semenjak 1985 di bawah permit kerja yang diberikan kepadanya
berdasarkan per. 16(1) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Memandangkan beliau bukan
kelahiran Sabah di bawah Seksyen 71(1) Akta Imigresen 1959/63 ('Akta
tersebut'), beliau diperlu kan untuk mendapatkan pas untuk memasuki dan tinggal
di Sabah di bawah Seksyen 66(1) Akta tersebut.
Pada tahun 1995, responden
memohon permit masuk selama dua tahun dan tidak dipertikaikan pada penghujung
dua tahun tersebut, beliau akan dilayan sebagai seorang milik Sabah di bawah Seksyen
71(1) Akta tersebut.
Bagaimanapun, enam minggu
sebelum berakhirnya tempoh dua tahun, responden diberikan notis oleh Pengarah
Imigresen Sabah ('Pengarah') membatalkan permit masuknya di bawah Seksyen 65 (1)(c)
Akta tersebut. Notis tersebut dikeluarkan atas arahan Pihak Berkuasa Negeri
berdasarkan Seksyen 65(1) Akta yang sama.
Responden memohon kepada
Mahkamah Tinggi untuk suatu perintah 'Certiorari' untuk membatalkan keputusan
Pengarah tetapi ditolak oleh hakim yang bijaksana. Setelah merayu, Mahkamah Rayuan
mengetepikan perintah hakim yang bijaksana dan membenarkan permohonan
responden. Ianya membawa kepada rayuan-rayuan di mahkamah ini.
Isu-isunya adalah:
(1) sama ada pembatalan
permit masuk responden di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut dikecualikan
daripada semakan kehakiman jika dilihat daripada kesan bersama Seksyen 59 dan
59A Akta yang sama;
(2) sama ada Seksyen
65(1)(c) Akta tersebut yang jatuh di bawah Bahagian VII Akta tersebut mengatasi
peruntukan-peruntukan umum Bahagian I hingga Bahagian VI Akta tersebut yang
tidak konsisten bila terpakai kepada Sabah dan Sarawak;
(3) sama ada Pihak Berkuasa Negeri
mesti menyatakan sebab-sebab untuk pembatalan dan sama ada mahkamah berkuasa
untuk memeriksa sebab-sebab pembatalan yang dinyatakan kemudian di dalam
prosiding mahkamah;
(4) sama ada penafian hak
untuk didengar di bawah Seksyen 59 Akta tersebut melanggar Perkara 5 dan Perkara
8 Perlembagaan Persekutuan ('Perlembagaan'); dan
(5) sama ada pindaan kepada Seksyen
65(1) (c) Akta tersebut mempunyai kesan terkebelakang dan melanggar Agreement
Relating to Malaysia 1963 dan Report of the Inter-Governmental Committee 1962
Berikut adalah keputusan
yang dibuat sebulat oleh Corum Hakim Mohamed Dzaiddin HMP, Wan Adnan Ismail CJ (MALAYA)
dan Abdul Malek Ahmad FCJ;
Seksyen 59A Akta tersebut
telah diganti dengan seksyen baru oleh Akta (Pindaan) Imigresen 1997. Kenyataan
penjelasannya, yang mana membantu terjemahannya, menyatakan bahawa Seksyen 59A
yang baru memperuntukkan penafian semakan kehakiman di dalam mana-mana mahkamah
ke atas mana-mana tindakan atau keputusan Menteri atau Ketua Pengarah, atau di
dalam kes negeri Malaysia Timur, Pihak Berkuasa Negeri di bawah Akta tersebut,
kecuali persoalan-persoalan ketaatan prosedur.
Juga, nota catitan tepi
kepada seksyen berbunyi: "Exclusion of judicial review". Biarpun,
nota tepi tidak menguasai bahasa seksyen tersebut, sekurang-kurangnya
dibenarkan untuk mendapat satu pertimbangan terhadap tujuan umum dan elak
mudarat yang ditujukan.
Juga, bahasa di dalam Seksyen
59A adalah jelas berkenaan penafian semakan kehakiman. Dengan secara sengaja
menyatakan bahawa tiada semakan kehakiman, Parlimen tentu bertujuan bahawa
seksyen tersebut adalah muktamad tentang penafian semakan kehakiman di bawah
Akta tersebut.
Doktrin keadilan substantif
tidak boleh dirayu sebagai berasingan atau tambahan asas semakan kehakiman di
bawah Akta tersebut. Adalah tidak dibenarkan untuk mahkamah masuk campur dan
mengganggu satu keputusan yang secara statut tidak boleh disemak atas sebab
konsep baru tiada keadilan substantif yang tidak jelas dan terlalu umum di mana
mahkamah-mahkamah common law Inggeris sendiri tidak kenal pasti.
Bahagian VII Akta tersebut
mengatasi peruntukan-peruntukan Bahagian I hingga Bahagian VI yang tidak
konsisten jika dipakai kepada Sabah dan Sarawak sebagai undang-undang khas. Ini
adalah salah satu terma-terma penglibatan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan
Malaysia yang baru berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.
Bila berhubung dengan Bahagian VII, kl. (3) Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan
mesti diambilkira berdasarkan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak di mana
Parlimen boleh mengenakansekatan.
Sementara kl. 2 Perkara 9
memberikan setiap warganegara kebebasan untuk bergerak dan tinggal di mana-mana
bahagian Persekutuan, ianya tertakluk, inter alia kepada kl. 3 berdasarkan Seksyen
60 (2) Akta Malaysia 1963.
Seksyen 64(1) Akta tersebut
menggunakan bahasa yang jelas melalui perkataan "subject to and in
accordance with this chapter" yang bermakna pemakaian Bahagian I hingga
Bahagian VI bergantung kepada Bahagian VII.
Memandangkan Bahagian VII
telah ditentukan sebagai undang-undang khas, peruntukan umum Bahagian I hingga
Bahagian VI mesti memberi laluan kepada peruntukan khas Bahagian VII bersamaan dengan
prinsip 'generalibus specialia derogant'.
Seksyen 65 (1)(c) Akta
tersebut tidak mengenakan tanggungjawab statutory yang jelas kepada perayu
untuk memberikan alasan-alasan kepada responden.
Setakat berkaitan dengan
common law, undang-undang semasa menuju kepada pemberian alasan-alasan mengikut
alasan tetapi mengikut kes-kes.
Ikutan semasa undang-undang
tidak lari daripada kedudukan undang-undang yang jelas bahawa tiada tanggungjawab
umum yang dikenakan kepada pembuat keputusan.
Lagi, Pengarah tidak
diharapkan untuk memberikan alasan-alasan kepada responden memandangkan Pengarah
hanya menjalankan arahan-arahan perayu.
Seterusnya di dalam
menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada perayu oleh Seksyen 65(1)(c) Akta
tersebut, perayu tidak perlu memberikan alasan-alasan.
Seterusnya apa-apa alasan yang
diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri di prosiding mahkamah kemudiannya tidak boleh
diperiksa dan dipertimbangkan.
Mahkamah ini tidak bersetuju
dengan Mahkamah Rayuan bahawa perkataan "personal liberty" di dalam Perkara 5(1) Perlembagaan sepatutnya diterjemahkan
untuk dimasukkan semua pandangan yang merangkumi sebahagian kehidupan dan
perkara-perkara yang membentuk kualiti kehidupan.
Perkara-perkara lain yang
membentuk kualiti kehidupan telah dimaktubkan di dalam Bahagian II Perlembagaan
di bawah "Fundamental Liberties".
Permit masuk hanya
membenarkan responden masuk dan tinggal di Sabah, tetapi 'ipso facto' tidak
memberikan hak mencari nafkah kepada responden.
Oleh kerana responden bukan
individu milik negeri Sabah, beliau tidak diberikan hak mencari nafkah di negeri
tersebut.
Ada anggapan yang kuat
tentang kesahihan perlembagaan sesuatu enakmen atau seksyen yang meragukan
dengan beban pembuktian ke atas sesiapa yang mendakwa sebaliknya.
Perkara 8 (1) Perlembagaan menyebut
semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat
perlindungan sama rata di bawah undang-undang dan Perkara 9 (1) Perlembagaan
yang memberi hak kepada warganegara untuk bergerak bebas di seluruh Malaysia
dan tinggal di mana-mana bahagian, adalah tertakluk kepada kl. (3) Perkara 9
Perlembagaan yang, menurut Andrew Harding's Law, Government and the
Constitution in Malaysia, merujuk secara jelas kepada Sabah dan Sarawak,
kedua-duanya mendapat kedudukan istimewa.
Tujuan pengkelasan ialah
untuk menentukan pertikaian perlembagaan tidak boleh dibawa terhadap
negeri-negeri ini berdasarkan kuasa istimewa imigresen mereka yang boleh digunakan
untuk mengawal kemasukkan dari Semenanjung Malaysia.
Seterusnya, adalah jelas
daripada autoriti-autoriti bahawa hak-hak perlembagaan yang dijamin di bawah Perkara
5(1) Perlembagaan boleh diambil keluar berdasarkan undang-undang.
Oleh itu, Seksyen 59 Akta
tersebut yang menidakkan kuasa audi alteram partem, yang telah digubal oleh Parlimen
adalah sah dan berperlembagaan.
Disebabkan Akta (Pindaan)
Imigresen 1997 yang berkuatkuasa pada 1 Februari 1997, perkataan-perkataan
"exercise any discretion vested in him to" telah dibuang.
Pindaan kepada Seksyen 65 (1)(c)
tidak berkuatkuasa terkebelakang dengan mengambil kira fakta bahawa pindaan
tersebut berkuatkuasa pada 1 Februari 1997 dan permit masuk responden telah dibatalkan
pada 12 November 1997.
Adalah tidak sah untuk
Pengarah mengambil kesempatan peruntukan s. 65(1)(c) sebelum pindaan. Beliau mesti
bertindak di bawah seksyen yang dipinda.
Responden tidak mempunyai
hak tambahan di bawah permit masuk. Permit masuk hanya membenarkan responden
memasuki dan tinggal di Sabah secara sah selama dua tahun dan tidak memberikan
hak mencari nafkah kepada responden.
Urusan peribadinya mahupun amalan
guamannya bukan hak-hak tambahan yang diberikan oleh permit masuk tersebut.
Responden tidak boleh
dikatakan mempunyai harapan sahih bahawa permit masuk beliau tidak akan
dibatalkan memandangkan peruntukkan bertulis di bawah Akta bahawa permit masuk
tersebut boleh dibatalkan pada bila-bila masa.
Tambahan pula, tiada janji
atau pernyataan dibuat oleh perayu bahawa permit masuk beliau tidak akan
dibatalkan.
Pindaan kepada Seksyen
65(1)(c) Akta tersebut hanya mengambil kuasa budi bicara yang diberikan kepada
Pengarah di dalam mematuhi arahan Pihak Berkuasa Negeri.
Pindaan tersebut tidak di
dalam apa-apa cara mengganggu kuasa dan hak negeri berkenaan perkara-perkara
imigresen.
Oleh itu, tiada keperluan
untuk mematuhi Perkara 161 (E)(2) dan Perkara 159(3) Perlembagaan. Tujuan dan
semangat Agreement Relating to Malaysia 1963 dan Report of the
Inter-Governmental Committee 1962 tidak pada apa cara dimungkiri.
Responden tidak menunjukkan
bahawa pindaan tersebut tidak mengikut Perlembagaan dan memandangkan adalah
kelaziman bahawa sesuatu statut dianggap mengikut Perlembagaan sehingga
dibuktikan sebaliknya, pindaan Seksyen 65 (1) (c) Akta tersebut adalah sah.
Rayuan perayu dibenarkan;
rayuan responden ditolak.
Akhir kata, "Piring tak
retak, nasi tak dingin. Engkau tak hendak, aku tak ingin."
Salam Hormat,
MUTALIB M.D
Penulis Buku IC Projek
Agenda Tersembunyi Mahathir.
Tq bro for the info...
ReplyDeleteSpeaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman dalaman dan luaran yang boleh menggugat ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.
ReplyDeleteSalleh mengingatkan anggota Rela agar berhati-hati terhadap ancaman keselamatan yang dimainkan ahli politik yang tidak bertangungjawab yang mencetuskan kebencian terhadap kerajaan.
ReplyDelete"Ini adalah hasil daripada kumpulan yang lebih berminat untuk berkuasa melalui perjuangan mereka demi kepentingan individu tertentu dan bukannya untuk rakyat.
ReplyDelete"Kelompok ini sanggup berganding bahu dengan kuasa luar demi untuk memburuk-burukkan kepimpinan negara dan pada masa sama memberi imej negatif terhadap negara. Mereka ini sanggup mengamalkan budaya asing seperti menganjurkan demonstrasi dengan harapan untuk menggulingkan kerajaan," katanya.
ReplyDeleteMengambil contoh pemberontakan di Mesir, Salleh mengingatkan anggota Rela agar sentiasa berwaspada dan tidak memberi peluang kepada sebarang elemen yang boleh mengancam keamanan dan keselamatan Malaysia.
ReplyDelete"Mesir pernah menjadi sebuah negara stabil dan aman. Ia pernah menjadi negara berpengaruh dan pemangkin terhadap kestabilan negara-negara Asia Barat terutamanya dalam pembentukan negara Palestin.
ReplyDelete"Hari ini, ia adalah sebuah negara yang keadaan politik dan ekonominya tidak stabil dan akan mengambil masa lama untuk pulih kepada keadaan yang asal," katanya.
AUTONOMI Sabah adalah antara retorik kebencian yang sering dimainkan oleh pemimpin PR dalam agenda anti-Federalisme mereka.
ReplyDeleteNamun bila pemimpin Sabah melaksanakan autonomi dalam aspek imigresen, mereka pula yang gagal untuk menghormati keputusan pemimpin Sabah.
ReplyDeleteAutonomi dalam aspek imigrasi dan kemasukan ke dalam negeri Sabah merupakan salah satu perkara di dalam Memorandum 20 Perkara Borneo Utara ketika bersetuju menyertai Malaysia pada tahun 1963.
ReplyDeletePerkara 6 dalam Memorandum 20 Perkara adalah mengenai aspek Imigresen, yang menyatakan bahawa - Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
ReplyDeleteKerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukkan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.
ReplyDeleteBorneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.
ReplyDeleteNampaknya pemimpin PR bercakap hanya macam burung kakak tua ketika berceramah tentang autonomi Sabah dan sewaktu memainkan sentimen anti-Federalism - mereka tak faham pun apa yang mereka kata.
ReplyDelete