YANG
DI-PERTUAN Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu rakyat di negara ini
akur dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 yang telah ditentukan oleh mereka
sendiri.
Sambil
merakamkan tahniah kepada anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang
dipilih, Seri Paduka berharap semua pihak di negara ini memelihara keutuhan
sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak merdeka.
"Jika
ada perbezaan pendapat, gunakanlah kaedah penyelesaian sepertimana yang telah
digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," titah
baginda sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong yang
disiarkan secara langsung menerusi RTM semalam.
Baginda
bertitah: "Tindakan menanam kesangsian kepada institusi yang telah
diamanahkan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelolakan pilihan raya di negara
ini ialah perbuatan yang amat berbahaya dan hanya bakal menuai badai
pertelingkahan yang tidak berkesudahan."
"Janganlah
kita sekali-kali melemah dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi
Berparlimen dan Falsafah Persekutuan yang selama ini mendasari ramuan kejayaan
Malaysia," titah Seri Paduka.
Tuanku
Abdul Halim bertitah sebarang perubahan politik di negara ini perlulah
dilakukan secara aman dan menerusi peti undi berpandukan prinsip Keluhuran
Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
"Apakah
kita sanggup melihat Malaysia yang tercinta ini hancur dan lumpuh disebabkan
oleh perbuatan kita sendiri. Merosakkan sebuah kejayaan amat mudah, namun untuk
membinanya kembali amatlah sukar.
"Oleh
itu, janganlah benarkan ia terjadi, wariskanlah Malaysia yang bersatu dan
berjaya, kepada generasi Malaysia yang mendatang. Bak kata pepatah, sudah
terhantuk baru terngadah, seribu penyesalan sudah tidak berguna," titah
Seri Paduka.
Baginda
mengingatkan anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih supaya
berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan terbaik untuk rakyat tanpa mengira bangsa
dan agama.
Tuanku
Abdul Halim turut mengajak rakyat bersama-sama meneruskan usaha mencapai
matlamat nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan
tinggi.
Baginda
mengingatkan semua pihak bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati saat ini
bukannya datang bergolek, sebaliknya hasil daripada pelaksanaan yang teliti dan
rapi oleh para pemimpin terdahulu.
"Menjelang
tanggal 31 Ogos ini genaplah 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, manakala pada
16 Sept pula kita akan meraikan 50 tahun pembentukan Malaysia.
"Hakikatnya,
walaupun secara relatifnya Malaysia merupakan sebuah negara yang masih muda,
namun kita telah berjaya meletakkan kedudukan negara pada tempat yang
membanggakan seperti yang ada pada hari ini.
"Namun,
walau sempurna mana pun strategi yang telah dirangka oleh kerajaan, walau
secekap mana pun pelaksanaannya, jika tidak wujud keamanan dalam negara, mana
mungkin semua hasrat yang diimpikan mampu dizahirkan," titah Seri Paduka.
Tuanku
Abdul Halim turut mengingatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan
anutan agama dipersatukan dengan lima prinsip Rukun Negara yang merupakan
ideologi kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang
tertinggi negara. (Bernama)
Setiap warga negara Malaysia perlu bersyukur kerana berada dalam sebuah negara yang mementingkan perpaduan kaum dan keamanan. Keamanan dan perpaduan kaum serta sikap toleransi pelbagai kaum dan agama dalam negara ini merupakan satu keunikan yang tidak wujud dalam kebanyakan negara dunia ketiga masa kini.
ReplyDeletePerkongsian kuasa yang diamalkan oleh Malaysia sukar untuk diamalkan oleh negara-negara dunia ketiga sama ada negara tersebut terdiri dari negara Islam atau bukan Islam. Peristiwa peperangan saudara dan pembunuhan sesama kaum merupakan fenomena yang lumrah dalam kebanyakan negara di dunia masa kini.
ReplyDeleteKeamanan dan perpaduan kaum merupakan asas penting kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Perpaduan kaum perlu dipertingkatkan supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini dapat memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang memberi hak dan kedudukan kepada pelbagai kaum setanding dengan umat Islam tanpa mengorbankan kedaulatan dan hak warisan yang diwartakan untuk umat Islam yang dipersetujui oleh kesemua para pemimpin kaum semasa Tanah Melayu diserahkan oleh British kepada kepimpinan tempatan.
ReplyDeletePerkara seperti ini perlu disemat dalam dada setiap generasi baru yang lahir dalam negara ini supaya mereka mengenali sejarah dan keturunan mereka. Kejahilan dalam perkara ini menyebabkan masyarakat pelbagai kaum tidak menyedari sejauh manakah mereka perlu bersuara dan bertindak demi memenuhi hasrat dan bisikan hati mereka. Malaysia ialah sebuah negara yang bebas di mana masyarakat bukan Islam bebas untuk mengamalkan tradisi budaya dan amalan keagamaan mereka.
ReplyDeleteKonsep persahabatan pelbagai kaum yang dijalin sejak Melaka menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara merupakan satu corak kehidupan masyarakat majmuk yang paling unik jika dibandingkan dengan negara dunia ketiga yang lain.
ReplyDeletePerpaduan dan keamanan yang wujud dalam negara ini hasil daripada sikap toleransi dan memahami di antara satu sama lain (mutual understanding) perlu diperkukuhkan, bukan diperkotak katikkan demi kepentingan diri dan perjuangan politik berunsurkan perjuangan perkauman atau bercirikan konsep komunisme yang membelakangkan tradisi masyarakat beragama.
ReplyDeletePerjuangan berunsurkan perkauman tidak mungkin dapat membentuk satu masyarakat majmuk yang boleh menegakkan keadilan dan keamanan. Kegagalan dunia Arab menyatu padukan bangsa yang menganut agama yang sama adalah hasil daripada perjuangan ideologi yang bercirikan kepada kabilah, ideologi atau mazhab.
ReplyDeleteSukar bagi sesebuah negara mengawal keamanan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk jika para pemimpin parti politik dalam negara tersebut sering membangkitkan isu-isu yang berbau perkauman.
ReplyDeletekeputusan PRU 13 harus diterima semua pihak
ReplyDelete