Oleh : BOO SU-LYN
PUTRAJAYA : Suruhanjaya
Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah mengakui kesukaran dengan hanya
mempunyai seorang pegawai penyiasat untuk menyiasat aduan salah laku terhadap
19 agensi penguatkuasaan, di kala bantahan awam meningkat berhubung kematian
dalam tahanan polis. Mereka juga mempunyai bajet tahunan hanya RM7 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif
(CEO) EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar mengatakan suruhanjaya tersebut mempunyai
23 pekerja termasuk pegawai penyiasat, kerani, pemandu, penyiasat
undang-undang, pegawai pentadbir dan pengarah operasi.
“Kami mempunyai tenaga kerja
yang sangat terhad,” kata Nor Afizah Hanum kepada The Malaysian Insider dalam
temuramah eksklusif di pejabatnya di sini semalam.
“Kami mempunyai enam jawatan
pegawai penyiasat yang kami dapat dari SPRM. Mereka telah menarik balik lima
pada 16 Mei,” tambah beliau merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).
Di tengah-tengah bantahan ke
atas kematian dalam tahanan polis baru-baru ini, terdapat desakan yang semakin
meningkat daripada pembangkang dan Majlis Peguam supaya kerajaan menubuhkan
sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Majlis Peguam, kumpulan
masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah
mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis
semenjak 2006.
IPCMC dicadangkan pada 2005
oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamed
Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada
model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan
pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong
Kong.
Bercakap kepada The
Malaysian Insider semalam, Nor Afizah Hanum mengatakan pegawai penyiasat
tunggal yang tinggal di EAIC juga datang dari SPRM dan mempunyai 11 tahun pengalaman
sebagai penyiasat.
SPRM sebagai perbandingan
mendapat bajet tahunan sebanyak RM276 juta tahun ini dan akan menerima 150
jawatan setiap tahun untuk meningkatkan tenaga kerja daripada 2,500 kakitangan
5,000, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris The Star September lalu.
EAIC yang ditubuhkan pada
April 2011 menyiasat aduan salah laku terhadap pasukan polis, Jabatan
Imigresen, Jabatan Kastam, Rela, Agensi Dadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Perikanan,
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Tenaga Manusia,
Kementerian Kesihatan (Penguatkuasaan), Kementerian Pelancongan (Penguatkuasaan
dan unit perlesenan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (Penguatkuasaan) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan Malaysia (Penguatkuasaan).
Nur Afizah Hanum mengatakan,
EAIC memerlukan bajet tahunan sekurang-kurangnya RM25 juta, termasuk
sekurang-kurangnya 10 pegawai penyiasat dan 10 pegawai penyelidik.
“Kita berharap untuk
berkembang sehingga mempunyai 78 pekerja… kita mempunyai keperluan untuk
pegawai-pegawai penyelidikan untuk bekerja dalam satu pasukan petugas untuk
mengkaji peraturan dan prosedur dan melakukan lawatan ke lokap, penjara,
“katanya.
Nor Afizah Hanum menambah
EAIC telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan
pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah
dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap
Jabatan Kastam.
Beliau berkata EAIC,
bagaimanapun, masih belum menerima aduan kematian dalam tahanan, tembakan
polis, atau serangan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa.
“Kami masih belum menerima
aduan yang terdapat elemen jenayah,” kata Nor Afizah Hanum.
Beliau menambah aduan
daripada ketiadaan tindakan polis terhadap kes, pihak berkuasa imigresen tidak
mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin, seorang anggota polis
mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang lain, atau JPN mendedahkan butir-butir
peribadi kepada pihak lain tanpa persetujuan.
Bekas hakim Mahkamah Sesyen
mengatakan penyiasatan telah dijalankan untuk 124 daripada 469 aduan, dengan
satu kes menyebabkan cadangan tindakan tatatertib terhadap polis.
Dalam kes itu, aduan telah dibuat
terhadap seorang pegawai polis pada pertengahan tahun lepas kerana menutup kes
selepas tiga hari.
“Kami mencadangkan agar
beliau diturunkan pangkat,” katanya, dan menambah beliau tidak pasti sama ada
pihak polis telah melaksanakan cadangan EAIC ini.
Menurut kumpulan hak asasi
Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di
Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan
daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan lagi kes setakat
ini berlaku pada tahun ini.
Kes terbaru kematian dalam
tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42 yang ditemui mati di lokap balai polis
Tampin Sabtu lepas, 11 hari selepas N. Dharmendran, 32 yang dipukul sehingga
mati pada 21 Mei semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontigen polis
di Kuala Lumpur.
Kementerian Dalam Negeri
(KDN) dilaporkan memberitahu Parlimen Oktober lalu 298 orang ditembak mati oleh
polis diantara 2007 dan Ogos 2012, termasuk 151 rakyat Indonesia dan 134 rakyat
Malaysia di mana secara puratanya seorang mati ditembak dalam setiap minggu.
Satu Kumpulan Kerja
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010
(United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara
Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007,
“seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”. (TMI)
Selepas menjalankan siasatan terhadap setiap aduan, kes itu disalur kepada badan-badan tertentu mengikut kes seperti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan Pihak Berkuasa Tata Tertib agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
ReplyDeleteSuruhanjaya itu ditubuhkan pada 1 April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) bagi menerima aduan dan menyiasat salah laku pegawai penguatkuasa atau agensi penguatkuasaan.
ReplyDeleteAntara agensi di bawah seliaan suruhanjaya itu termasuk PDRM, Jabatan Imigresen, KDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Jabatan Tenaga Kerja dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
ReplyDeletePenubuhan suruhanjaya itu bertujuan mempertingkatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan, mengurangkan serta membanteras salah laku pegawai penguatkuasa dan memupuk keyakinan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan Persekutuan.
ReplyDeleteSuruhanjaya berkenaan adalah satu platform yang disediakan kepada semua pihak termasuk individu membuat laporan sekiranya menghadapi masalah dengan anggota penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan amanah.
ReplyDeleteLaporkan kepada kami dengan maklumat yang lengkap dan kita akan siasat tanpa mengira siapa pun dan siasatan dijalankan dengan telus selain maklumat pengadu tidak akan didedahkan. Suruhanjaya ini bukan untuk menghukum sesiapa tetapi untuk memastikan integriti dapat ditegakkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti, Datuk Helilah Mohd Yusof.
ReplyDeletekurangkan salah laku kuasa di kalangan agensi penguatkuasa
ReplyDelete