Oleh: DARREL MAT SALONG
Rubin (tengah)dan Datuk Kadoh Agundong bergambar bersama para pemimpin masyarakat Cina.
TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Datuk Rubin Balang mengajak masyarakat pelbagai kaum di sini agar terus mengukuhkan hubungan silatulrahim dalam kalangan mereka sepertimana konsep 1Malaysia dengan harapan agar perpaduan yang telah wujud berpuluh tahun lalu terus subur dan berkekalan.
Oleh itu, semua perayaan yang dilalui sepanjang tahun seperti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Krismas dan Tahun Baru Cina ada keperluan untuk diraikan bersama kerana ianya mempunyai signifikan sebagai jambatan menyatupadukan masyarakat majmuk di negeri ini khususnya disini, tegasnya.
“Kita semua sudah biasa dalam amalan ini dan kita harus meneruskannya,” kata beliau ketika meraikan malam “Chap Goh Mei” sempena Program Membara 2015 anjuran Umno Tenom bertempat di Pejabat Umno Jalan Kolam dekat sini pada Rabu yang dihadiri kira kira 200 orang.
Sebelum itu, satu Program Membara 2015 yang diadakan sebelum majlis “Chap Goh Mei” berhubung “Government Services and Tax” (GST) yang disampaikan para pegawai daripada Jabatan Kastam yang dihadiri para pemimpin Umno di peringkat akar umbi bermula dari pada jam 2 hingga 5.30 petang.
Rubin yang juga merupakan Ketua Umno Tenom dan Pengerusi Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) berkata, semua pemimpin sama ada di peringkat parti mahupun persatuan hendaklah memahami dasar baru sistem percukaian yang betul GST sebelum ianya dilaksanakan dalam bulan April tahun ini (2015).
“Kumpulan ini harus memahaminya dengan mendalam maksudnya kerana mereka berada di barisan hadapan untuk bertemu rakyat atau pelanggan, jika mereka tidak faham GST sudah pasti ia menyukarkan malah akan berlaku selisih faham pula.
“Mengenai dengan kenaikan harga minyak yang heboh baru-baru ini, kita tidak perlu bimbang sangat kerana ianya berlaku disebabkan karenah pasaran global, kadang-kadang turun dan ada kalanya naik kerana ia mengikut pasaran global.
“Namun demikian, di negara kita masih bernasib baik kerana mempunyai bantuan subsidi daripada kerajaan menjadikan harga minyak petrol dan diesel tidaklah begitu tinggi berbanding dengan negara negara lain, ” tegas Rubin.
Berhubung dengan cabaran ekonomi yang melanda di negara ini, Rubin turut meyakinkan hadirin bahawa kebijaksanaan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan dapat mengharungi cabaran cabaran tersebut dan akan pulih beberapa ketika lagi.
“Kita difahamkan bahawa kemerosotan ekonomi negara bukanlah teruk sangat seperti yang pernah kita lalui sekitar tahun 1998. Sebaliknya, ia hanya berlaku kesan yang sedikit dan ianya akan dapat diatasi dalam sedikit masa lagi,” sambil mengingatkan rakyat agar terus bersatu berdiri teguh menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Rubin turut menjelaskan bahawa parti Umno perjuangannya bukanlah sekadar tertumpu kepada ahli-ahli parti itu sahaja sebaliknya untuk semua kaum tanpa mengira seseorang itu ahli Umno atau sebaliknya.
Dasar perjuangan Umno bersama dengan komponen BN untuk semua kaum di negara ini, iaitu fokus mereka kena mendekati rakyat dan mengambil tahu permasalahan mereka untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti supaya tindakan segera dapat dilakukan.
No comments:
Post a Comment