Wednesday 12 January 2011

JANGAN SAMPAI RAKYAT ‘KERANDAKAN’ BN GARA-GARA MDT?



Oleh: MAIL MATHEW

KEBIMBANGAN Ketua LDP Tenom, Kapitan Ng Tet Hau bahawa suatu hari nanti rakyat akan menghukum kerajaan semasa PRU13; jika masalah rakyat khususnya para pembayar cukai pintu tidak ditangani oleh kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Tenom dengan sebijak-bijaknya kerana kebanyakan keputusan yang mereka laksanakan tidak konsisten membuatkan rakyat yang berurusan keliru dan menjadi marah.

“Jangan sampai rakyat Tenom mengkerandakan BN gara-gara ketidak cekapan MDT menaikkan cukai pintu dalam kemelesetan ekonomi dan tidak mengikut peraturan yang berkuatkuasa,” ujar Ng yang kesal kerana MDT tidak lagi prihatin kepada rakyat.

Apa tidaknya, kata Ng, jika pengumuman MDT pada 2009 sekadar pemberitahuan kepada warga pekan yang menduduki kawasan perkadaran mereka berhasrat untuk menaikkan kadar cukai pintu setelah selesai kerja-kerja kajian, penyelidikan dan kesesuaian oleh PBT.

Tetapi sebaliknya, setelah cadangan PBT itu diluluskan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, mereka terus melaksanakan kadar baru berkuatkuasa Januari 2009 sedangkan pewartaan arahan hanya berkuatkuasa Januari 2011.

Menurut Kapitan Ng Tet Hau, beliau dan kira-kira lebih sepuluh peniaga yang lain sekitar tahun 2009 iaitu sejurus selepas pengumuman itu dibuat PBT di sini telah membuat ‘Petisyen’ atau rayuan kepada Pengurusan Majlis Daerah Tenom dengan menyertakan bayaran sebanyak RM5.00 setiap seorang, namun jawapan hasil rayuan mereka itu sehingga sekarang tidak ada khabar beritanya.

“Kami terkejut apabila setiap seorang yang menduduki kawasan perkadaran dikehendaki membayar cukai pintu antara RM3 ribu hingga RM7 ribu tidak termasuk tunggakan cukai sejak tahun 2009. Kami kesal dan kecewa kerana rayuan kami itu tidak diberi perhatian serius kerana kami telah pun menyatakan bahawa keadaan ekonomi ketika ini masih belum stabil dan kami bukan menghalang hasrat PBT itu tetapi kami mohon agar ia ditangguhkan untuk sementara waktu,” tegas Kapitan Ng.

Lantaran masalah itu, Kapitan Ng Tet Hau menyatakan hasratnya untuk berjumpa secara bersemuka dengan Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor dalam masa terdekat ini untuk menyatakan masalah mereka agar arahan tersebut perlu dikaji semula untuk diperbetulkan.

Dalam konteks ini tegas Kapitan Ng, beliau tidak menyalahkan mahupun mengaitkan masalah tersebut dengan Adun Melalap yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh kerana beliau (Datuk Radin) mungkin bersimpati dengan masalah yang dihadapi para pembayar cukai pintu, tetapi kesilapan sebegini berada di pihak pelaksana khususnya PBT.

Sementara itu, Kapitan Ng Tet Hau turut mempertikaikan peranan dan tanggung jawab yang ada tersandar di bahu Dewan Perniagaan Cina Tenom (TCC) di bawah kepimpinan Datuk Teo Ming Chung untuk mencari jalan penyelesaian masalah perkadaran cukai pintu yang melibatkan 100 peratus para peniaga Cina.

“Kenapa Datuk Teo terus senyap dan berdiam diri di dalam isu ini? Saya cabar beliau agar meletakkan jawatan jika tidak serius atau tidak berminat menangani masalah yang membantut usahawan masyarakat Cina,” tegas Kapitan Ng dengan nada yang agak keras.

Dalam pada itu, Ketika Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom (MDT), Wolfred Gentiu dihubungi menjelaskan bahawa pengurusan MDT di sini mengamalkan dasar pintu terbuka bagi sebarang rundingan khususnya yang melibatkan bayaran kadar cukai pintu di kawasan perkadaran yang kini hangat diperkatakan oleh mereka yang terlibat.

Wolfred menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka kononnya terbeban dengan bayaran itu disebabkan MDT mengenakan bayaran tinggi mencecah kira-kira 70 peratus.

Tegasnya, mereka yang terlibat dan tidak berpuas hati dengan bayaran itu boleh mengemukakan rayuan kepada pengurusan majlis untuk pertimbangan bagi skim bayaran secara ansuran termasuk tunggakan.

“Tetapi jika boleh, biarlah bayaran cukai untuk tahun 2011 dijelaskan terlebih dahulu manakala tunggakan bagi tahun 2009 dan 2010 dibayar secara ansuran,” tegas beliau.

Wolfred seterusnya menegaskan bahawa kemungkinan mereka yang terlibat kurang memahami kaedah pengiraan sesuatu kadar yang dilaksanakan majlis kerana setakat ini kenaikan cukai hanya di paras 5 peratus tambahan kepada kadar sebelumnya.

Bagaimanapun tambahnya, mereka harus sedar bahawa disebabkan mereka masing- masing mempunyai bayaran tertunggak sejak tahun 2009, sudah pastilah ia seolah-olah berlaku kenaikan secara mendadak sehingga 70 peratus, sepertimana yang mereka dakwa sebelum ini.

Ketika ditanya mengapa pelaksanaan kutipan kadar baru hanya dijalankan pada tahun 2011 sedangkan pengumuman kenaikan kadar baru berkuatkuasa pada Januari 1, 2009 Wolfred berkata;

“Kita pada ketika itu tidak boleh melaksanakan arahan itu sebelum majlis mendapat surat pewartaan arahan itu (Gazette order) daripada Kementerian. (Jadi) sekarang ini kita sudah memperolehi surat itu maka kita laksanakannya sekarang ini (2011),” jelas beliau sambil menyatakan bahawa sebenarnya kajian untuk kenaikan kadar baru telah pun bermula sejak tahun 1995 lagi.

No comments:

Post a Comment