Sunday 9 January 2011

RMT PERLU DIKAJI SEMULA



Oleh: MAIL MATHEW

KETUA Bahagian United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Orginazation (UPKO) kawasan Tenom Biou Suyan (gambar), menyifatkan sistem e-kasih yang digunapakai kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran dalam pemberian makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada pelajar di kawasan sekolah-sekolah luar bandar ketika ini tidak sesuai dan ia perlu dirombak untuk diseimbangkan.

Katanya, dalam konteks pemberian makanan tidak perlu ada perbezaan kategori sama ada pelajar miskin mahupun pelajar yang berkemampuan kerana sekolah-sekolah di kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan kantin untuk mereka membeli makanan sebagai pengalas perut.

“Kita bersetuju jika semua pelajar diberi bantuan makanan tanpa mengira status kemampuan setiap pelajar kerana jika diasingkan keistimewaannya, sudah tentu pelajar berkemampuan akan menjadi penonton kepada pelajar lain yang diberi bantuan makanan. Adalah kerana sekolah luar bandar tidak ada kantin untuk mereka membeli makanan sebagai pengalas perut,” kata beliau dalam satu kenyataan di Tenom pagi tadi.

Biou berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Pusat yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan Jamawi Jaafar baru-baru ini yang menyatakan bahawa pemberian makanan kepada pelajar sekolah luar bandar perlu diseragamkan pemberiannya.

Jamawi turut dipetik sebagai berkata sambil memberi contoh bahawa Sekolah Kebangsaan (SK) Gumisi yang mempunyai bilangan murid seramai 180 orang tetapi bilangan pelajar miskin yang menerima bantuan sekadar 10 orang. Berdasarkan senario itu adalah kurang praktikal bagi pembekal makanan berminat untuk menawarkan perkhidmatannya.

Biou seterusnya menegaskan bahawa sudah tiba masanya pihak Kementerian Pelajaran mengkaji semula sistem tersebut untuk diperbetulkan kepada suatu sistem yang lebih kondusif kepada pelajar pelajar di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pemberian makanan kepada pelajar miskin tidak lagi menggunakan sistem e-kasih dalam pengagehan bantuan tersebut kerana khuatir ia mewujudkan blok-blok penyisihan di kalangan pelajar, seterusnya mengganggu pembelajaran mereka.

No comments:

Post a Comment