Monday 3 January 2011

YUSOF NOOR TRANSFORMASI FELDA



SAMPAI… Dr Yusof Noor (kiri) menyampaikan dokumen kepada Pengerusi Felda yang baru Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (kanan) sebagai simbolik majlis serah tugas kepada Pengerusi FELDA yang baru di Balai FELDA di sini, hari ini. Turut sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan (fotoBERNAMA).

KERAJAAN amat berterima kasih dan terhutang budi kepada bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang telah banyak membawa kecemerlangan kepada lembaga itu sehingga kini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sepanjang Dr Mohd Yusof mengemudikan Felda selama sembilan tahun, Felda telah melalui pelbagai pembaharuan sehingga membawa lembaga itu ke peringkat global.

“Pihak kerajaan ingin merakamkan setinggi terima kasih kepada Dr Mohd Yusof yang selama ini telah membawa banyak pembaharuan, kita terhutang budi yang besar kepada beliau yang banyak membantu dan membina Felda selama ini, beliau telah melaksanakan dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara penyerahan tugas pengerusi yang baru di antara Dr Mohd Yusof dengan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Balai Felda di sini hari ini.

Mohd Isa telah dilantik sebagai Pengerusi Felda berkuatkuasa 1 Januari, menggantikan Dr Mohd Yusof yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, berkuatkuasa 1 Januari juga.

Mengenai pelantikan Mohd Isa, Ahmad berkata kerajaan mempunyai keyakinan penuh terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dan percaya Mohd Isa akan terus membantu dan meneruskan kecemerlangan yang dilaksanakan oleh Dr Mohd Yusof sebelum ini.

“Kita penuh keyakinan kepada Mohd Isa, beliau banyak pengalaman antaranya 22 tahun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang ada 49 kawasan Felda, beliau cukup tahu kerana 22 tahun merupakan tempoh masa yang panjang dan beliau memahami tentang Felda dan peneroka,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Yusof gembira kerana beliau telah menyerahkan tugas kepada seseorang yang berpengalaman dalam pentadbiran negeri dan kerajaan pusat.

“Penyerahan tugas ini merupakan satu penyerahan yang tidak menggusarkan saya dan perasaan perdana menteri berdasarkan pengalaman beliau selama ini,” katanya.

Beliau juga yakin Mohd Isa mampu mengatasi segala tohmahan dan fitnah yang sering dilemparkan kepada Felda.

Dalam pada itu, Isa berazam untuk memulakan tempoh 50 tahun yang kedua lembaga itu, dengan meneruskan perancangan bagi memastikan Felda terus membawa keuntungan kepada para peneroka.

Beliau berkata pengerusi Felda sebelum ini, Tan Sri Dr Yusof Noor telah membina Felda dengan cemerlang sepanjang tempoh 50 tahun pertama dan beliau akan menggunakan pengalaman yang ditinggalkan oleh Yusof untuk melaksanakan segala program yang dirancang.

“Felda telah melalui 50 tahun pertama, dan saya akan memulakan 50 tahun yang kedua, dalam melaksanakan program, perancangan bagi 50 tahun kedua ini tentulah kita berasaskan pengalaman dalam 50 tahun pertama sama ada dalam perladangan, perniagaan lain dalam dan luar negara.

“Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah untuk membawa keuntungan kepada peneroka dan Felda yang akan berterusan sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas menerima tugas daripada Yusof di Balai Felda di sini hari ini.

Mohd Isa berkata beliau akan mengemudikan Felda dan bekerja bersama-sama kepimpinan serta warga Felda untuk merencanakan dan melaksanakan segala program di samping menepis segala tohmahan yang sering dilemparkan pembangkang terhadap lembaga itu.

“Dari segi serangan (pembangkang), saya ingat ia bukan satu perkara yang baru, bila hampir sahaja pilihan raya mereka sibuklah, saya kadang tertanya-tanya juga sepanjang kita wujud Felda lebih 50 tahun ini bila masanya pembangkang puji Felda,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

“Kita pun serang mereka juga, kita lawan, cuma saya yakin kita akan berjaya sebab kita berada di pihak yang benar, saya percaya peneroka dan kami di Felda sudah faham dan begitu masak dengan pembangkang,” katanya.

Ditanya sama ada tugas Mohd Isa sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang tidak bertindih dengan tugas sebagai Pengerusi Felda, Mohd Isa berkata perkara itu bukanlah satu masalah bagi dirinya.

“Tidak banyak masalah sebab saya dah lalui puluhan tahun dalam politik, fokus saya sekarang ialah jalankan tanggungjawab dalam Felda dan wakil rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai cakap-cakap yang mengatakan bahawa Felda di Negeri Sembilan akan menjadi anak emas Felda, Mohd Isa berkata apa yang penting adalah kerjasama daripada Felda di seluruh negara.

“Felda Negeri Sembilan dengan Johor dan Pahang sama sahaja, tiada beza, orangnya sama, pokoknya sama, pentadbiran pun sama, saya tak nampak ada perbezaan, tentulah orang Negeri Sembilan gembira sebab saya jadi pengerusi, tetapi tidak semestinya saya lebihkan Negeri Sembilan,” katanya.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno (UMNO Online).

No comments:

Post a Comment