Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)
KEWUJUDAN Bajau di bumi Sabah ‘Land of Tapioca’ tidak dinafikan sejak berpuluh ribu tahun dahulu dengan wujudnya penempatan di pinggir pantai sekaligus menjalankan aktiviti maritim dan bercucuk tanam di pesisir pantai. Namun di sebalik kemunculan Bajau Sabah sebelum dan pasca kemerdekaan, apakah Bajau Sabah pernah memiliki sejarah Nasionalismenya yang tersendiri?
Setujukah anda jika saya katakan bahawa Bajau Sabah sebenarnya tidak mempunyai semangat Nasionalisme, apatah lagi mengenal erti ‘Nasionalisme’ melainkan fahaman Assobiyah yang kental?
Bajau Sabah bukan sahaja tidak mempunyai semangat dan perjuangan Nasionalisme malah tergelincir daripada proses pertamaddunan manusia. Di Semporna khususnya tiada satu pun puak Bajau yang bertungkus-lumus mempertahankan tanah air mereka semasa penjajahan British pada suatu ketika dahulu, melainkan puak Magindora, Pahlawan Mat Saleh dan Tun Mustapha.
Saya begitu teruja dengan semangat kaum Cina, India dan Melayu yang tanpa mengenal puak dan asal-usul tetap menjenamakan bangsa mereka sebagai satu bangsa sehingga berjaya menuntut hak dan ketuanan masing-masing di Malaysia; sedangkan nenek moyang dan ibubapa mereka berasal daripada Negara ‘entah berantah’.
Sebaliknya Bajau Sabah yang mempunyai pelbagai sub-etnik terlalu parokial dengan kepuakan masing-masing sehingga terpesong dengan agenda Nasionalisme untuk menuntut hak Bajau dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kesemua Bajau Sabah asyik bertengkar sesama sendiri menuding jari dan tidak mengiktiraf puak atau rumpun lain sebagai satu rumpun yang teramat gah dan majoriti di Sabah sehingga kaum lain mentertawakan imej Bajau Sabah yang sinonim dengan trademark ‘Filipina’.
Selama lebih daripada empat dekad Sabah mencapai kemerdekaan, tiada satu pun pemimpin Bajau, walaupun ramai yang menjadi Ketua Menteri dan TYT yang berjaya menyatupadukan Bajau Sabah, melainkan menghalalkan Bajau Sabah menjadi ‘anjing politik’ pihak tertentu demi mendapat kekayaan peribadi secara mutlak.
Semoga Tahun Baru 2011 membuka minda kita masyarakat Bajau untuk melestarikan agenda nasionalisme melalui pemupukan permuafakatan secara kolektif bagi menebus maruah Bajau yang dianggap sebagai ‘Kasta Pariah’ dalam status politik Sabah.
Mampukah 26 ADUN Bajau di Sabah menuntut kembali Kerusi Ketua Menteri Sabah sebagaimana hebatnya Kaum Cina yang hanya mempunyai satu kerusi dalam DUN namun mampu menjadi Ketua Menteri Sabah!
Ke arah mana Bajau akan menghalakan sasaran Nasionalisme jika benar Bajau Sabah mempunyai semangat Nasionalisme yang tinggi, melainkan menumpang tuah ‘Bajau Celup’ yang berkubang dalam Kolam Berlumpur UMNO?
No comments:
Post a Comment