SAHABAT …Lajim bersalaman dengan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Nurnikman Abdullah yang turut hadir ke majlis rumah terbuka beliau.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
KEPUTUSAN kaji selidik yang menunjukkan tahap populariti atau tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merosot; tidak mewakili sokongan keseluruhan rakyat di negara ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, kajian tersebut hanya melibatkan responden terpilih dan tidak mengambilkira pandangan masyarakat luar bandar dan penduduk Sabah dan Sarawak yang menyokong padu perdana menteri itu.
Beliau berkata demikian kepada Wartawan Sabahkini.net ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Kebatu, Beaufort baru-baru ini ketika diminta mengulas kajian Merdeka Centre For Opinion Reseach; yang melaporkan penarafan Datuk Seri Najib menurun 6 peratus daripada 65 peratus pada Mei 2011 kepada 59 peratus pada Ogos 2011.
Katanya, berdasarkan interaksi dengan rakyat, Perdana Menteri begitu dihormati dan disenangi rakyat. Hal itu dapat dilihat dalam beberapa siri lawatan beliau ke negeri-negeri, termasuk di Sabah.
Malah, tambah beliau, Perdana Menteri seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan begitu memahami masalah rakyat secara keseluruhannya.
“Sebaik menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia dan menggariskan beberapa pendekatan untuk mencapai matlamatnya. Antaranya, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di semua peringkat pentadbiran,” jelas Lajim.
KEMESRAAN…Kelihatan Lajim bersama isteri Datin Seri Normilah bersalaman dengan orang ramai yang hadir ke majlis rumah terbuka mereka di kampung Kaundo Kebatu.
Menurut Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, langkah itu untuk memastikan penjawat awam dan pemimpin menjalankan tugas dengan penuh dedikasi kepada rakyat, terutama penduduk luar bandar.
Beliau yang mempersoalkan ketepatan kajian itu turut menyifatkan ianya seperti dirancang pihak tertentu yang mempunyai agenda khusus.
Sehubungan dengan itu Lajim berharap, rakyat tidak terkeliru dan percaya dengan kaji selidik tersebut kerana ia mewakili suara minoriti dan bukan rakyat keseluruhan.
Beliau yakin, hasil kajian berkenaan tidak akan melemahkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, sebaliknya bekerja keras untuk memastikan BN terus memerintah.
No comments:
Post a Comment