Oleh : SUARA PAKATAN RAKYAT
ADA kala dan masa, penulis rasa beruntung sangat untuk menjadi orang UMNO, mana tidaknya, setiap kali kepimpinan bertukar ganti, lesen besar diberikan untuk perwakilan menghina bekas Presiden masing-masing, atas apa pun dasar yang dulu dilaksanakan dan kalangan mengeji ini juga yang terlibat menjayakannya.
Kelmarin, perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2011 membahaskan isu pendidikan dengan tumpuan diberikan kepada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar yang dilaksanakan Tun Dr. Mahathir di akhir tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri pada Jun 2003 dan diteruskan di bawah kepimpinan Tun Abdullah Badawi, secara tiba-tiba dilihat merosakkan bahasa Melayu setelah UMNO berjanji untuk mempertahankannya.
Seperti biasa, perbandingan dengan negara-negara seperti Jepun, Taiwan, Korea dan Thailand dibuat sedangkan negara-negara tersebut duduk dalam kelasnya yang tersendiri jika mahu dibandingkan dengan Malaysia. Thailand walaupun masih jauh dari status negara maju, mempunyai teknologi pertanian yang jauh melangkaui zaman.
Penulis tertarik dengan ucapan Timbalan Ketua Bahagian Pagoh, Hj. Tahir Bin Mohd Taat. Ucapannya menjurus kepada menggelar Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi sebagai ‘Pengkhianat Orang Melayu’ kerana memperkenal dan meneruskan dasar PPSMI!
Penulis tidak pasti kalau perwakilan melihatnya begitu tapi dengan tradisi UMNO yang penulis sebutkan di atas, tidak hairan kenapa dibiarkan anak didikan Tan Sri Muhyiddin Yasin di Pagoh ini terlajak begitu sekali.
Persoalan juga timbul, setelah lebih dua tahun PPSMI dimansuhkan kenapa perwakilan UMNO memilih isu itu untuk dibahaskan dalam perhimpunan kali ini? Bukankah ada lebih banyak isu yang boleh dibahaskan daripada membincangkan dasar yang telah dimansuhkan? Sebagai contoh memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan sedia ada dan dalam masa yang sama meningkatkan mutu sekolah-sekolah jenis kebangsaan lainnya.
Adakah dengan menimbulkan isu yang semakin lesu ini para perwakilan berharap untuk mendapat status ‘Winnable Candidate’ yang dicanang Presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak?
Apa pun yang dicanang oleh perwakilan UMNO ini, hakikat sebenarnya majoriti ibu bapa di Malaysia mahukan dasar PPSMI ini diteruskan. Walaupun dalam Pakatan Rakyat sendiri ada berbelah bagi antara komponen dengan DAP menyokong; manakala baki yang dua menentang, akhirnya nanti yang akan menang ialah kepentingan negara dan rakyat.
Tidak mustahil kalau kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat akan meneruskan dasar PPSMI ini demi kemajuan dan kelangsungan masa depan anak-anak kita.
Tetapi isu yang lebih besar ialah penghinaan yang dilempar perwakilan UMNO kepada mantan Presiden mereka dalam isu PPSMI ini. Keadaan sama tidak berlaku dalam mana-mana komponen Pakatan Rakyat dan tidak keterlaluan kalau penulis kata itu menjadikan kita jauh lebih mulia dari mereka.
PPSMI ini adalah bukti bagaimana UMNO menyuburkan orang yang tidak mengenang jasa dan tambah buruk lagi mengangkat mereka sebagai pemimpin. Itulah yang selalu digesa dan dikempenkan, tolaklah UMNO kerana nilai-nilai jijik yang mereka amalkan.
No comments:
Post a Comment