Sunday, 4 December 2011

SIAPA ‘WINNABLE CANDIDATE’ DI TENOM?



Oleh: GONOD SUNDA

SEMAKIN hampir pilihanraya umum kali ke-13 akan bermula dan semakin terasa kehangatan bahangnya kerana parti-parti politik masing-masing sudah menggerakkan jentera dalam usaha mereka untuk meraih seberapa ramai sokongan pengundi memihak kepada parti masing-masing.

Dalam kehangatan itu, kelihatan jelas bahawa selera pengundi kali ini atau trend pengundi di alaf baru amat berbeza dengan selera pengundi 20 tahun lalu kerana pengundi kali ini kelihatan lebih cenderung kepada calon yang bakal diketengahkan di kedua-dua belah pihak (pembangkang mahupun kerajaan) mampu memenuhi kriteria ‘Winnable Candidate’ yang dicetuskan Perdana Menteri.

Sepertimana yang telah terbukti pada pilihanraya umum Negeri Sarawak yang baru lalu bahawa formula meletakkan muka baru di kalangan calon-calon yang mempunyai kecirian ‘Winnable Candidate’ hampir kesemuanya telah memenangi pilihanraya tersebut; terutamanya DAP yang berjaya menumbang seorang tokoh politik dari SUPP, sekaligus pemimpin muda DAP itu dilabel sebagai ‘The Giant Killer’.

Titik tolak daripada apa yang berlaku di Sarawak, berkemungkinan besar akan menjadi ikutan bagi PRU13 di Sabah kerana riak gelombang transformasi danm reformasi iklim politik masa kini yang didominasi pengundi-pengundi muda sehingga pemimpin ‘Surat Khabar Lama’ terus tersingkir.

Justeru itu, pemimpin yang sudah terlalu lama berkhidmat selaku wakil rakyat walaupun, semasa berkhidmat mereka tidak pernah leka atau lalai dalam tanggung jawab; mereka juga dikategorikan sebagai pemimpin ‘Surat Khabar Lama’; malah tidak terkecuali daripada keputusan perlu berundur untuk memberi laluan kepada pemimpin muda alaf baru.

Jika tidak, mereka terpaksa melalui proses dua pilihan yang akan ditentukan pengundi sama ada mahu berundur awal secara terhormat yang merupakan suatu keputusan bijak; atau jika masih berdegil, sudah pastilah akan dimalukan oleh pengundi kerana tewas dalam pilihanraya.

Dalam pada itu, parti-parti politik yang paling aktif bergerak ke pelusuk kampung untuk mendekati rakyat ketika ini, selain UMNO-BN, pembangkang seperti SAPP dan Pakatan Rakyat yang merangkumi DAP dan PKR yang ada di Parlimen Tenom tidak kurang hebatnya.

Dalam keghairahan parti politik terbabit, nampaknya terselit minat pengundi yang mengkategorikan sekurang-kurangnya tiga pemimpin muda yang paling ‘popular’ ketika ini iaitu Jamawi Jaafar daripada Pergerakan Pemuda UMNO; tempat kedua Roger Stimin daripada Pergerakan Pemuda SAPP dan tempat ketiga William Ensor Datuk Tingkalor daripada DAP.

Persoalannya sekarang, apakah Jamawi Jaafar berupaya melepasi atau boleh mempengaruhi pemimpin atasannya, terutama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya beliau dapat dicalonkan pada PRU13 kerana itu adalah merupakan satu-satunya kekangan bagi beliau.

Atau mungkinkah penyandang, Datuk Raime Unggi, bersedia dengan rela hati melepaskan kerusi itu dengan mudahnya kerana Raime juga mempunyai rekod baik dalam perkhidmatannya kepada rakyat selama ini?

Antara persoalan lain yang agak menarik ialah berhubung kerusi DUN Melalap yang sekarang ini dipegang oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Radin Malleh daripada PBS agak kelihatan ‘goyah’ sedikit kerana terdapat beberapa kumpulan dalaman parti itu mendakwa mahu menjatuhkannya pada PRU13.

Khabar yang tersebar luas, kononnya Datuk Radin Malleh sudah mengumumkan hasrat persaraannya dalam politik semasa kongress parti itu di Tenom beberapa bulan lalu, tetapi disangkal oleh Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang meminta Radin meneruskan perjuangannya dalam politik.

Sekiranya Radin dicalonkan juga, apakah beliau mampu mempertahankan kerusi DUN Melalap sedangkan riak-riak penentangan dalam PBS itu sendiri sudah jelas di mata rakyat?

Di pihak pembangkang pula, PKR pimpinan Halik Zaman terpaksa bersaing sokongan dengan rakanya DAP dalam PR kerana Halik menyifatkan DAP tidak ada semangat setiakawan dalam gagasan itu setelah menceroboh kawasan PKR di Kemabong dan Melalap.

Manakala SAPP masih dalam proses ‘in house adjustment’ untuk meletakkan kesesuaian bakal-bakal calonnya, tetapi para pengundi DUN Melalap mahukan kepimpinan SAPP meletakkan pemimpin muda bertanding di situ.

Selain itu, terdapat juga ‘cakap-cakap di kedai kopi’ mengatakan ada juga pencacai politik, terutamanya di pihak pembangkang yang sedang berkira-kira untuk mencuba nasib didalam PRU13 pada kali ini setelah mereka ini (pencacai politik) sudah tiada tempat dalam parti yang disertai mereka.

Namun segala-galanya hanya akan dapat diketahui semasa penamaan calon siapa sebenarnya yang diketengah oleh parti masing-masing. Namun kekuatan sokongan calon oleh rakyat, khususnya pengundi adalah terlalu awal untuk meramalkan pihak mana yang mendahuluinya.

No comments:

Post a Comment