Oleh : LINDA KHOO
PELAKON filem antarabangsa,
Tan Sri Michelle Yeoh dilantik sebagai mentor pertama 1Malaysia For Youth
(iM4U). Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyerahkan watikah
pelantikan kepada Yeoh di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di
Putrajaya.
Turut hadir Ketua Setiausaha
Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U Datuk
Irmohizam Ibrahim.
Penubuhan iM4U adalah hasil
ilham Najib, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, sebagai wadah
untuk belia Malaysia menjalankan kegiatan kesukarelaan dan pembinaan negara
bangsa untuk manfaat masyarakat dan kumpulan sosial.
Pelantikan sebagai mentor
iM4U adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa rakyat
Malaysia dalam membangunkan negara dan sebagai model peranan untuk belia.
Sebagai mentor iM4U,
inisiatif pertama Yeoh ialah bekerjasama dengan iM4U untuk menyusun kempen bagi
menentang jenayah, dengan memberi fokus di kawasan yang mendedahkan wanita
kepada bahaya seperti tempat meletak kenderaan, kawasan berdekatan stesen LRT
dan hentian bas.
"Saya menjadi amat
tidak keruan apabila mendengar tentang wanita, terutama yang mengalami trauma
di tempat meletak kenderaan akibat perbuatan peragut. Kami akan mencari jalan
untuk meningkatkan kesedaran ke arah menjadikan Malaysia lebih selamat. Sebaik
saja kempen ini bersedia untuk dilaksanakan, kami akan mengumumkannya,"
kata Yeoh kepada pemberita di Putrajaya semalam.
Yeoh, yang juga Duta Global
Make Roads Safe yang diselaraskan Yayasan Persekutuan Automobil Antarabangsa
(FIA) bagi Automobil dan Masyarakat, berkata keselamatan jalan raya amat dekat
di hatinya.
"Walaupun saya
berkempen di seluruh dunia untuk keselamatan jalan raya, tapi ada sesuatu yang
ingin saya lakukan di sini.
"Dalam perbualan saya
dengan perdana menteri, beliau berkata 6,000 maut akibat kemalangan jalan raya
setiap tahun. Setiap kematian mempunyai kesan yang lain pula. Jika yang maut
itu adalah pencari nafkah atau seorang anak muda, ia merupakan suatu kehilangan
besar untuk negara," katanya.
Mengenai pelantikan beliau
sebagai mentor iM4U, Yeoh berkata beliau berasa bertuah kerana dapat memberi
sumbangan kepada negara.
"Beliau (perdana
menteri) mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi menjadi mentor
pertama iM4U. Saya memberitahu beliau bahawa saya berasa sungguh bertuah.
Memang niat saya untuk kembali ke tanah air bagi memberi lebih banyak
sumbangan...saya akan pulang untuk melakukan lebih banyak lagi. Malaysia amat
dihormati di luar negara dan saya mahu dunia mengetahui bahawa negara saya
begitu indah.
"Tahun depan, kita ada
Tahun Melawat Malaysia dan para belia boleh memberi banyak bantuan dan
menjadikan pengunjung ke negara kita lebih tertarik dengan apa yang ada di sini
dan saya mahu mereka berasa selamat, santai dan gembira," katanya sambil
menambah bahawa semangat kesukarelaan perlu dipupuk dalam diri para belia.
Sementara itu, Yeoh
mengesahkan beliau akan berlakon dalam filem 'Crouching Tiger, Hidden Dragon
2'.
"Saya sedang berusaha
sedaya upaya agar filem ini dibuat penggambarannya di Pinewood Iskandar
Malaysia Studios," kata pelakon terkenal itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment