Sunday 23 June 2013

PENGASAH DESAK TUBUH 10 ESSCOM







KOTA KINABALU : Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) merayu kerajaan segera mewujudkan pejabat cawangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di kesemua 10 daerah yang termasuk dalam pengawasan Esscom.

Sambil mengumpamakan Esscom sebagai lambang keselamatan untuk rakyat Sabah, terutama golongan nelayan, Presiden Pengasah Jaini Ating (gambar) berkata penubuhannya ternyata telah memberi kelegaan dan  keyakinan untuk mereka menjalankan aktiviti harian menangkap ikan di perairan negeri ini, khususnya di kawasan pantai timur.

Beliau berkata Pengasah juga berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri yang menepati janji mewujudkan pusat pentadbiran Esscom di Lahad Datu pada 1 April lepas.

“Tindakan pantas dan drastik kerajaan ini adalah satu tindakan yang wajar dan tepat pada masanya, dan ia seharusnya disokong semua rakyat negeri ini.

“Walaupun keadaan kini agak terkawal, namun kita khususnya pihak berkuasa tidak boleh leka, sebaliknya perlu  meletakkan soal keselamatan rakyat Sabah sebagai keutamaan. Sebab itu, Pengasah mahu kerajaan wujudkan segera cawangan Esscom di 10 daerah terbabit,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Penubuhan Esscom diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak pada 7 Mac lepas dalam lawatan pertamanya ke daerah Lahad Datu bagi meninjau Operasi Daulat susulan pencerobohan pengganas Sulu di daerah itu pada Februari lepas.

Esscom, yang kini diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, merupakan ejen penguatkuasaan bagi Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), yang merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah, dan diwujudkan bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini ekoran krisis pencerobohan tersebut.

Esszone meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Mengenai aktiviti perikanan di Sabah, Jaini meminta kerajaan melalui Esscom supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan secara menyeluruh dan sistematik di perairan negeri ini, dan sentiasa berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan atau insiden luar jangkaan.

Jaini berkata Pengasah juga berharap lebih 50 pegawai kumpulan sokongan LKIM Sabah yang kini memegang jawatan masing-masing berstatus kontrak diserapkan ke jawatan tetap. (BI)

7 comments:

  1. Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) adalah mengikut perancangan yang disasar bagi mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan timur negeri ini.

    ReplyDelete
  2. Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata sebagai sebuah organisasi baharu, Esscom yang ditubuh sejak dua bulan lepas, berada di landasan yang betul dan fasa penubuhannya adalah cepat.

    ReplyDelete
  3. "Mereka yang dipertanggungjawab dalam Esscom diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap sehingga dalam tempoh dua bulan, organisasi itu dapat diinstitutkan," katanya.

    ReplyDelete
  4. Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) akan berusaha menaik taraf kemudahan asas dan prasarana pos kawalan keselamatan di kawasan itu bagi keselesaan anggota pasukan keselamatan.

    ReplyDelete
  5. Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata diharapkan dengan cara itu, anggota pasukan keselamatan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas mereka, sekali gus meningkatkan lagi kawalan keselamatan.

    ReplyDelete
  6. Mohammad bersama pegawai Esscom kini dalam rangka lawatan ke beberapa pos kawalan yang dikendalikan tentera dan Pasukan Gerakan Am di sekitar Tawau, Semporna dan beluran.

    Menurutnya tujuan lawatan adalah untuk meninjau keadaan pos kawalan dan pada akhir lawatan itu pihaknya akan menyediakan kertas kerja bagi memohon peruntukan menaik taraf pos kawalan yang berkenaan.

    ReplyDelete