Tuesday, 18 June 2013

PERISTIWA HITAM LONJAK PATRIOTISME






TUAN Speaker, Terlebih dahulu, saya menzahirkan setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana sekali lagi diberikan kesempatan untuk berada dalam Dewan yang mulia ini melaksanakan amanah, yang telah diberikan kepada saya, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan N.53 Senallang.

Sebelum meneruskan ucapan dalam dewan yang mulia ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Tuan Speaker di atas peluang yang diberikan untuk membahas ucapan Dasar Kerajaan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah bersempena dengan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada kali ini.

Semalam, 17 Jun, 2013, sejarah persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, yang baharu tercipta dengan berlangsungnya majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama  Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-14 Tahun 2013 oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Hj. Juhar Bin Datuk Hj. Mahiruddin. 

Sebagaimana, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain, saya juga mengucapkan setinggi terima kasih atas ucapan yang telah disampaikan Tuan Yang Terutama, yang mana kandungan ucapan Tuan Yang Terutama Tun, dengan jelas menekankan peri-pentingnya wakil-wakil rakyat melaksanakan amanah yang dipikul, dengan penuh tanggungjawab, dan pada masa yang sama menjadi tonggak kepada usaha memelihara perpaduan dan keharmonian hidup rakyat.  Hanya dengan yang demikian, jentera kerajaan mampu mengupayakan segala perancangan dasar dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien.


Dalam Dewan yang mulia ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang disayangi, di atas kejayaan memastikan Barisan Nasional terus mentadbir negara Malaysia, tanahair tercinta.


Dan sesungguhnya, negeri Sabah telah menepati ramalan sebagai salah satu kubu kuat Barisan Nasional dengan kejayaan negeri ini menyumbang mata berharga kepada kemenangan Barisan Nasional secara keseluruhannya. Untuk itu, saya turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, Ketua Menteri Sabah, di atas kesinambungan rekod cemerlang kepimpinan beliau.


Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan-rakan, Ahli-Ahli Yang Berhormat, baik di pihak kerajaan mahu pun pembangkang, atas kemenangan yang diperolehi dalam PRU yang ke-13 yang baru berlalu.


InsyaAllah, saya menaruh keyakinan, bahawa barisan jemaah kabinet di peringkat negeri yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, serta input berguna dari kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telus, lagi bijaksana, akan terus berupaya, menonjolkan aura pentadbiran negeri yang berdayasaing tinggi.


Usaha melonjak kesejahteraan dan kemakmuran yang sedang dikecapi pada ketika ini, ke satu tahap yang lebih baik, adalah suatu proses yang berterusan mengikut peredaran masa.  Kesatuan dan kesepakatan merupakan mantera kejayaan.  Untuk itu, wajar jugalah kita renung maksud tersirat dalam kiasan beberapa peribahasa melayu lama, antaranya;

“Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah,” “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”
  
Tuan Speaker,

Kita kian mendekati kesempurnaan Wawasan 2020, di mana sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, merupakan salah satu daripada kayu pengukurnya.  Insyallah, Sabah boleh menjayakannya.  Perkara ini mampu direalisasikan, kerana kita mempunyai adunan jentera pentadbiran negeri yang matang, cekal dan berkaliber.

Namun, apa yang penting ialah untuk memastikan agar rakyat pada ketika itu berasa selesa dengan cabaran persekitaran yang ditempuhi.  Sehubungan dengan itulah, intipati ucapan yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun semalam, wajar kita renungkan sedalam-dalamnya.  Bahawa sesungguhnya, kita perlu komited dan bersikap pro-aktif kepada usaha-usaha yang menyokong kemajuan.

Oleh yang demikian, sama ada kita berada dalam pihak kerajaan mahu pun sebaliknya, maka dalam Dewan Yang Mulia inilah, kita laksanakan kewajipan kita sebaiknya dengan membangkitkan isu yang relevan sambil mengetengahkan idea yang bernas lagi rasional.

Tuan Speaker,

Selaku salah seorang pemimpin dari pantai timur Sabah, saya menyentuh sedikit mengenai peristiwa pencerobohan pengganas sulu, ke atas negeri Sabah beberapa bulan yang lalu. 

Dalam peristiwa yang telah memalit sejarah hitam benteng keselamatan negara itu, kita kehilangan nyawa 10 orang anggota pasukan keselamatan kita.

Sepanjang tempoh itu, seluruh rakyat Malaysia samada yang berada di Sabah, Sarawak mahu pun di Semenanjung Malaysia, telah menunjukkan semangat patriotisma yang tinggi dengan teguh berdiri menyokong dan mengikuti setiap detik perkembangan peristiwa itu. Secara keseluruhannya, rakyat Malaysia menyisihkan perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.

Semuanya mendoakan keselamatan para anggota keselamatan yang bertugas, termasuklah masyarakat yang menerima kesan langsung pencerobohan itu. Nilai-nilai patriotisme rakyat Malaysia sangat tinggi, dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata biasa. Alangkah indahnya kesatuan rakyat pada ketika itu.  Dan dengan doa seluruh rakyat Malaysia, serta izin Allah SWT, kumpulan penceroboh telah berjaya ditumpaskan.


Perasaan kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Negara, pada ketika itulah yang sebenarnya wajar kita renungkan pada masa kita berada dalam keadaan aman dan damai. Betapa berharganya nikmat keamanan dan pentingnya perpaduan dan kesepakatan.


Justeru, janganlah kita sewenang-wenangnya cenderung kepada tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan huru hara, yang akhirnya akan mengancam kedaulatan negara kita.

Kepada seluruh anggota pasukan keselamatan, kita doakan, agar mereka terus diberikan perlindungan dalam menjalankan tugas memastikan benteng keselamatan negara kita terus kukuh, dan siap siaga menghadapi apa jua ancaman musuh yang mendatang.

Dalam masa yang sama, saya juga melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pro-aktif menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM).

Dengan wujudnya ESSCOM (seperti yang dijelaskan oleh Y.A.B Ketua Menteri) ia akan memberi lebih keyakinan kepada masyarakat dalam kawasan yang terlibat, untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin dan selesa. Selain itu, langkah ini akan berjaya menawan semula hati para pelancong dan pengunjung dari luar negara. Apatah lagi, sebahagian dari kawasan yang terjejas merupakan kawasan pelancongan yang terkenal di dunia.

Justeru itu, adalah diharapkan, agar lebih banyak pos kawalan keselamatan yang strategik, khususnya di daerah Kawasan Kem Tetap Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) iaitu Lahad Datu, Semporna, Kunak, Sandakan dan Kudat.




Tuan Speaker,

Perkembangan pesat negeri Sabah sebagai salah satu negeri pelancongan yang terkemuka, pasti lebih rancak selepas ini. Ini adalah kerana perkembangan ekonomi negeri ini adalah turut disebabkan wujudnya peningkatan penerbangan dari dalam dan luar Negara ke negeri ini. 

Medium pengangkutan udara adalah pilihan utama para pelancong dan pedagang, termasuklan pelabur asing ke negeri ini.  Sehubungan itu, usaha menggiatkan lebih banyak penerbangan komersial ke negeri ini perlu dilihat sebagai suatu aspek yang sangat penting.

Salah satu daripada perkembangan terbaru berkaitan dengan industri penerbangan ialah bilamana MALINDO AIR memulakan operasinya di Sabah.  Syarikat penerbangan ini (adalah hasil usahasama antara National Aerospace dan Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group Indonesia) telah memberi pilihan pakej harga yang rendah kepada penduduk negeri ini dan para tetamu serta pelancong luar Negara, merancang perjalanan mereka dengan lebih selesa. 

Perkembangan ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan akan merancakkan lagi industri penerbangan tambang murah yang pada ketika ini dilaksanakan oleh AIR ASIA, dan beberapa syarikat penerbangan luar Negara.          

Selain itu, perkembangan industri minyak dan gas di Sabah, turut menjadi penyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri, bagi suatu jangka masa yang panjang.

Terdapat banyak lagi industri berorientasikan perekonomian yang akan menyemarakkan lagi perkembangan ekonomi negeri ini. Pendekkata, semua perkembangan ini adalah sebagai satu manifestasi, bahawa telah berlaku satu anjakan perubahan yang menyeluruh yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi negeri ini. Sekaligus, ini akan berupaya meningkatkan lagi kesejahteraan hidup rakyat.

Justeru itu, pada awal pasca PRU-ke 13 ini, marilah kita sama-sama menjana fikiran, dan mengerah tenaga, memberikan perkhidmatan yang terbaik, khususnya kepada rakyat yang kita wakili. Kita anjurkan usaha-usaha yang menyokong kepada isu kesepakatan yang memperkukuhkan perpaduan.

Kita jauhi provokasi mahu pun konfrontasi, dan segala perbuatan yang boleh memecahbelahkan rakyat. Janganlah kita tergamak mengeruhkan keadaan sehingga akhirnya berlaku keadaan “yang kalah menjadi abu, yang menang menjadi arang.”

Kita takuti akhirnya nanti “walau menang sorak, tapi kampung, yakni negara juga yang habis tergadai.” Kita punya tanggungjawab yang besar untuk memastikan negeri kita Sabah, terus maju jaya, dalam negara Malaysia tercinta.

Cabaran di musim pilihanraya telah pun berlalu. Kini adalah masa untuk setiap wakil rakyat yang terpilih mengota segala ikrar dan janji. Bak kata pepatah, “dayung sudah pun di tangan, perahu sudah pun di air.” Mari kita galas segala amanah, dengan nawaitu ikhlas, mensasarkan misi yang jelas dengan niat mendapat keredhaan-Nya jua.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai pembangunan kawasan-kawasan di luar Bandar di negeri Sabah.  Alhamdulillah, keprihatinan kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di luar Bandar sering menjadi fokus utama kerajaan. 

Namun demikian, usaha meningkatkan prasarana dan infrastruktur di kawasan luar Bandar di negeri Sabah ini melibatkan proses yang berterusan.  Ini adalah kerana Sabah merupakan salah satu negeri yang amat luas di Malaysia, dengan permukaan tanah yang tidak rata, dan sebagainya. 

Justeru itu, sinergi yang padu, berkaitan dengan persediaan peruntukan dan efisiensi pelaksanaan, di antara kerajaan pusat dan negeri perlu dipertingkatkan.

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini,

Dalam Kalendar Islam, hari ini, merupakan 9 Syaaban 1434 Hijriah. Tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan.  Bulan di mana lebih banyak ujian bakal diperturunkan kepada kaum muslimin. Pada masa yang sama, Allah swt juga, akan menggandakan ganjaran pahala ke atas segala fadilat amal yang kita lakukan. 

Kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang seagama dengan saya, saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubarak.  Sama-samalah kita panjatkan doa, agar niat suci kita sebagai khalifah, baik sebagai ahli kabinet mahu pun wakil rakyat biasa mendapat naungan taufiq dan hidayah dari Allah swt jua.

Kepada rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, marilah kita pelihara santun dan budi, untuk sama-sama kita mempertahankan keunikan ikatan kekeluargaan yang berzaman terpatri dalam hati dan sanubari kalangan rakyat Malaysia di negeri Sabah tercinta ini.

Maka dengan harapan itu, saya mohon menyokong.

Sekian. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DATO' SERI NASIR TUN SAKARAN
ADUN Senallang

28 comments:

  1. Pencerobohan kumpulan bersenjata dari Selatan Filipina di Sabah, membuka mata masyarakat bahawa tanggungjawab menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara melibatkan seluruh rakyat Malaysia. Insiden berdarah yang menyebabkan lapan anggota pasukan keselamatan negara terkorban itu menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

    ReplyDelete
  2. Reaksi pelbagai pihak menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog antaranya meluahkan rasa marah dengan kumpulan penceroboh sehingga ada antara mereka yang menawarkan diri untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan serta-merta dan bersama-sama berjuang mempertahankan kedaulatan negara.

    ReplyDelete
  3. Meskipun ada pihak yang menuduh isu pencerobohan itu sandiwara kerajaan yang ditunjangi Umno, rakyat termasuk penyokong parti pembangkang, mengutuk serangan kejam pengganas terbabit dan mahu semua pihak tidak mempolitikkan perkara berkenaan serta menggesa rakyat bersatu padu mempertahankan Malaysia.

    ReplyDelete
  4. Rakyat sedar betapa perlunya Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, dipertahankan daripada anasir jahat yang menggugat keharmonian semua kaum dan kestabilan negara.

    ReplyDelete
  5. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas memberi keyakinan kepada rakyat di Sabah bahawa kerajaan pimpinannya akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Negeri di Bawah Bayu.

    ReplyDelete
  6. Pencerobohan kumpulan pengganas yang didalangi Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu itu dianggap sangat memalukan bangsa Sulu dan dikecam etnik Suluk Sabah, yang menzahirkan taat setia mereka kepada kerajaan untuk mempetahankan kedaulatan Sabah menerusi satu memorandum kepada Perdana Menteri.

    ReplyDelete
  7. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussein berkata pada masa ini rakyat negara sedar peri pentingnya bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan tanah air. Adalah menjadi fitrah manusia sebegitu, apabila terjadi sesuatu perkara barulah muncul kesepaduan. Sekarang mereka mula sedar bahawa isu ini bukanlah satu sandiwara.

    ReplyDelete
  8. Ini adalah ancaman kepada kita semua dan bukan (penduduk) Lahad Datu sahaja. Pada masa ini saya lihat semangat patriotik sangat memuncak sehingga cerita-cerita mengenai pilihan raya umum ke-13 tenggelam..

    ReplyDelete
  9. Beliau berkata persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan negara mulai terpadam apabila rakyat menyedari tugas menjaga keamanan bukan satu tugas mudah. Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian pula berharap semangat patriotik itu yang memuncak sekarang, bukan perkara bermusim.

    ReplyDelete
  10. Ini adalah soal keselamatan, kedaulatan dan keamanan negara. Saya percaya tidak ada seorang pun rakyat negara ini yang menyokong penceroboh sebaliknya berdiri teguh bersama-sama pasukan keselamatan negara. Semangat patriotik perlu s," katanya.

    ReplyDelete
  11. Sementara itu seorang belia Kampung Tanjung Labian di sini, Ali John Junaidi, 27, berkata dia amat menghargai jasa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Malaysia menjaga keselamatan Sabah. "Saya amat marah dengan kejadian ini. Sayang sekali keadaan yang sebelum ini aman, menjadi huru-hara dan ramai penduduk menjadi takut. Saya sekarang faham tugas anggota polis dan tentera betapa susahnya menjaga keselamatan negara. Saya amat mencintai Malaysia dan jika boleh saya mahu sumbangkan sesuatu yang bermakna untuk negara," katanya.

    ReplyDelete
  12. Saodah Madjusa, 26, yang juga dari kampung sama, berpendapat sudah tiba masanya semua rakyat bersatu padu untuk memastikan Malaysia terus kekal aman. "Saya tak mahu hidup seperti pelarian. Ini adalah tanah air kita, kenapa pula kita yang perlu lari. Saya akan pertahankan tanah air saya. Jika kita bersatu padu, sudah tentu tiada pihak yang boleh menggugat keamanan kita," katanya. Saodah berharap supaya pasukan keselamatan segera menghapuskan saki-baki kumpulan pengganas.

    ReplyDelete
  13. Peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan tuntutan mereka terhadap Sabah adalah satu pengajaran berharga buat Sarawak.

    Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun berkata walau apapun fahaman rakyat negeri ini, dalam soal kedaulatan negara kita seharusnya bersatu dan mempertahankan setiap inci tanah dan bumi yang ada di negeri ini.

    ReplyDelete
  14. “Meskipun 50 tahun Sarawak sudah merdeka dalam Malaysia, soal kedaulatan negara khasnya negeri ini bukan sesuatu yang boleh kita ambil mudah dan semua rakyat harus bersatu.

    “Kesedaran semangat jitu mempertahan negara harus dipupuk pada usia muda meskipun kita sudah merdeka dan aman sekarang sebagai langkah berjaga-jaga.

    “Lihatlah dan ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Lahad Datu,” katanya.

    ReplyDelete
  15. Jelasnya, sejak negeri ini merdeka dalam Malaysia 50 tahun lalu, menyaksikan pelbagai pembangunan berterusan dalam pelbagai bidang.

    “Pembangunan pesat melanda negeri kita dari segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi secara am dan di bahagian Sibu khususnya.

    “Namun, pencapaian kita dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan teknologi tidak datang bergolek kerana memerlukan pengorbanan para pemimpin terdahulu yang komited memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

    ReplyDelete
  16. Menurut Entulu, kemerdekaan dan kedaulatan yang dikecapi sekarang ialah hasil pengorbanan semua pihak yang terdiri daripada ahli-ahli politik, kerajaan, kakitangan awam, swasta dan masyarakat pelbagai kaum baik di bandar atau di desa.

    ReplyDelete
  17. “Justeru, kita perlulah bersama-sama menjaga kedaulatan negara daripada musuh atau dalang baik dari dalam atau luar negara yang tidak suka dengan kejayaan yang kita kecapi sejak merdeka.

    “Jika kita bandingkan kejayaan yang telah kita capai dengan negara-negara yang sama atau hampir merdeka selama 50 tahun dengan kita seperti Ghana, Kenya dan Cyprus, kita mampu melihat jarak sebenar pencapaian negeri dan negara kita yang jauh lebih maju,” katanya.

    ReplyDelete
  18. kta perlu pertahankan tanah air kita dari ancman luar

    ReplyDelete
  19. This is instill the patriotism spirit.

    ReplyDelete
  20. Patriotism is a cultural attachment to one's homeland, excluding differences caused by the dependencies of the term's meaning upon context, geography and philosophy. In a generalized sense applicable to all countries and peoples, patriotism is a devotion to one's country

    ReplyDelete
  21. It is a related sentiment to nationalism. The English term patriot is first attested in the Elizabethan era, via Middle French from Late Latin (6th century) patriota "countryman", ultimately from Greek πατριώτης (patriōtēs) "countryman", from πατρίς (patris), "fatherland".[1] The abstract noun patriotism appears in the early 18th century.

    ReplyDelete
  22. Politics is, in one sense, all about how we collectively organize ourselves — little decisions such as which laws to pass, and big questions such as whether to pass some sorts of laws at all.

    ReplyDelete
  23. This incident has taught us to be prudent.

    ReplyDelete
  24. After all, the aftermath is truly sadistic.

    ReplyDelete
  25. I hope they will get better.

    ReplyDelete
  26. Sooner or later it will be done

    ReplyDelete