Friday 14 January 2011

KASIHANILAH YANG TERPINGGIR DI PITAS



Oleh: MAKLIN MASIAU

TATKALA Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman membangkitkan isu penduduk kawasan DUN Sukau yang meliputi sebahagian pesisiran sungai Kinabatangan terpaksa berbelanja hampir RM1,000 untuk keluar mendapatkan rawatan di hospital, saya teringat nasib suku sakat di Pitas yang menghadapi masalah yang sama.

Ribuan penduduk Pitas yang menganjur dari Kg Nibang harus mengeluarkan kos hampir RM200 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pitas. Kos ini dikira berdasarkan tambang seorang melalui perahu dan kereta. Tetapi kalau kos berdasarkan sewaan perahu dan kereta, boleh mencecah RM500.

Terdapat juga klinik di Kg Dandun yang beroperasi sejak pertengahan 1970-an tetapi hanya untuk rawatan bagi penyakit yang ringan dan klinik ibu mengandung. Bahkan untuk sampai di Dandun, kos masih mencecah ratusan ringgit.

Sudahlah pesakit terpaksa menanggung kesakitan yang perit berjam-jam di perahu, mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi dan tidak hairan jika sering berlaku kes kematian semasa dalam perjalanan dengan berperahu.

Dalam era menuju negara maju 10 tahun dari sekarang, agak melucukan isu-isu seperti ini masih gagal ditangani oleh kerajaan. Sepatutnya kemudahan jalan raya yang baik sudah lama disediakan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan. Inilah nasib masyarakat yang terpinggir!

No comments:

Post a Comment