Saturday 8 January 2011

MISTERI GEREJA ‘KRISTUS DOMBA ALLAH’?



Saudara Pengarang,

WALAUPUN Islam telah termaktub sebagai agama rasmi di Malaysia, namun mungkin tidak merangkumi Sabah dan Sarawak kerana agama lain boleh diamalkan secara harmoni di Sabah.

Buktinya, ketika umat Islam di Bandar Indah, Lebuhraya Lahad Datu-Tawau bergelut dengan kemelut rumah ibadah dan merintih meminta surau atau Masjid untuk kegunaan umat Islam, Pemimpin Islam Sabah tidak peka dengan kewujudan sebuah Gereja di Bandar Indah yang menggunakan nama Allah untuk mengelirukan dan membakar hati umat Islam iaitu ‘Gereja Kristus Domba Allah’ atau ‘Church of Christ The Lamb of God’.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat isu itu sebagai amat bahaya dan perlu diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa Natrah di Singapura berulang di Malaysia.

"Penggunaan perkataan Allah (dalam majalah Herald-The Catholic Weekly) secara tidak langsung menyebarkan dakyah `Christianity' di kalangan orang Islam yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Perkara ini harus dilihat oleh pengamal undang-undang, sama ada kehakiman mahupun guaman. Kita mengharapkan keadilan. Kes ini perlu diteliti bukan saja dari aspek perundangan sivil, tetapi juga perundangan syariah serta maksud tersirat Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam," katanya.

Namun seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini menjenamakan PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’ boleh bertolak ansur dan tidak merasa bersalah sekalipun melihat papantanda gereja berkenaan terpampang jelas sewaktu menggunakan lebuhraya berkenaan setiap kali melawat kawasannya.

Saya tertarik dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang berkata, "Terjemahan 'God' yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah 'Tuhan', bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

"Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia... tetapi di Semenanjung kita tak pernah dengar pula," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sedikit masa lalu.

Menurut Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam.

Oleh itu membenarkan penerbitan Kristian menggunakan perkataan Allah bagi penerbitan berbahasa Melayu atau sebagai papantanda gereja merupakan satu bentuk dakyah halus kerana Melayu adalah bangsa yang beragama Islam; sekaligus mencabul Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut sejarah Islam, di Zaman Nabi, golongan kafir yang menggunakan kalimah Allah ialah orang-orang Quraisy dari bangsa Arab. Sememangnya kalimah Allah sudah sinonim dengan bangsa Arab walaupun mereka mensyirikkan Allah. Sebelum agama Islam datang, bangsa Arab sudah beriman dengan agama Nabi Ibrahim.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.” (Al-Anaam: Ayat 161)

Namun kalimah Allah tidak sinonim dengan bangsa Melayu, Cina dan India di Malaysia. Apakah tujuan mereka hendak menggunakan kalimah Allah di Malaysia. Penganut Kristian di Malaysia pula tidak ada dari kalangan bangsa Arab?

Dalam kitab Injil juga terdapat lebih 300 nama tuhan yang lain. Mengapa mereka tidak menggunakan salah satu daripada 300 nama itu. Mereka juga sudah tidak menggunakan Injil, sebaliknya menggunakan bible yang sudah diubahsuai daripada Injil yang asal.

Sehubungan itu, saya mohon agar Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan Menteri Kabinet yang bertanggung jawab dengan hal ehwal Islam menyelesaikan segera isu ini kerana melibatkan ketauhidan dan aqidah umat Islam.

Salam Hormat,

IMAM MUDA

No comments:

Post a Comment