Friday, 30 July 2010

KUMPULAN NASYID TERBILANG TETAPI TERBUANG




Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH

PERTANDINGAN Nasyid merupakan salah satu acara saban tahun diadakan di Negeri Sabah sebagai pengisian sambutan Maal Hijrah. Hasil daripada pertandingan tersebut telah lahir beberapa buah kumpulan Nasyid yang telah berjaya menjadi Johan dan memenangi pelbagai kategori dan telah mengharumkan nama negeri Sabah di persada seni nasyid peringkat kebangsaan.

Sejak pertandingan nasyid diadakan di negara ini termasuklah negeri di bawah bayu Sabah, pelbagai nama kumpulan nasyid menempah nama sebagai johan peringkat kebangsaan setanding dengan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Rabani, Raihan, Hijazz dan sebagainya.

Kumpulan Nasyid Tazkirah dari Kampung Kota, Tuaran yang menjadi johan peringkat kebangsaan pada tahun 2005, bukan sahaja membawa pulang piala kejuaraan tetapi pada tahun tersebut, kumpulan itu juga berjaya memenangi beberapa ketegori termasuklah Persembahan Terbaik dan penulis lirik terbaik dalam kategori Nasyid Moden.

Keungggulan Kumpulan Nasyid dari Negeri Sabah terus tercipta di peringkat kebangsaan apabila pada tahun 2007 sebuah lagi Kumpulan Nasyid dari Kampung Kota Tuaran bernama Isbat muncul sebagai johan kategori Nasyid Moden kebangsaan yang juga memenangi lebih banyak kategori termasuklah persembahan terbaik, penciptaan lagu terbaik menerusi Muhamad Ali Abdul Majid, penulis lirik terbaik dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Sabah juga mengungguli pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada tahun yang sama dalam kategori Nasyid Tradisi, apabila Kumpulan Shoutul Hadari dari Daerah Tawau yang menyampaikan lagu-lagu ciptaan pengiat nasyid, Ustaz Jalidar Abdul Rahim yang pernah juga menganggotai Kumpulan Nasyid Nur El Suraya sebuah kumpulan nasyid dakwah yang terkenal di Indonesia.

Ke manakah hilangnya kumpulan-kumpulan nasyid kelahiran Festival Nasyid tersebut? Apakah penghargaan yang sewajarnya diberikan kepada mereka yang berjasa dalam memperkembangkan seni Nasyid di Sabah? Apakah cukup hanya sekadar melahirkan sebanyak mana kumpulan nasyid di negeri ini dan biarkan para pencipta lagu-lagu nasyid seperti Ustaz Jalidar Abdul Rahim dan Muhammad Ali Abdul Majid hilang tanpa mendapat perhatian dari JAHIENS?

Persoalanya ke manakah perginya kumpulan-kumpulan ini setelah berjaya mengharumkan nama negeri Sabah? Kenapakah pihak kerajaan menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JAHIENS) tidak menghargai kejayaan ini dengan memberikan peluang kepada kumpulan-kumpulan Nasyid yang berjaya untuk merakamkan album lagu nasyid mereka?

Mungkin banyak di antara kita yang masih ingat sebelum kejayaan Kumpulan Tazkirah dan Isbat di Peringkat Kebangsaan telah lahir Kumpulan Nasyid seperti Nur El Kawakib dari Daerah Papar yang juga pernah menempah nama di peringkat kebangsaan.

Meskipun kumpulan-kumpulan nasyid dari Negeri Di bawah Bayu ini telah mengharumkan nama negeri, namun kerajaan negeri tidak memberikan apa-apa penghargaan walupun untuk merakamkan dan melahirkan sebuah album lagu-lagu nasyid.

Sesungguhnya pertandingan atau festival Nasyid yang sering dianjurkan pada setiap tahun seolah-olah hanya sekadar mengisi atau sebagai satu acara semata-mata ketika sambutan Maal Hijrah.

Kewangan yang digunakan untuk pengisian semasa Maal Hijrah itu akan hilang begitu sahaja seandainya kerajaan menerusi JAHEINS tidak berbuat sesuatu, misalnya mengumpulkan semula kumpulan-kumpulan nasyid berkenaan untuk mengadakan Konsert Lagu-Lagu Dakwah di seluruh negeri Sabah.

Seorang Pengiat seni Nasyid Negeri Sabah, Mohammad Ali Majid yang pernah mendapat anugerah Penciptaan Nasyid terbaik di peringkat kebangsaan, melahirkan kekecewaannya apabila kerajaan tidak memberikan sebarang perhatian dan pengiktirafan kepada mereka sebagai pengiat seni yang turut mengharumkan nama negeri di persada seni nasyid peringkat kebangsaan.

"Saya mengambil contoh, seperti berlangsungnya Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan di Kota Kinabalu bau-baru ini, kumpulan kami tidakpun diundang untuk membuat persembahan di pembukaan Tilawah tersebut. Namun yang mengejutkan kami kumpulan undangan yang membuat persembahan semasa Tilawah Al Quran adalah merupakan kumpulan baru yang tidakpun pernah membuktikan kejayaan dalam pertandingan nasyid di Peringkat Kebangsaan," kata Mohammad lagi.

Mengapa kumpulan nasyid yang telah mengharumkan nama Negeri Sabah sejak dahulu hingga kini dibiarkan dan akhirnya dilupakan? Mengapa kerajaan menerusi JAHEINS tidak menjejaki ke mana perginya kumpulan-kumpulan nasyid itu?

1 comment: