Saturday 31 July 2010

PEMUDA UMNO BANTAH PAPANTANDA 3 BAHASA




SERAH….Firdaus (kiri) sedang menyerahkan memorandum bantahan kepada Hamsan.


Oleh : SHAIMON S JUMADI

EKORAN cadangan seorang Ahli Majlis Perbandaran Sandakan, Mustaffah Mohd Hassan agar setiap papan tanda yang diletakkan atau dipasang di setiap Dewan Masyarakat termasuk Dewan Libaran hendaklah ditulis dengan menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris pada kira-kira dua bulan lalu telah mencetuskan pelbagai kontroversi di kalangan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kawasan Batu Sapi.

Disebabkan rasa tidak puas hati terhadap langkah pihak MPS itu, seramai 70 orang ahli Pemuda UMNO kawasan Batu Sapi yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan telah mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan perkarangan Wisma Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) kira-kira jam 2.30 petang kelmarin bagi memprotes penggunaan tiga bahasa itu.

Firdaus yang bertindak sebagai ‘Ketua Perhimpunan Aman’ tersebut kemudian menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada Setiasaha MPS, Hj Mohd Hamsan Hj Awang Supain bagi pihak Presiden MPS, James Wong yang pada masa itu bertugas di luar Sandakan.

Sejurus selepas perhimpunan bersurai, Fridaus yang ditemani oleh Azman pergi ke Balai Polis Bandar untuk membuat laporan polis berhubung bantahan tersebut.

Ketua Biro Sabahkini yang mengikuti perkembangan tersebut kemudian menemui Hj Hamsan untuk mendapatkan maklum balasan dan ulasan selanjutnya mengenai insiden itu.

Menurut Hamsan, penggunaan tiga bahasa yang diletakkan di Dewan Masyarakat Sandakan sebenarnya sejak di zaman pemerintahan USNO, BERJAYA, PBS dan sehinggalah pada hari ini dan tiada sesiapa yang memprotesnya.

“Tambahan pula sekarang ini telah tercetusnya slogan ‘1 Malaysia’ maka secara tidak langsung ia memang bersesuaian kalau setiap bangunan kerajaan ditulis dengan menggunakan tiga bahasa,” jelas Hamsan.



Walau bagaimanapun, jelas Hamsan ini terpulanglah kepada kerajaan untuk menentukan segala-galanya pihak MPS hanya mengikut arahan daripada Kerajaan Negeri.

“Kalau ianya menjadi satu kesalahan, kita akur dengan keputusan pihak pemerintah untuk menurunkan papan-papan tanda yang sudah sekian lama dipasang di dewan-dewan masyarakat,” kata Hamsan lagi.

Sementara Krew Sabahkini.Net akan menyusul ini untuk mendapat pandangan daripada orang ramai terutama sekali ahli-ahli komponen BN dan UMNO mengenai fenomena ini pada masa terdekat ini.

Untuk makluman pembaca setia Sabahkini.net, sebaik saja tercetusnya kontroversi mengenai protes tersebut, Ketua Biro Sabahkini.net terus dihujani panggilan daripada beberapa pemimpin kanan parti-parti komponen BN untuk meminta menjelasan mengenai insiden tersebut.

No comments:

Post a Comment