Thursday, 29 July 2010

KADET BOMBA CEGAH GEJALA SOSIAL



PERIKSA…..Samsudin sedang memeriksa barisan Pasukan Kadet Bomba.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong, Datuk Haji Samsudin Yahya berkata, tanggungjawab semua pihak bagi mempastikan para pelajar ataupun remaja terlibat dengan akiviti yang lebih berfaedah.

Di samping itu juga kata Samsuddin, mereka dapat mencegah diri daripada terbabit dengan aktiviti yang tidak bermoral sepertimana yang terpapar di dada akhbar dan boleh dikatakan setiap hari kes-kes yang melibatkan para remaja dengan gejala sosial.

Samsudin berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Pasukan Kadet Bomba Peringkat Zon Sandakan di sini kelmarin.

Selain terlibat dengan aktiviti kokurikulum jelas Samsudin, pelajar juga terdedah dengan aspek-aspek pencegahan keselamatan kebakaran dengan mengikuti Pasukan Kadet Bomba.

“Bukan sahaja di sekolah malahan di rumah dan ini secara tidak langsung dapat membantu ahli keluarga yang lain sekiranya berdepan dengan situasi kebakaran,” ujarnya.

Samsudin juga berharap aktiviti sedemikian dapat diteruskan bagi melahirkan pelajar yang berdisiplin dengan mengikuti aktiviti badan berunifom di setiap sekolah.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Pejabat Pelajaran menggalas tanggungjawab yang penting untuk membangun modal insan kompeten dan berdaya saing dalam pelbagai bidang kemahiran demi melahirkan generasi masa hadapan,” tegas Samsuddin lagi.

Sehubungan itu, Samsuddin berharap kemahiran yang telah diperoleh oleh para pelajar tidak akan dipersiakan. Jika boleh, mereka harus meningkatkan kemahiran agar boleh bersaing dengan generasi yang terdahulu dan seterusnya meningkatkan minat untuk menceburi kerjaya bomba.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Penguasa Bomba Sandakan, Alias Abu antara lain mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pelajaran daerah Sandakan, pengetua-pengetua sekolah serta gru-guru penasihat Kadet Bomba kerana memberikan kerjasama yang amat menggalakan dalam menjayakan aktiviti seumpama ini, khususnya kepada para pelajar mereka yang turut serta dalam program ini.

“Saya berharap aktiviti-aktiviti seumpama ini akan menjadi berterusan sejajar dengan moto penubuhan Pasukan Kadet Bomba bagi melahirkan pelajar yang berdisiplin,” jelasnya.

Pertandingan yang diadakan sehari itu perkarangan jabatan bomba berkenaan telah disertai oleh Pasukan Kadet Bomba seramai 160 orang 100 lelaki dan 60 perempuan yang membabitkan enam buah Sekolah menengah antaranya, SMK Bestari Sandakan, SMK Batu Sapi, SMK Bestari Elopura, SMK Sandakan II, SMK Elopura II dan SMK Segaliud.

No comments:

Post a Comment