Sunday, 25 July 2010

KOTA BELUD POTENSI UNTUK PIGM




PUKAT....Abdul Rahman (pegang pukat) menguji kebolehannya menggunakan pukat di majlis itu sambil diperhatikan oleh sebahagian nelayan di majlis itu


Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI


PETRONAS digesa menjadikan daerah Kota Belud sebagai satu Pusat Industri Gas dan Minyak (PIGM) memandangkan kedudukan daerah tersebut yang berhampiran dengan telaga-telaga minyak laut dalam di sepanjang perairan daerah berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan, Kota Belud mempunyai beberapa kawasan yang strategik yang boleh digunakan oleh peneroka minyak samada Shell atau Petronas menjadikan daerah itu sebagai satu pusat industri gas dan minyak.


Jelasnya, antara salah satu kawasan tersebut adalah di Rampayan Laut, di mana muara sungainya agak strategik dan berhampiran dengan telaga-telaga minyak laut dalam yang wujud di sepanjang perairan Kota Belud.

“Rampayan Laut dan Kuala Abai sebagai contohnya boleh dijadikan kawasan ‘Industry Fabrication’ iaitu peralatan dan kelengkapan untuk dihantar ke pelantar-pelantar minyak bersaiz besar boleh menggunakan kedudukan jeti Rampayan Laut atau Jeti Kuala Abai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap di Majlis Program Bersama Nelayan di Kampung Rampayan Laut dekat sini, baru-baru ini.
Program tersebut telah dirasmi oleh Pengerusi Ko-Nelayan, Mejar (K) Datuk Samsudin Yahya yang juga Wakil Rakyat DUN Sekong.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut meminta kepada Kerajaan Persekutuan dan Petronas untuk menjadikan daerah Kota Belud sebagai Hub-Kejuruteraan.

Katanya, dengan menjadikan daerah Kota Belud sebagai Hub-Kejuruteraan ia memudahkan kerosakan peralatan mesin milik peneroka minyak dan gas ataupun kapal-kapal besar yang berada perairan daerah itu dibaik pulih di daerah tersebut tanpa perlu berlayar jauh seperti ke WP Labuan, Kota Kinabalu ataupun ke luar negara.


“Agak malanglah kalau industri gas dan minyak di persisiran pantai Kota Belud tidak dapat membantu dan mengiktiraf penduduk di Kota Belud yang perlu dibantu dan sepatutnya mendapat manafaat daripada limpahan kurniaan minyak tersebut,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment