Monday 19 July 2010

KPDNKK PANTAU HARGA RUNCIT PEDALAMAN





Oleh: MAIL MATHEW


PEJABAT Unit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) Keningau menasihatkan para pengguna di kawasan pedalaman agar tidak terlalu bimbang dengan kenaikan harga barangan seperti petrol, diesel, gula dan gas baru-baru ini kerana aktiviti perniagaan para pembekal dan pekedai akan dipantau untuk mempastikan kenaikan harga tidak melebihi paras yang ditentukan.

Demikian dinyatakan Ketua Unit KPDNKK di Tenom, Runji Abdul Hamid ketika dihubungi Sabahkini.net di pejabat beliau untuk mendapatkan ulasan berhubung perkara tersebut pada Isnin.
Beliau berkata, para kakitangannya telah pun ditugaskan di bahagian luar di daerah pedalaman ketika ini untuk memantau jika terdapat peniaga dengan sengaja mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan runcit dengan sewenang- wenangnya.

Tegasnya lagi, orang ramai khususnya para pengguna juga turut diminta memberikan kerjasama kepada KPDNKK dengan memberi maklumat kepada pejabat itu jika terdapat peniaga yang cuba menaikkan harga runcit barangan secara mendadak supaya tindakan segera dapat diambil keatas peniaga itu.

“Jika didapati bukti sahih keatas perlakuan mereka (pekedai) maka mereka boleh didakwa dibawah Akta Kawalan Harga 1946,” tegas Runji.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Penjaja Penjaja Bekalan Mentah Bumiputra di sini, Majiadih O.T. Matalih ketika dihubungi untuk mendapatkan ulasan dan reaksi penjaja berhubung kenaikan harga petrol, diesel, gula dan gas LPG beliau berkata;

“Setakat ini belum ada petanda bekalan mentah seperti sayur-sayuran dan buah buahan akan naik ekoran kenaikan bahan bakar tersebut tetapi besar kemungkinan ia akan berbuat sedemikian dalam sedikit masa lagi memandangkan kos pengangkutan pun sudah mula naik,” kata Majiadih.

Sebelum ini, beberapa pengguna terkejut dengan pengumuman kenaikan harga barangan keperluan harian seperti gula, gas LPG dan petrol di mana mereka (pengguna) khuatir ia akan naik lagi selepas ini termasuk barangan keperluan lain.

Bagi para pekedai pula menyifatkan kenaikan itu satu kejutan yang kurang menyenangkan masyarakat pengguna, kerana mereka terasa terbeban dengan situasi yang tidak menentu harga barangan ketika ini.

Tindakan kerajaan yang tidak lagi memberikan subsidi kepada bahan bakar menyebabkan Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen termasuk RON97. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

No comments:

Post a Comment