Wednesday 21 July 2010

MENONGKAH ARUS GLOBALISASI ALAF BARU



SALAM...Datuk Nasir (kanan) bersalaman mesra dengan sebahagian pemimpin masyarakat sempena majis perasmian Kepimpinan Desa Anjuran INFRA di Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

DALAM menempuh alaf baru yang sedang berkembang pesat, penduduk desa sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran global yang menuntut mereka untuk melakukan perubahan selaras dengan cabaran-cabaran semasa.

Antara cabaran-cabaran itu termasuklah perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), globalisasi, liberalisasi perdagangan dan K-Ekonomi di mana dalam mengharungi gelombang teknologi maklumat dan komunikasi itu terdapat jurang digital yang boleh diperkatakan agak meluas antara penduduk bandar dengan penduduk desa.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, menjelaskan bahawa kajian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLB&W) menunjukkan hanya 9.6% respon luarbandar memiliki komputer yang disambung kepada internet berbanding 25% responden di bandar.

Katanya, tahap pencapaian kemajuan teknologi dari segi info-struktur dan keupayaan memiliki komputer amatlah jauh berbeza dan ini menyebabkan jurang pengetahuan semakin melebar.

Beliau menambah, akibatnya penduduk bandar lebih bersedia menghadapi cabaran yang datang secara berterusan melalui teknologi maklumat dan komunikasi berbanding dengan penduduk desa.

Datuk Haji Nasir berkata demikian sempena merasmikan perasmian Kursus Kepimpinan Desa bagi Daerah Kunak dan Semporna Siri 5 dan 6/2010 anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Kursus selama empat hari bermula hari ini disertai 90 orang ketua-ketua kampung dari Daerah Kunak dan Semporna.

Hadirsama sempena majlis itu Penolong Pengarah INFRA, Mohd Ariffin Bansin Abdullah; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bubul, Datuk Chao Yan San; Kapitan Cina Kawasan Bandar, Ong Hang Seng dan Kapitan Cina Kawasan Bugaya, Joseph Lo serta kakitangan UPKR dan pejabat DUN Senallang.

Datuk Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang, berkata kekurangan kemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat menyebabkan masyarakat desa tidak dapat memanfaatkan maklumat terkini dan seterusnya tidak dapat mempromosikan produk-produk keluaran mereka secara global di samping gagal mencari peluang-peluang perniagaan baru.

Ujarnya, cabaran globalisasi dan liberalisasi perdagangan serta kesannya kepada aktiviti ekonomi desa juga perlu diambil kira di mana kedua-dua cabaran itu mempunyai kesan baik dan buruk kepada penduduk desa.

“Secara positifnya globalisasi dan liberalisasi akan membuka peluang-peluang perniagaan dan penggunaan barangan tanpa had,” kata Nasir.

Katanya lagi, peluang itu jika direbut oleh penduduk desa dengan sebaik mungkin bersandarkan sumber-sumber desa yang pelbagai akan memberi kemakmuran yang melimpah ruah kepada mereka.

Sehubungan itu, Datuk Nasir menyarankan ketua-ketua kampung yang juga sebagai pemimpin yang telah diberi amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat mahupun komuniti di bawah kepimpinan mereka seharusnya membantu kerajaan memberi pemahaman kepada masyarakat tentang cabaran yang perlu dihadapi pada masa kini dan akan datang.

Katanya, selaku pemimpin di peringkat kampung mereka perlulah sentiasa peka serta prihatin membantu masyarakat untuk mencapai halatuju sebenarnya dengan mengambil kira sosio budaya masyarakat tersebut.

Datuk Nasir menegaskan, penduduk desa melalui pemimpin-pemimpin desa perlu dipersiapkan untuk menerima dan bersedia menghadapai cabaran-cabaran itu kerana ia akan menentukan hala tuju dan pencapaian kemajuan penduduk itu sendiri.

Dalam pada itu juga Nasir berharap para peserta kursus memberikan komitmen sepenuhnya kepada modul yang disampaikan serta menyeru peserta memanfaatkan semua pengetahuan dan ilmu yang diperolehi menerusi kursus itu untuk meningkatkan prestasi kerja dan juga menjadi pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat desa dan kampung.

No comments:

Post a Comment