Wednesday, 28 July 2010

JAKARULLAH, PEJUANG SEMPORNA TERBILANG










Oleh: ABDULLAH SANI HAJI ABDUL SALLEH
ZAMAN pasca kemerdekaan dan zaman British banyak melahirkan pejuang kemerdekaan yang boleh dibanggakan oleh anak-anak Semporna, antaranya seorang yang agak terkenal di zamannya, Datuk Panglima Jakarullah Bin Bodaluddin atau lebih dikenali sebagai Pak Zakad.

Mungkin kita kurang maklumat mengenai beliau pada hari ini kerana beliau seolah-olah dilupakan atau dipadamkan dari tinta sejarah Semporna kerana ekploitasi dan pembohongan berterusan mengenai sejarah sebenar daerah ini.

Bagi masyarakat Semporna, nama beliau adalah tidak asing di kalangan masyarakat Bajau di Pulau Bum-Bum sebelum kita mencapai kemerdekaan dan menjadi Pemimpin Suku Bajau pada masa itu. Beliau pernah mendapat kepercayaan dari Kerajaan British sebagai seorang wakil masyarakat Semporna yang bergelar O.T Zakad dan sebagai wakil Hal Ehwal Keselamatan daerah itu yang bertaraf Pesuruhjaya Keselamatan.

Masyarakat Semporna mengenali beliau sebagai Pak Zakad dan pernah mencipta sejarahnya sendiri sebagai seorang pemimpin Bajau yang amat hebat di zamannya. Beliau amat disegani dan dihormati oleh masyarakat daerah ini kerana hubungan baik beliau dengan Pihak British dan pemerintah pada zaman itu menjadikannya seorang yang amat penting dan berpengaruh bagi menyelesaikan masalah adat istiadat masyarakat Bajau di zaman British.

Penghormatan Pihak British kepada beliau bukan hanya di daerah Semporna tetapi meliputi kawasan Darvel Bay Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna. Beliau diberikuasa sebagai Ketua Keselamatan bertaraf Pesuruhjaya Polis pada zaman itu.

Beliau bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal dan Adat Istiadat masyarat tempatan. Pak Zakad diterima sebagai pemimpin unggul dan terbilang pada zamannya tanpa mengira suku dan puak-puak Bajau yang datang daripada pelbagai etnik dan keturunan, baik dari kepulauan Filipina dan Indonesia. Beliau dilihat sebagai pemimpin dan pelindung kepada suku Bajau Semporna dan British.

Pak Zakad diakui sebagai seorang Pemimpin yang telah berjaya menyatukan masyarakat Bajau Semporna supaya sama-sama menyahut dan menyertai kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British dan menamatkan pemerintahan Kolonial di daerah Semporna.


Profail Ringkas Datuk Jakarullah Boraluddin


Datuk Panglima Jakarullah Bin Boraluddin dari keturunan suku Bajau Bilatan (Banaran) Tawi-Tawi dalam daerah Tando Bas, Kepulauan Tawi-Tawi mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin dan pejuang kemerdekaan di daerah itu; antraranya Leftenan Ladja Idanan (Banaran Lookan), Kapten Ismail Ratag (Simunul), Kapten Saraban Mondot (Simunul), Major Praina (Bongao), Leftenan Jahori Sappal (Sibutu) dan beliau sendiri antara pejuang yang pernah menentang pendudukan Jepun di rantau ini.

Beliau telah menetap Pulau Bum Bum, Kg. Pantau Patau (Lubusai), Semporna setelah bernikah dengan isteri pertamanya, Hajjah Aminah yang berasal dari Kampung berkenaan dan mendapat seorang cahaya mata.

Selepas itu beliau berpindah ke Kg. Balimbang dan bernikah sekali lagi di sana di zaman British dengan Hajjah Maimunah, walaubagaimanapun beliau tidak mendapat cahaya mata, kecuali anak-anak angkat yang telah di‘bin’kan kepada beliau; antaranya N.C Zakariah Datuk Panglima Zakarullah dan 2 orang anak perempuan dipelihara keturunan Cina (Saadiah, Hamidah).

Anak-anak Panglima Zakarullah yang lain telah mewarisi kepimpinan beliau sebagai penerus Legasinya sebagai Pemimpin Bajau Semporna, antaranya Puteri UMNO Semporna Fadila Bte Datuk Panglima Jakarullah yang aktif dalam perjuangan UMNO di daerah Semporna.

Era Kemerdekaan Malaysia

Di era kemerdekaan beliau berpindah sekali lagi ke Pekan Semporna dan menetap di Batu 2, Kg.Bubul Semporna bersama isteri pertamanya Hajjah Aminah. Perkahwinan ketiganya dengan Hajjah Ratna dari Suku Bajau Suluk Kunak, telah kurniakan dua orang cahaya mata.

Seterusnya bernikah kali keempat dengan Hajjah Jamjira dari Kg. Tabak Tabak, Pulau Bum Bum daripada Suku Bajau Malassa dan dikurniakan tiga orang cahaya mata dan menetap di Kg. Seri Melor, Bugaya Semporna sehingga akhir hayatnya dan dikebumikan di sana.

Datuk Panglima Jakarullah adalah penyokong kuat Gagasan Malaysia ke arah kemerdekaan Sabah yang membawa pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Beliau menyertai Perjuangan Parti USNO dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Penaja USNO Semporna pada tahun 1962.

Pada tahun 1966 Datuk Panglima Jakarullah telah mengambil-alih pimpinan USNO dari Ketua Penajanya, Datuk Panglima Abdullah Bin Panglima Uddang setelah berlaku pertandingan untuk memilih kepimpinan USNO dan mengalahkan Ketua Penaja itu bagi meneruskan Kepimpinan Politik Semporna dengan melalui USNO.

Datuk Jakarullah Pemimpin Parti Kemerdekaan Sabah, USNO

USNO Daerah Semporna juga pernah mencatat sejarah kerana pada 1966 dua Kumpulan terbentuk di antara Ketua Penaja USNO pada masa itu OKK Datuk Panglima Abdullah Bin Uddang (1961) dan Timbalan Ketua Penajanya, Datuk Panglima Jakarullah Boraluddin.


Perebutan jawatan Ketua Bahagian USNO oleh Kumpulan Masyarakat Semporna yang diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagiannya, Datuk Panglima Jakarullah telah dapat merampas Bahagian USNO Semporna dari Datuk Panglima Abdullah Bin Uddang.

Datuk Panglima Jakarullah semakin teguh bersama rakan-rakannya, Haji Abdul Salam Bin Osman Pg. Abd. Mennang Kalimah, KK Lais Ab.Karim, Haji Ali Basa Basara, Haji Jabani Hariri, Puan Halimah Bte Iris, Abu Bakar Hj.Hasan, Wahab Ibnu Said, Rauddah Tarang, Ali Bandiong Samtoh, Abdul Ghafar Hamulawan, Hj. Absin Milahim, Hj. Hajan Malik, Hj. Hassan Darik, Hj.Kalapa Ekan dan Kiraman Palman.





Legasi Kepimpimpinan beliau diteruskan oleh Haji Mohd. Dara bin Langpad dari Suku Bajau Simunul yang terus mempimpin USNO seterusnya dilantik menjadi Ahli Parlimen Pertama Semporna.

Perpecahan USNO pada tahun 1966, USNO I dan USNO II akhir membawa rakyat daerah ini melahirkan seorang pemimpin hebat seperti Datuk Jakarullah Bin Boraluddin yang tercatat sebagai salah seorang Pemimpin USNO yang Ulung di Semporna di bawah Barisan Kepimpinanan USNO I.

Jasa beliau terhadap kemerdekaan tanahair adalah amat besar. Penglibatan beliau sebagai wakil Penduduk Pantai Timur Sabah yang terlibat secara lansung dalam perundingan kemerdekaan di negara ini bersama Waris Legasi Magindora, Tuan Haji Abdul Salleh Kh.Gupurani pada masa itu telah membawa kepada penyatuan USNO semula di daerah Semporna pada tahun 1970.
Di antara sahabatnya dan mereka yang mempunyai hubungan dengan beliau adalah DYMM Sultan Perlis yang pernah perkhidmat sebagai Angkatan Tentera Malaysia di Semporna pada masa itu.

Sementara rakan rakan beliau di zaman British yang bergelar O.T dari Legasi Magindora seperti O.T Pg.Ripahani, O.T Pg.Anggalis dari Suku Bajau Bannaran (Kg.Gusung Melanta), O.T Hj.Abu Bakal Balimbang dari suku Bajau Malassa.

Jakarullah, Jasamu Tetap Dikenang.

Adalah menjadi harapan anak-anak Semporna, Panglima Jakarullah Bin Boraluddin, seorang anak tempatan Semporna ini akan terus dikenang perjuangan beliau yang pernah terlibat membela anak bangsa supaya bebas dari belenggu penjajah.

Beliau merupakan anak Semporna yang sangat berjasa kepada kita semua; menafikan sejarah perjuangan beliau bererti kita telah menafikan sejarah Semporna. Menafikan sejarah Semporna, bererti kita membohongi rakyat bahawa nun jauh di sana, di zaman lampau ada manusia yang pernah berkorban untuk bangsanya.

Semoga perjuangan beliau diabadikan dalam ingatan anak cucu kita. Andai kata saya ada kekuatan dan kuasa, nescaya Panglima Jakarullah akan saya abadikan sebagai ‘Anak Bangsa’ yang hebat di zamannya dan menjadi Lagenda kepimpinan Semporna.

3 comments:

  1. sesungguhnya kmi amat b'terima kasih d atas keprihatinan en abdullah sani.kmi waris kpd bliau akn terus memelihara sjrah bliau sbg pejuang

    ReplyDelete