Saturday 31 July 2010

“KAMI MAHU MyVi, BUKAN VOLKSWAGON”




SOKONG…Musa Lingkius tengah, Majiadih kiri manakala Simon di sebelah kanan menyokong kepimpinan seorang guru.


Oleh: JACKSON LU

PENDIRIAN seseorang ahli merupakan agenda penting ketika melahirkan seorang pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin yang berwibawa dan berketrampilan bagi menunjangi kepimpinan PKR Tenom untuk meneruskan perjuangannya sehingga ke PRU13 sebagai sandaran kejayaan dan kecemerlangan PKR.

“Ia bukan suatu perkara jenaka semata-mata tetapi ia perlu diseriuskan. Kita tidak mahu lagi dibutakan mata dengan wang ringgit hanya kerana kepentingan peribadi tetapi maruah diri terus tercemar malah kampung kesayangan juga turut tergadai,” tegas Majiadih O.T Matalih, mantan Setiausaha Cabang PK Tenom ketika memberitahu Krew Sabahkini.net.

Majiadih berharap pemilihan kepimpinan cabang PKR di sini yang akan berlaku dalam bulan September ini dapat melahirkan saf kepimpinan yang boleh menjadi sandaran kepada ribuan ahli PKR di Parlimen Tenom di mana pemimpin itu harus bercirikan perwatakan yang baik, bersih, amanah dan bebas daripada kegiatan rasuah dan penyelewengan di masa lalu.

“Masyarakat KDM di sini harus menebus maruah mereka di masa lalu yang pernah dijolokkan dengan sindiran ‘Murut senang diurut, Dusun senang disusun’. Bagi dua tiga botol stout saja sudah selesai. Apakah kata-kata ini akan berulang lagi?” tanya Majiadih lagi.

Dalam pada itu, seorang ahli dan penyokong kuat PKR ranting Kg Lalang Ulu Tomani, Musa Lingkius, 50, menyokong penuh halatuju Ambrose Mail Mathew (AMM) calon Ketua Cabang PKR Tenom di mana halatuju itu yang digariskan menerusi Pelan Transformasi PKR Tenom sangat baik dan ia selari dengan pemikiran rakyat di sini.

“Kami baru juga mendapat agehan kertas model itu di mana sebelum ini kami tidak sedar ada lagi pula pemimpin tempatan yang berwibawa bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Tenom. Kalau boleh, kami mahu orang tempatan,” tegas Musa.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah dijanjikan sesuatu termasuk wang ringgit supaya menyokong seseorang Musa berkata,”Kami tidak boleh disogokkan dengan wang ringgit lagi kerana sekarang zaman moden. Sogok menyogok zaman dulu dulu. Tapi kalau kami diberi wang, kami ambil. Bila undi, kami pilih orang sendiri yang boleh bekerja untuk rakyat,” tambah Musa.

Musa seterusnya menegaskan bahawa, apa yang beliau harapkan apabila menyertai perjuangan adalah ingin mendapat suatu pembelaan yang adil dan saksama terhadap kawasan tanah dan perhutanan yang sudah habis dimiliki kerajaan dan agensi kerajaan tetapi tidak dipertahankan hak milik rakyat itu oleh wakil rakyat di kawasan ini.

“Itu sebab kami mahu Ketua PKR Tenom mesti orang yang cergas dan orang sendiri kerana jika dia orang sendiri, dia memahami kesulitan kami. Kami ahli PKR di Kg Lalang sudah berbincang soal pemilihan akan datang ini di mana kami memutuskan mahu menyokong seorang bekas guru kerana dia pun pernah mengajar sekolah di sini suatu ketika dulu. Jadi dia tahu selok-belok masalah kami,” tegas Musa yang memberi jaminan bahawa mereka memberi sokongan padu kepada calon berkenaan.

Manakala Simon @ Timoer Bani tidak akan berganjak menyokong perjuangan ‘Guru’ yang beliau sifatkan mempunyai wawasan yang baik dan memberi harapan cerah kepada perjuangan PKR, termasuk berpotensi memenangi PRU13 jika semua ahli terus bekerja keras sepertimana yang terkandung didalam Pelan Transformasi ilham Guru berkenaan.

“Kita buang masa menyokong orang luar dan pemimpin yang diibaratkan sudah senja di mana tidak relevan lagi dalam situasi sekarang. Orang lain sudah pakai kerita Myvi kenapa masih guna Volkswagen buruk? Walaupun kereta ini tahan tukul tapi sudah tiada spare parts lagi. Out dated,” tegas Simon disambut gelak ketawa.

No comments:

Post a Comment