Friday, 23 July 2010

POLIS SABAH UNTUK DISEWA?



Oleh : KREW SABAHKINI.NET

MASALAH anggota Polis yang boleh ‘disewa’ oleh Lanun Tanah’ seperti berlaku di Latangon, Kinabatangan dan enggan membuat siasatan serta dianggap sebagai makan ‘gaji buta’ bukan perkara baru bagi rakyat Malaysia utama sekali di Negeri Sabah.

Ianya merupakan masalah yang telah tertanam dan berakar tunjang dalam pentadbiran PDRM. Sejak sekian lama ianya telah berulang ulang kali dibangkitkan tetapi seolah-olah sengaja diabai oleh pihak atasan PDRM sendiri menyebabkan timbul kesangsian penduduk setempat terhadap peranan sebenar anggota PDRM.

Walaupun kadang-kalanya pucuk pimpinan pentadbiran PDRM ada mengeluarkan kenyataan menyeru orang ramai melaporkan kelakuan sumbang mana-mana anggota PDRM kepada Ibu Pejabat Polis, tetapi ianya kini dianggap bertujuan mengabui mata masyarakat bahawa anggota Polis Di-Raja Malaysia komited melaksanakan tugas seperti diamanah. Kebanyakan berpendapat ianya sandiwara dan ibarat melepas batuk di tangga.

Tidak dinafikan ada sebilangan anggota Polis berkerja keras melaksanakan tugas mereka. Ini terbukati dengan ramainya tangkapan dibuat terhadap pendatang tanpa izin, penagih dadah dan sebagainya; tetapi jenayah tersebut adalah jenayah kecil- kecilan jika dibandingkan dengan jenayah dalam kategori ‘Kolar Putih’.

Ramai penduduk telahpun melaporkan jenayah dilakukan terhadap mereka, berasa tidak puas hati kerana jenayah kolar putih yang menyebabkan mereka menjadi mangsa, telah tidak diambil tindakan oleh Pegawai Penyiasat Polis yang bertugas.

Ada antara kes kes jenayah sedemikian yang dilaporkan telah menjangkau usia antara tiga hingga lima tahun. Sementara itu, ada antara penduduk telah laporkan kepada PDRM terhadap Pegawai Penyiasat tentang tindakan mereka yang dilihat sengaja ‘membakul sampahkan’ laporan polis mereka.

Terbaru krew Sabahkini.net di Sandakan telah dihubungi oleh seorang lagi mangsa penipuan oleh dua jutawan daripada Lahad Datu yang kini amat dikenali sebagai ‘Lanun Tanah’ iaitu Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Mangsa terbaru, Haji Johan Bin Maya, ketika menghubungi krew Sabahkini.net berkata, beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Sandakan, tetapi Pegawai Penyiasat yang bertugas pada hari tersebut tidak mahu menerima sepenuhnya laporan polis yang hendak dibuatnya.

Menurut Haji Johan, pegawai Penyiasat bernama Inspektor Andrew bertugas di bahagian Jenayah Komersil, Sandakan sengaja memotong beberapa ayat yang hendak dilaporkan supaya dia (Andrew) tidak perlu menyiasat aduan jenayah yang dibuat .

“Inspektor Andrew senjaga potong beberapa ayat dalam laporan saya yang berbunyi; Aduan ini saya buat supaya Polis Di Raja Malaysia tangkap dan dakwa Khoo Tau Guan dibawah Undang Undang jenayah kerana membuat laporan palsu kepada Polis untuk tujuan menipu sebuah Jabatan Kerajaan dengan mengubah suku bangsa mendiang Kwan Ah Hee “ kata Haji Johan sambil menunjukkan draf asal laporan polisnya.

Kata Haji Johan, Inspektor Andrew mengarahkan petugas di Meja Pertanyaan Balai Polis Sandakan supaya menggantikan ayat tersebut kepada ayat berikut;

“Saya buat aduan ini untuk tindakan Mahkamah”.

Selesai sahaja laporan dicatat dalam Pol. 55, Inspektor Andrew itu kemudian arahkan Petugas di kaunter supaya keluarkan arahan kepada Haji Johan supaya merujuk laporannya kepada Majistrat untuk tindakan selanjutnya.

Krew Sabahkini.net yang sering dihubungi oleh penduduk tempatan bersabit masalah aduan mereka yang tidak disiasat oleh Polis mendapati banyak aduan kecil-kecilan dibuat terhadap penduduk tempatan telah diambil tindakan segera oleh Polis.

Sebaliknya jika aduan dibuat oleh penduduk tempatan terhadap golongan berada mereka (polis) sering saja berdalih dengan mengadakan berbagai alasan tidak munasabah untuk tidak menyiasat aduan berkenaan.

Sikap ‘Double-standard’ ini telah menyebabkan sebilangan pengadu mengambil tindakan sendiri menyelesaikan masalah mereka kerana Polis nampak jelas berkerjasama dengan penjenayah.

Misalnya seorang penduduk tempatan berbangsa ‘Orang Sungai’ berasal dari Kinabatangan, Idris Panglima Siat telah mengambil Undang-Undang sendiri bagi menyelesaikan masalah penipuan yang dilakukan terhadapnya.

Formula yang digunapakai oleh Idris adalah merampas balik tanah yang dirampas daripadanya, ‘Tit For Tat’.

Sebelum Idris melaksanakan formula ini, walaupun bersifat membelakangi kedaulatan Undang-Undang tetapi logik dilaksanakan. Ramai penduduk tempatan telah menyatakan sokongan mereka terhadap tindakan Idris merampas balik tanahnya apabila polis bertindak melindungi penjenayah.

Merampas kembali tanah yang dirampas bukan satu perkara yang wajib dilakukan oleh sesiapa, tetapi apa pilihan yang ada kepada mangsa jika aduan Polis yang mereka buat sengaja diabaikan oleh Polis?

‘Penipuan’ merupakan jenayah yang boleh diambil tindakan di bawah Undang- Undang Jenayah. Membiarkan penduduk terus menjadi mangsa kepada mereka yang menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu seperti dilakukan ‘Lanun Tanah’ Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung menimbulkan kewajaran bagi mangsa mengambil tindakan sedemikian.

Jika tidak, mangsa akan terus kehilangan tanah mereka, sementara penjenayah terbabit akan terus ketawa dengan menyimpan hasil penipuan mereka di bank setelah membayar ‘upah’ kepada polis.

Beberapa aktivis masyarakat tempatan yang diminta mengulas mengenai trend Polis enggan siasat aduan mangsa penipuan dibuat oleh golongan berada berkata, jika penipuan seperti dilakukan oleh Kwan Ngen Wah dan Kwan Chung ini dilakukan oleh penduduk tempatan yang tidak punya harta dan wang atau miskin; sudah pastinya mereka sudah lama merengkuk di dalam penjara.

Sebahagian aktivis pula berpendapat inilah kesannya jika rakyat memilih pemimpin yang di waktu pilihanraya sibuk berjanji menjaga kepentingan rakyat. Tetapi setelah dipilih, habiskan banyak masa mereka mengurus projek bagi mengisi kocek mereka dan kroni-kroni mereka, termasuk ‘Lanun Tanah’ yang telah ‘melabur saham’ pada musim pilihanraya.

Sebahagian cerdik pandai dari kalangan Anak Negeri Sabah yang lain pula berpendapat, sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia melaksanakan syor Suruhanjaya Penambahbaikkan Perjalanan dan Pentadbiran PDRM jika kerajaan serius hendak memulihkan semula imej PDRM yang semakin jijik dan memualkan.

Ketika ini, orang ramai yang dianiaya anggota Polis tidak ada ruang mengheret anggota Polis yang tidak beretika dan tidak professional kemuka pengadilan. Sungguhpun ada Mahkamah tetapi ramai berpendapat, Mahkamah Malaysia tidak boleh dipercayai kerana berat sebelah kepada Kerajaan apabila membuat penghakiman.

Sebilangan besar masyarakat pula berpendapat adalah lebih menguntungkan jika pentadbiran PDRM berhentikan saja anggota Polis yang bermasalah agar rakyat tidak menjadi ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Bertindak terhadap perbuatan Inspektor Polis itu Haji Johan telah membuat satu laporan kepada Polis terhadap Inspektor Andrew menuntut supaya PDRM mengambil tindakan tatatertib ke atasnya.

“Perbuatan Inspektor Andrew telah saya laporkan kepada Polis. Kita tengoklah di mana kejujuran pihak atasan PDRM dalam perkara ini,” tambah Haji Johan yang jengkel dengan perbuatan Inspektor Polis berkenaan.

Laporan Polis Haji Johan yang enggan disiasat adalah laporan kedua diterima dalam minggu ini sahaja oleh Sabahkini.net. Semalam Sabahkini.net telah menyiarkan keengganan pegawai Penyiasat Polis bahagian Jenayah Komersial dari Balai Polis Kota Kinabalu.

Aduan dibuat oleh Haji Bahri Bin Berahim. Ketika membuat laporan Haji Bahri turut diiringi oleh peguamnya, Jonathan Yassin. Malangnya suasana kesediaan pengadu datang hendak memberi keterangan telah diubah oleh Pegawai Penyiasat Polis dari Balai Polis Bahagian Komersil, Kota Kinabalu, kepada suasana mengajar seorang Peguam yang terlatih apa itu Undang-Undang Jenayah.

No comments:

Post a Comment