Saturday 31 July 2010

SPRM PERLU SIASAT KELEWATAN SK TAMAU




Oleh: KELAPA MAWAR


WALAUPUN isu ini sudah terpampang di dada akhbar nasional Berita Harian dan wartawan Borneo Post, Abdul Naddin Sahiddin telah membuat lawatan bersama Pengerusi PIBG dan disiarkan dalam akhbar berkenaan; apatah lagi JKR Kota Belud sudah sedia maklum, namun ianya masih berlarutan sehingga kini.

Begitu juga dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Bahagian, melalui unit pembangunan, telah memaklumkan isu kelewatan ini kepada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan dan Adun Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, namun segalanya bagaikan ‘mencurah air ke daun keladi.”

Isu kelewatan pembinaan bangunan sekolah ini telah mencecah lebih setahun dan tiada tindakan yang diambil oleh semua agensi yang terlibat danmereka seolah-olah ‘enggan’ memberikan respon.

JKR Kota Belud seakan menutup mata. Walaupun sudah beberapa kali melawat tapak pembinaan dan juga mengetahui perkembangan ini, tetapi tiada tindakan drastik yang diambil.
Menurut maklumat di papan tanda projek, sepatutnya pembinaan SK Tamau ini siap pada Jun 2009 namun sehingga ke hari ini kemajuan projek berkenaan hanya siap sekitar 70%.

Lawatan ke tapak projek mendapat kerja-kerja pembinaan hanya dijalankan tidak sampai 10 orang pekerja sehingga menyebabkan murid-murid menderita kerana terpaksa belajar di bilik darjah yang sempit dan tidak selesa.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Penyelia petang SK Tamau juga telah mendapat surat pertukaran tetapi tidak dapat dikenalpasti sebab pertukaran dank e sekolah mana.

Untuk rekod, sekolah berkenaan telah diwartakan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran persekolahan satu sesi, namun disebabkan bangunan konkrit masih belum siap sepenuhnya, maka ibu bapa dan guru bimbang di manakah murid-murid ini akan menjalani pembelajaran?

Sehubungan itu, mereka menggesa agar Ketua kampung dan Pengerusi JKKK melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya dapat mengambil tindakan dan menjalankan siasatan agar projek-projek kerajaan yang berimpak tinggi seperti ini tidak akan terbengkalai.

Siapakah yang ‘melindungi’ projek ini sehingga agensi yang terlibat tidak dapat berbuat apa-apa? JKR, PPD Kota Belud termasuklah YB-YB di daerah ini juga 'gagal' memberikan alternatif.

Adakah orang penting di sebalik projek ini? Rakyat berhak mengetahui keadaan yang sebenar. Jika tidak, pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk projek seumpama ini akan berleluasa.

No comments:

Post a Comment