Oleh: JACKSON LU
KEPIMPINAN PKR Tenom harus membersihkan terlebih dahulu status ahli yang bakal bertanding pada pemilihan parti itu September ini; sama ada seseorang pemimpin itu masih ahli PKR atau sebaliknya, kerana jika tidak ditapis terlebih dahulu sudah tentu proses pemilihan yang telah dijalankan kemungkinan tidak sah mengikut perlembagaan parti.
“Kita sebagai ahli dan perwakilan berhak meminta urusetia membetulkan kedudukan itu terlebih dahulu sebelum proses sesuatu pemilihan dijalankan. Lagi pun kita minta pihak-pihak yang tidak berkaitan di cabang PKR Tenom harus juga menjauhkan diri untuk mengelakkan lebih banyak konflik berlaku dan biarlah kami sendiri menguruskannya,” tegas Seliang Riung, 54, (gambar) perwakilan PKR Ranting Kg Kelanaan pada Khamis.
“Dalam pertandingan ini umpama kita dalam satu keluarga, tidak perlu jalankan lobi- melobi sehingga terpaksa menggunakan wang ringgit. Kita sudah tahu mana satu pemimpin yang boleh bekerja dan yang tidak boleh bekerja. Buang masa buat kempen yang tidak bermoral kerana kita masing-masing ada pendidikan agama yang melarang kita lakukan kegiatan yang menyalahi ajaran agama,” tegas beliau lagi.
Seliang berkata demikian sebagai memetik berita yang tersebar masa kini kononnya pemangku Ketua Cabang PKR Tenom dan Halik Zaman bukan lagi ahli PKR kerana telahpun meletakkan jawatan sebelum ini di mana berita tersebut turut disahkan Penolong Setiausaha Perhubungan MPN PKR Sabah, Adris Taripin yang tersiar di laman portal Sabahkini.net.
Tegasnya, pertandingan sepatutnya dijalankan secara sihat di mana seseorang yang bertanding itu hendaklah mengemukakan kepada ahli atau perwakilan PKR di peringkat akar umbi hala tuju kepimpinannya termasuk pelan perancangan seseorang itu dan terpulanglah kepada perwakilan untuk memutuskan siapa pemimpin yang mereka pilih.
“Saya percaya bahawa kepimpinan PKR di sini memerlukan daya kepimpinan yang baik untuk menerokai perjuangan seterusnya sehingga ke PRU13, jika tidak, kita akan mengalami nasib yang sama seperti pada PRU12, malah keadaan akan lebih teruk lagi,” tegas beliau.
Beliau menegaskan bahawa adalah lebih baik saf kepimpinan Cabang PKR Tenom diberi laluan sebagai keutamaan kepada golongan muda dan cendikiawan untuk menerajui kepimpinan Cabang supaya perjuangan PKR di sini selari dengan kesesuaian era masa kini manakala golongan pejuang lama selain bersedia memberi laluan kepada golongan itu, mereka juga bertindak selaku panel penasihat kepada saf kepimpinan baru.
No comments:
Post a Comment